KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081019

Tangani perjudian: Contohi Sarawak

Rozmal Malakan Jul 20, 05 12:36pm
Saya amat tertarik dengan negeri Sarawak Bumi Kenyalang – negeri yang rakyatnya pelbagai kaum dan etnik serta segala lapisan agama – yang telah mengambil langkah ke hadapan untuk mengawal masalah sosial di kalangan masyarakatnya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan mengurangkan hari jualan loteri dibuka – dari tiga hari sekarang kepada dua hari saja dan dalam tempoh jangka panjang, hanya beroperasi sehari sahaja dalam seminggu.

Di Negeri Sembilan, contohnya pada setiap hari Rabu, Sabtu dan Ahad di pekan Senawang, dua buah kedai judi berlesen menjadi tumpuan masyarakat setempat, terutamanya orang Melayu beragama Islam, tanpa sebarang tindakan pencegahan oleh pihak berkuasa agama.

Malah tiga hari yang disebutkan tadi telah menjadikan pekan lama Senawang penuh sesak dengan kenderaan serta jualan di kaki lima, seolah-olah ianya pesta mingguan sempena hari judi.

Premis judi berlesen di negeri ini sentiasa penuh dengan mereka yang sanggup beratur panjang, semata-mata mengimpikan sejumlah wang mudah dengan pertaruhan yang dibuat.

Langkah MTUC Sarawak itu sebagai menyokong gesaan Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan yang turut meminta supaya kekerapan cabutan loteri dikurangkan kerana ia menjejaskan masyarakat dan golongan berpendapatan rendah.

Menurut MTUC, pekerja paling ramai terbabit dalam pertaruhan loteri kerana merasakan ia dapat menambah pendapatan, tetapi hakikatnya ia sebaliknya membebankan mereka setiap bulan.

Malah dimaklumkan ada kakitangan kerajaan yang hanya berbaki RM100 sebulan kerana mempertaruhkan sebahagian besar wang gajinya untuk judi loteri yang akhirnya memberi kesan buruk kepada keluarga dan rumah tangga.

Oleh yang demikian adalah disarankan agar negeri-negeri lain di Malaysia ini, lebih-lebih lagi negeri-negeri di bawah pentadbiran Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam, supaya mengikuti jejak Sarawak ini bagi merawat penyakit sosial yang melanda masyarakat amnya dan umat Islam khususnya.

http://www.malaysiakini.com/letters/38057

Ke mana perginya Jabatan Agama N Sembilan?
Rozmal bin Malakan Feb 28, 05 1:41pm
Pernah beberapa kali kedengaran pegawai penguatkuasa jabatan agama di beberapa negeri telah menangkap orang Islam yang sedang membeli ‘nombor ekor’ di kedai judi. Tetapi perkara ini jarang kedengaran di Negeri Sembilan. Adakah tidak ada orang Islam di negeri ini yang menjadi pelanggan-kedai judi atau tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil?

Akan tetapi jika kita melalui pekan Senawang pada hari-hari tertentu, kita akan dapati dari jauh kedua-dua kedai judi di situ dikerumuni pelanggan yang berkulit sawo matang, raut wajahnya memang orang Melayu tempatan. Bukan itu sahaja, ada di kalangan mereka yang mendokong anak mereka masuk ke kedai judi tersebut.

Di samping itu, akan terdapat juga peniaga ‘segera’ yang mengambil kesempatan untuk menjual nombor ‘bertuah’. Ada juga beberapa peniaga jalanan yang mengadakan jualan barangan secara lelong.

Gelagat mereka ini seakan-akan menggambarkan sebagai perkara biasa bagi orang Melayu di Negeri Sembilan melanggani judi, sehinggakan mereka boleh melepak di kedai kopi berhampiran bercerita serta membuat analisa nombor yang telah mereka pilih.

Apakah tiada langsung penguatkuasaan jabatan agama di Senawang dan tempat lain di Negeri Sembilan? Atau mungkin jabatan agama sendiri kekurangan peruntukan dan sumber manusia untuk menangani masalah tersebut ?

Walauapa pun, kita sebagai rakyat hanya mampu menegur manakala yang menjadi mangsa ialah generasi muda dan yang sedang membesar yang melihatkan seolah-olah amalan mengunjungi kedai judi oleh orang Islam bukanlah satu kesalahan.

http://www.malaysiakini.com/letters/33931