KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130708

MAJLIS AMAL BERBUKA PUASA




Majlis Amal Berbuka Puasa bersama
Sheikh Habib Ali Zainal Abidin & Inteam

Maklumat lanjut sila hubungi:
06-7751725 / 019-3243127 / 013-3782461

20130707

Amukan pengkid kerana cinta terlarang


Nampaknya usaha dakwah perlu diperhebatkan, terutama di kawasan Felda

Amukan pengkid kerana cinta terlarang
7 Julai 2013

Muadzam Shah: Berang apabila hubungan terlarangnya tidak mendapat restu, seorang pengkid mencurah petrol ke rumah teman wanitanya sebelum membakarnya dengan niat mahu membunuh keluarga teman wanitanya di FELDA Keratong, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, suspek berusia 21 tahun datang ke rumah teman wanitanya sambil membawa sebotol petrol.

Difahamkan, ketika kejadian, teman wanitanya berusia 17 tahun bersama ahli keluarganya yang lain tidur di dalam bilik masing-masing.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Ahmad Johari Jahaya berkata, selepas meninjau lokasi rumah mangsa, suspek mencurah petrol ke sebuah bilik rumah mangsa sebelum menyalakan api.

Menurutnya, kejadian terbabit disedari seorang ahli keluarga mangsa yang tidur di dalam bilik berkenaan sebelum bergegas memadamkan api.

Katanya, susulan tindakan pantas itu, api berjaya dipadam sebelum suspek bergegas melarikan diri daripada rumah mangsa.

“Siasatan awal mendapati, suspek yang tinggal di FELDA sama bertindak sedemikian selepas hubungannya ditentang keluarga mangsa.

“Polis mengenal pasti identiti suspek yang juga penagih dadah dan gerakan memburu dijalankan,” katanya.

Ahmad Johari berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Rumah bergegar dipanah petir


6 Julai 2013

HULU BESUT - Sekurang-kurangnya sembilan rumah di Kampung Dusun Beliku, Jalan Air Panas La, dekat Kampung La di sini, mengalami kerosakan akibat disambar petir dalam kejadian, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang ketika hujan lebat itu menyebabkan rumah, pendawaian dan peralatan elektrik rosak, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Salah seorang mangsa, Ghani Samad, 65, berkata, kesemua rumah terbabit disambar serentak selepas berlaku petir kuat.

20130704

Pengharaman merokok sudah memadai tangani shisha



Semoga Ramadhan kali ini lebih ramai umat Islam di Malaysia akan berhenti merokok, terutamanya mereka yang memperjuangkan Islam dan prihatin akan nasib umat Islam di negara yang bergolak dan dilanda kebuluran.

Pengharaman merokok sudah memadai tangani shisha
4 Julai 2013

Terengganu tidak bercadang untuk mengeluarkan fatwa berhubung penggunaan shisha kerana sudah terdapat fatwa mengenai pengharaman merokok, kata Mufti kerajaan negeri, Dr Zulkifli Muda.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam. ; e-fatwa.gov.my

20130703

Siapa yang sudi taja anak yatim piatu ini masuk Tahfiz?


Saya dimaklumkan ada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari N.Sembilan, yatim lagi piatu, tiada ayah, ibunya meninggal dunia tahun lepas, berhasrat untuk melanjutkan pengajian di sekolah tahfiz. Antara sekolah tahfiz di N.Sembilan yang memberi peluang ialah Maahad Tahfiz Al-Quran An Najihah di Kg. Jijan, Nilai, N.Sembilan.

Yuran kemasukan hanya RM500 manakala yuran bulanan sepenuh masa termasuk makan, minum, asrama dan sebagainya cuma RM300 sebulan.

Kepada mereka yang sudi menaja pelajar ini sila hubungi Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran An Najihah, Ustaz Mohd Zawawi bin Haji Aman
No. Pejabat : 06-7915070
No. Hp : 013-3331120/016-2633649

Baru-baru ini saya dengar di Radio IKIM, Ustazah Norhafizah Musa bercakap tak silap saya, kisah seorang banduan di Indonesia yang insaf dan bertaubat di dalam penjara. Sebaik keluar penjara beliau tekad untuk mendirikan sekolah tahfiz setelah diberi sebidang tanah hutan di pinggir Jakarta.

Lalu dibuatlah kertas kerja dan dihantar kepada para dermawan. Terkumpulah sekitar RM50,000. Lalu dia berbincang dengan rakan-rakannya kerana RM50,000 tak cukup untuk bina sekolah tahfiz, hanya cukup untuk bersih hutan dan buat pagar. Ada yang mencadangkan agar di masuk dalam bank untuk mendapatkan keuntungan.

Akhirnya dia berkata dimasukkan RM50,000 ini dalam bank Allah. Dia mengagihkan RM50,000 ini kepada beberapa sekolah-sekolah tahfiz sekitar Jakarta yang sedia ada kerana pasti ianya dapat menunaikan hajat keperluan sekolah-sekolah tahfiz tersebut.

Setahun kemudian dana untuk sekolah tahfiznya bertambah sehingga RM500,000. Beri 1 dapat 10. Ada yang derma dari sekolah-sekolah tahfiz yang dia bantu sebelum ini.

Kini sekolah tahfiz beliau amat dikenali, dan banduan tadi digelar Pak Kiai.

Pengajarannya :
1. Sekolah Tahfiz, Institusi Pondok dan sebagainya perlu bantu membantu sesama sendiri.
2. RM50,000 tak cukup nak buat bangunan, sekolah, markas dan sebagainya, tapi mungkin boleh membiayai 100 orang pelajar tahfiz dari golongan tidak berkemampuan atau membantu 1000 keluarga yang bekalan elektrik dan airnya dipotong.
3. Bila orang berikan sumbangan untuk diagihkan, segera diagihkan.
4. Yakin dengan janji Allah, kata-kata Nabi, beri 1 dibalas 70, beri 1 dibalas 10, beri 1 dibalas di dunia, beri 1 dibalas di akhirat berganda-ganda.
5. Jangan tunggu Ramadhan nak buat baik.

Premis judi haram, sama saja di negeri BN dan PR

Masalah premis judi “haram” (tidak berlesen), judi internet yang tumbuh macam cendawan adalah masalah besar di mana-mana, baik di negeri tadbiran BN mahu pun tadbiran Pakatan Rakyat. Buatlah apa operasi sekali pun, masih tak berjaya.

Bak saya kata sebelum ini, kita perlu kembali kepada Allah, bermunajat kepada Allah agar masalah judi ini berkurangan. Disamping itu sesi kaunseling dan dakwah yang terancang oleh kita semua kepada kaki judi ini perlu diperhebatkan disamping operasi dan penguatkuasaan yang sedia ada.

Bekalan yang tinggi, disebabkan permintaan yang tinggi. High Demand, High Supply.

Exco: Ada 1,435 premis judi haram di S'gor
3 Julai 2013

Exco kerajaan tempatan Selangor Datuk Teng Chang Khim mengakui bahawa masalah kebanjiran premis judi haram di sekitar negeri itu masih gagal diatasi ekoran jumlahnya yang terlalu banyak.

Katanya lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan sebanyak 148 pemeriksaan, dan mengeluarkan 77 saman serta melakukan 49 penyitaan.

Namun ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan, kata Teng yang menambah, sebanyak 1,435 premis judi dikenalpasti wujud di negeri tersebut.

"Buat (pemeriksaan) satu hari, tutup satu, buka dua lagi esok. Jadi kita kena fikirkan satu cara yang lebih holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Abdul Rani Othman (PAS-Meru) di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini.

20130702

Ramai yang perlukan bantuan, hanya Allah yang boleh bantu

Baru-baru ini saya menceritakan kisah satu keluarga yang anak mereka berumur 1 tahun dimasukkan ke ICU KL, bagaimana bapa ini terpaksa berulang alik dari Seremban ke KL menaiki motosikal mengendong anak berumur 4 tahun, tidak dapat bekerja sepenuh masa, hutang keperluan harian tertunggak. Sanak saudara dan jiran tetangga perlu membantu.

Semalam ada insan yang prihatin menghulurkan bantuan melalui akaun bank saya, pada sebelah pagi, tengaharinya saya jumpa ketua keluarga diatas sedang bekerja memotong ayam di kedai, terus diberikan sumbangan dari insan yang prihatin tadi.

Minggu lepas saya terima SMS dari seorang guru, mengatakan ada pelajar tahun 3 di UKM, perlu jelaskan yuran pengajian sebanyak RM700 dalam tempoh 2 minggu. Tak sempat saya nak 'forwardkan' SMS tadi. Pelajar tadi nak pinjam saja, tamat belajar tahun depan dia akan pulangkan katanya.

Lepas tu ada pula yang kesempitan wang, perlu ambil motosikal di kedai yang telah lama dibaiki tak mampu nak bayar. Sedangkan dia amat perlukan motosikal ulang alik kerja, hantar anak sekolah.

Baru fikir macamana nak usahakan, dapat panggilan telefon dari seorang kawan nak jumpa nak beri sedikit sumbangan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Saya habis kerja pukul 6, 6.30 petang dia datang rumah beri sumbangan.

6.45 petang saya ke CDM BSN Senawang terus masukkan RM700 untuk pelajar UKM tadi. Beritahu dia , itu bukan duit saya, ada orang beri suruh agihkan, dan tak perlu bayar balik.

Selesai beri sumbangan banyak-banyak istighfar, sebagaimana lepas solat kita beristighfar, selepas buat apa-apa amalan baik, kita banyak istighfar kerana takut amalan kita bantu orang tak diterima Allah.

Risau pegang duit untuk bantuan diberikan orang lama-lama. Orang yang menghulurkan bantuan harap disalurkan segera, sementara mereka yang mengharapkan bantuan perlu diringankan beban mereka segera.

Kalau orang serah bantuan, segera beri kepada yang memerlukan



Saya cuba mencari kisah atau hadith yang mengatakan Nabi Muhammad SAW apabila diberi sumbangan, sedekah atau zakat, Baginda SAW akan segera mengagihkan kepada mereka yang memerlukan. Baginda SAW, tidak akan pulang ke rumah selagi sumbangan, sedekah atau zakat tersebut selesai diagihkan.

Harap kita semua yang diamanahkan untuk menyampaikan bantuan supaya segera menyalurkan bantuan tersebut, tidak perlu menunggu hari tertentu atau bulan tertentu atau orang kenamaan untuk diagihkan.

20130701

Mapim lancar rayuan Ramadhan untuk Rohingya



1 Jul 2013  - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan rayuan Ramadhan untuk umat Islam Rohingya di Arakan Myanmar bermula pada 24 Jun lalu.

Misi Mapim yang akan berangkat ke Sittwe Arakan pada awal Julai ini adalah bertujuan untuk melihat keperluan yang mendesak di kalangan umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa genosid oleh esktremis Rakhine Buddhist di Myanmar.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan yang masih belum reda sepenuhnya sejak keganasan tercetus pada Mei 2012 yang lalu telah mengakibatkan ribuan terbunuh dan ratusan ribu yang menjadi pelarian dalam negeri (IDP).

Kepada mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai rayuan ini sila berhubung dengan Abdullah: 019-9893707, Tarmizi: 017-5606131.

Mapim telah menyediakan sebuah Tabung Khas: ROHINGYA HUMANITARIAN FUND MAPIM di bank akaun Rajhi Bank bernombor 1540 0188 0630 441.

Kursus Pengubatan Islam



Permohonan Untuk Mengikuti Kursus Pengubatan Islam Kumpulan 1 - Sesi 2013/2014 Pusat Rawatan Darussyifa' Seremban, N. Sembilan (Kampus Masjid Jamek An-nur Daerah Rembau)

BUTIRAN & SYARAT-SYARAT
1. Tarikh Tutup Permohonan: 30 Ogos 2013/ 23 Syawal 1434H (Jumaat)
2. Tarikh Temuduga : Akan diberitahu kemudian.

3. Borang yang telah lengkap sila hantarkan ke;
Pusat IT & Ilmu
Masjid Jamek An-Nur Daerah Rembau
71300 Rembau, N.Sembilan.
Tel : 017-359 5442 ( Ustzh Farrah)

4. Syarat-syarat permohonan:-
a) Permohonan untuk mengikuti kursus pengubatan ini hendaklah menggunakan borang yang disediakan. Borang permohonan ini mestilah diisi dengan lengkap.
b) Pemohon mestilah beragama Islam dan berumur 18 tahun dan ke atas.
c) Pemohon yang bukan warganegara Malaysia boleh juga diterima untuk mengikuti kursus ini dengan syarat boleh bertutur dalam Bahasa Melayu.
d) Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah disertakan dengan sekeping gambar berukuran pasport dan salinan Kad Pengenalan.
e) Borang permohonan yang diterima selepas tarikh tutup tidak akan dipertimbangkan.
f) Setelah permohonan diproses, satu sesi temuduga akan diadakan untuk memilih calon-calon yang benar-benar layak sahaja.
g) Pemohon yang gagal hadir untuk temuduga, maka dengan sendirinya permohonan akan ditolak. Sebarang rayuan tidak akan dipertimbangkan dan anda boleh membuat permohonan semula ditahun-tahun yang akan datang.
h) Pemohon yang telah berjaya diterima dan lulus temuduga, hendaklah sanggup dan mampu membayar yuran sejumlah RM600.00 (bayaran pendaftaran, buku teks dan yuran pengajian). Pada hari pendaftaran bayaran ialah RM 350.00.
i) Pemohon yang telah berjaya diterima juga dimestikan untuk menghadiri sepenuhnya kuliah pengubatan setiap hari Sabtu (minggu ke-2 & ke-4) selama setahun di Masjid Jamek An-Nur Daerah Rembau. Jika sekiranya pemohon didapati lemah dalam ilmu bacaan al-Quran, pemohon dimestikan untuk menghadiri kelas Tajwid dan kelas-kelas lain yang ditentukan kemudian.
j) Sebarang pindaan atau perubahan jadual dan sebagainya adalah tertakluk kepada pihak pengurusan.

SEBARANG PERTANYAAN @ MAKLUMAT SILA HUBUNGI

Kawasan Rembau
Ust Ghani : 012-676 1187
Ustzh Farrah : 017-329 5442
Ust Wahab: 019-656 4082

Kawasan Seremban
Ust Amin : 013-647 3452
Ust Alim : 012-690 2567
Ust Rohade : 013-217 8838

20130630

Ramainya yang susah keliling kita tapi kita masih berseronok dan mengeluh

Kekadang kita tersentuh apabila di dalam media didedahkan kesusahan mereka yang dibelenggu kemiskinan, mereka yang dilanda konflik seperti umat Islam di Myanmar, Syria, Gaza. Tersentuh hati kita membaca dan menonton laporan berita tadi.

Memang baik kita ambil berat mereka yang memerlukan bantuan. Tapi disebabkan kesibukan kita entah dengan apa-apa, kita terlepas pandang bahawa ada saudara mara kita dan jiran tetangga kita yang susah.

Semalam saya sekeluarga melawat dua pupu sebelah emak yang kemalangan motosikal. Agak parah kemalangannya, dia telah menjalani pembedahan kepala untuk mengeluarkan darah beku. Hampir separuh kepalanya dibedah dengan lebih 40 jahitan, kini dia tiada lagi tempurung kepala. Beliau baru semalam keluar hospital dan kini sedang menjalani proses pemulihan di rumah yang doktor kata perlu masa setahun untuk pulih, tetapi tidak seperti asal.

Dua pupu ini dari golongan yang susah, bekerja biasa saja. Saya berharap saudara mara saya sebelah emak dapat menziarahi dua pupu saya ini dan membantu ikut kemampuan masing-masing, kalau tak dapat membantu dari segi kewangan, ziarah pun sudah cukup. Kerana apabila kita ziarah mereka yang sakit, beribu-ribu malaikat bersama kita.

Malamnya setelah selesai menghadiri sesi taklimat isu jenayah semasa oleh pihak polis, saya bertanyakan kepada jiran saya, hari tu dia kata jirannya dalam kesusahan, perlukan tandatangan nazir masjid untuk dapat bantuan Baitul Mal kerana anak lelakinya yang berusia 1 tahun lebih kini ICU di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung dan paru-paru.

Jiran dia tadi hanya bekerja sebagai pembantu kedai di taman perumahan berhampiran. Isterinya surirumah sepenuh masa. Mereka tinggal di perumahan kos rendah dan mempunyai seorang lagi anak perempuan 4 tahun. Siapa yang tak sayang anak. Jiran dia tadi semenjak anaknya terlantar sakit dia terpaksa berulang alik dari Seremban ke KL menaiki motosikal bersama isteri dan anaknya yang berusia 4 tahun. Dia terpaksa berhenti 5 kali dalam perjalanan kerana anaknya yang 4 tahun tadi tertidur ketika dikendong isterinya.

Disebabkan dia tidak dapat bekerja sepenuh masa sekarang ini, jiran dia tadi tidak dapat menjelaskan pelbagai bil, dan terpaksa berhutang dengan majikannya untuk keperluan hidup. Saya maklum kepada jiran saya, kalau jiran dia tadi pulang supaya dapat maklum supaya kita boleh bantu apa yang boleh sementara menantikan bantuan Baitul Mal atau JKM.

Sekali lagi, saya menyerulah kepada jiran-jiran saya yang berkemampuan dari segi kewangan agar dapat membantu jiran kita ini. Kalau tak mampu bantu dari segi kewangan, kita ziarahlah kalau mampu pergi ke HKL, kalau tak mampu kita berdoa agar Allah memudahkan urusan jiran kita yang kesusahan ini serta membuka pintu hati jiran kita yang lain untuk membantu.

Jadi kepada kita yang rasa selesa, atau rasa susah, atau rasa gundah gulana. Jenguk-jenguklah, cari-carilah saudara mara kita, jiran tetangga kita yang jauh lebih susah daripada kita.

Semoga ianya mendatangkan keinsafan kepada kita semua agar kita sentiasa bersyukur dan bertaubat.