KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150824

Kena halau di rumah sendiri



Kena halau di rumah sendiri
24 Ogos 2015


SENAWANG -  Bagaikan retak menanti belah. Begitulah nasib 17 keluarga di Taman Desa Duranta, di sini, yang dipaksa mengosongkan kediaman masing-masing menjelang 11 September depan.

Mereka sendiri tertanya-tanya, di manakah silapnya sedangkan rumah dihuni dibeli secara sah melalui agensi berkaitan yang menguruskan pinjaman perumahan untuk penjawat awam.

Justeru, penduduk terlibat yang majoritinya bekerja sebagai guru berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam hal ini untuk membela nasib mereka.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas masalah dialami, Sinar Harian bertemu sendiri dengan penduduk terlibat, semalam.

Wakil penduduk, Muhammad Yusri Yusuf, 42, berkata, segala-galanya bermula pada April tahun lalu.

“Hampir enam tahun menetap di sini, tak pernah timbul masalah. Tapi semuanya berubah bila kami terima satu bungkusan yang dikirim secara pos.

“Rupa-rupanya, dalam bungkusan tu terkandung surat arahan daripada pemilik tanah yang mahu kami keluar dari kawasan ni,” katanya.

Menurutnya, perkara itu amat mengejutkan, apatah lagi selepas mendapati mereka semua seakan-akan ditipu oleh pemaju selama ini.

“Kami rujuk dan teliti balik dokumen perjanjian jual beli rumah. Masa tu baru kami sedar, nama pemilik tanah langsung tak sama dengan nama pemilik tanah sebenar.    

“Sejak hari tu, hidup kami kelam-kabut. Macam-macam agensi kerajaan kami dah pergi, termasuklah yang uruskan pinjaman perumahan kakitangan awam di Putrajaya. Tapi semuanya tak berhasil,” katanya.

Muhammad Yusri memberitahu, penduduk juga pernah naik turun Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, dari April tahun lalu hingga 16 Jun lepas, melibatkan lapan prosiding.

“Kami diberi masa sehingga 31 Ogos nanti untuk mengosongkan rumah, sebelum dilanjutkan kepada 11 September atas budi bicara tuan tanah.

“Sebagai langkah alternatif, kami juga diberi pilihan untuk membeli lot tanah daripada pemilik berdasarkan terma dan syarat bakal ditetapkan kelak,” katanya yang merancang hendak berjumpa dengan peguam kepada pemilik tanah pada Khamis ini untuk berbincang.

Ahmad Tajol Aros Abd Kadir, 47, berkata, penduduk akur dengan keputusan mahkamah dan mengakui pemilik tanah sememangnya mempunyai hak mutlak dalam perkara berkenaan.

“Masalahnya sekarang dari segi kewangan. Kalau diambil kira komitmen ditanggung dan faktor usia, memang susah kami nak buat pinjaman lagi.

“Kalau boleh lulus sekali pun, memang tak mampu nak bayar. Sebab pinjaman sedia ada tetap kena dilangsaikan walaupun rumah ni akan terlepas dari tangan kami,” katanya yang menjelaskan penduduk membayar sekitar RM1,300 hingga RM2,000 sebulan melalui pemotongan gaji.

Dalam pada itu, pesara, Muhammad Ja’afar, 59, lebih runsing apabila memikirkan dirinya yang bakal kehilangan rumah berharga RM275,000 dibeli secara tunai.

Tiada ulasan: