Kepada sesiapa yang ada maklumat mengenai tertuduh di bawah
ini harap hubungi saya 0122267406. Kita tengok apa yang kita boleh bantu agar
beliau sekeluarga mampu berdikari.
Mencuri akibat kesempitan hidup
12 Ogos 2015
SEREMBAN - “Anak guam saya hilang pertimbangan akibat
kesempitan hidup selepas dibuang kerja, menyebabkan dia mencuri,” demikian rayu Noliana Ali Othman mewakili
Nooraswan Mohamad Nor, 33, di Mahkamah Majistret Seremban, di sini, semalam.
Tertuduh didakwa mencuri 29 barang keperluan harian
antaranya, lampin pakai buang, sabun mandian bayi, pencuci muka, gula pasir,
tembikai, daging ayam mentah, sarapan bijirin dan mi segera di pasar raya Aeon
Seremban 2, di sini, Sabtu lalu, sekitar jam 9.08 malam.
Noliana turut memohon agar mahkamah memberikan denda dan
penjara paling minimum memandangkan anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod
jenayah sebelum ini.
Menurutnya lagi, kesanggupan tertuduh mengaku bersalah juga
perlu diambil kira berikutan telah menjimatkan masa mahkamah kerana tidak perlu
menjalankan sebarang perbicaraan.
Majistret KB Elena Hong Tze Lan kemudian menjatuhkan hukuman
penjara sehari dan denda RM1,500 kepada Nooraswan yang kini sekadar membantu
isterinya berniaga nasi lemak dengan pendapatan lebih kurang RM800 hingga
RM1,000 sebulan.
Bapa kepada tiga anak itu ditahan oleh pengawal keselamatan
ketika cuba keluar melalui bahagian bakeri, bersama barang-barang dicuri
berjumlah RM520.60 yang dimuatkan dalam sebuah troli.
Pihak pasar raya terpaksa menyerahkan Nooraswan kepada
polis, berikutan kegagalannya menunjukkan resit pembayaran sah ketika diperiksa
lebih lanjut oleh penyelia keselamatan, di situ.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ainnan Mohd Rasid
meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai
pengajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan