KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150904

Bantuan warga memerlukan





Pada 24 Ogos 2015 saya paparkan kisah Pn Siti yang hidup sebatang kara selepas suaminya meninggal dunia.

Perlukan bantuan baiki motosikal, baiki rumah sewa yang usang, pindah barang dari Tampin ke Astana Raja.

Hari ini 3 September 2015 sahabat-sahabat saya Hj Ishak, Izamri, Aziz Fitri dan Mohd Haizul Hakim telah bergotong royong mengangkut barang Pn Siti dari Tampin ke Astana Raja.

Terima kasih kepada semua yang telah membantu Pn Siti, termasuk Hj Nasir yang bantu membaiki motosikal Pn Siti.

20150903

Rumah keluarga miskin ini telah dibaiki





Alhamdulillah, akhirnya rumah keluarga miskin di Rembau yang sebelum ini banyak rosak, dinding berlubang, di makan anai-anai dan sebagainya telah dapat dibaiki.

Terima kasih kepada semua pihak, individu, agensi yang telah membantu keluarga ini.

Usah dibebankan pelajar dari keluarga susah kutip derma



Baru-baru ini saya mendapat whatsapp dari seorang ibu dari selatan tanah air, mereka keluarga yang berpendapatan rendah. Menghantar anak mereka ke tadika Islam. Tadika berkenaan mengedarkan kad derma kepada para pelajar untuk ibu bapa pelajar kutip derma untuk tujuan menampung kos operasi dan sebagainya memandangkan tadika berkenaan bukan berkonsepkan keuntungan dengan yuran yang rendah serta gaji guru tadika di bawah paras kemiskinan.

Harap pihak pengurusan tadika atau pun sekolah, termasuk sekolah kerajaan agar tidak membebankan para pelajar, guru dan ibu bapa untuk mengutip derma. Boleh minta tolong kutip derma, tapi tak perlulah tetapkan sasaran kena dapat berapa ringgit kutipan setiap pelajar dan guru.

Ibu bapa tadi gelisah tidak dapat 50 nama penderma, baru dapat 7 nama katanya. Bagaimana pun mereka masih berusaha untuk mendapatkan lagi nama penderma.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul




Mendapat berita rumah Encik Mohd Nor bin Rashid di Felda Pasoh 3, Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan telah musnah dalam satu kebakaran hari ini. Mereka yang ingin membantu meringankan serba sedikit beban yang ditanggung oleh Encik Mohd Nor sekeluarga boleh menghubungi saya 0122267406

Rozmal bin Malakan
Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan
2 September 2015

Pelajar sekolah perlu bantuan cermin mata



Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Seremban yang mempunyai masalah rabun teruk memerlukan sumbangan untuk membayar kos cermin mata yang khas. Kos buat cermin mata ialah RM400. RM200 ada sahabat sudah uruskan, dia perlu lagi RM200.

Mereka yang ingin membantu sila hubungi saya 0122267406

20150901

Kaum hawa di luar sana perlu sentiasa berhati-hati



Kaum hawa di luar sana perlu sentiasa berhati-hati. Elakkan berjalan seorang diri atau menunggu di tepi jalan pada bila-bila masa, di mana jua.

Ditarik masuk dalam kereta
1 September 2015


BANDARAYA MELAKA - Seorang gadis trauma apabila dia menjadi mangsa cubaan samun ketika dalam perjalanan ke sebuah kedai untuk membeli air minuman dan kad tambah nilai telefon prabayar.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Hidayah, 19, yang juga seorang sukarelawan polis hampir disamun dua lelaki ketika berjalan kaki ke kedai di Jalan Pulau Gadon,  kira-kira jam 6.30 petang, Sabtu lalu.

Menurut Hidayah, kejadian itu bukan saja menyebabkan dia trauma, malah terpaksa menahan sakit pada perut serta anggota badan akibat dipijak dan ditendang penjenayah terbabit.

Menceritakan kejadian, Hidayah berkata, semasa kejadian dia sedang berjalan kaki sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta Proton Iswara hitam bercermin gelap menghampirinya.

Menurutnya, lelaki dalam kereta itu menarik beg sandangnya sebelum menekup mulutnya dan membawa masuk ke dalam kenderaan berkenaan.

“Dia tak cakap apa-apa tapi terus tarik masuk dalam kereta. Pada masa sama saya meronta-ronta nak selamatkan diri.

“Tangan sebelah suspek pegang leher saya, satu lagi cuba buka tali pinggang saya sebab nak seluk poket seluar depan dengan belakang. Saya meronta habis-habisan nak selamatkan diri dan saya sempat cakar dengan tumbuk muka dia, tapi lagi dia berkeras,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan kira-kira 15 minit dia bergelut dengan suspek untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, katanya, selepas suspek tidak memperolehi apa-apa, dia terus ditendang keluar dari kereta dan ditinggalkan di lorong sunyi belakang sebuah kondominium di Klebang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, polis  kini sedang mengesan dua lelaki berusia 20 hingga 30 tahun.