KEMISKINAN DAN PEMBANGUNAN INSAN
Oleh : Profesor Muhammad Syukri Salleh - Universiti Sains Malaysia
http://www.geocities.ws/muhammadsyukri/MiskinRembau.html
PENGENALAN
Kemiskinan merupakan fenomena sepanjang zaman. Pada zaman Rasulullah s.a.w. dahulu pun ada orang miskin. Antaranya ialah golongan ahlus-suffah. Mereka hidup dalam keadaan dha`if. Namun begitu, tidak pula diriwayatkan Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh mereka bekerja. Pada zaman itu juga ada seorang miskin Ansar yang datang meminta sesuatu dari Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. memberikan kapak dan menyuruh beliau bekerja. Pada masa yang sama, ada seorang miskin bernama Tsa’labah bin Hatib yang minta menjadi kaya. Rasullullah s.a.w. tidak merestuinya. Selain itu, ada juga seorang kaya bernama Abdul Rahman bin `Auf yang mohon menjadi miskin. Itu pun Rasulullah s.a.w. tidak merestuinya.
Mengapa reaksi Rasulullah s.a.w. berbeza-beza terhadap orang yang berbeza-beza ini?
Kertas ini cuba meneliti perkara ini untuk diambil iktibar darinya. Iktibar dari pengalaman orang-orang Islam ini, terutamanya dari zaman Rasulullah s.a.w. sendiri, adalah penting kerana hampir kesemua orang-orang miskin di Rembau terdiri dari mereka yang beragama Islam. Dari sini muga-muga satu pelan tindakan dapat dibentuk agar kemiskinan di Rembau dapat ditangani secara Islam dengan sebaiknya.
ORANG-ORANG MISKIN PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W.
1- Ahlus-Suffah
Orang-orang miskin yang paling tertonjol pada zaman Rasulullah s.a.w. ialah mereka yang dipanggil ahlus-suffah. Mereka ini terdiri dari dua golongan. Pertama ialah orang-orang Muhajirin seperti Sayyidina Abu Hurairah r.a, Sayyidina Abu Dzar Al-Ghafiri r.a dan Sayyidina Bilal ibn Rabah r.a. Kedua ialah orang-orang Ansar yang ingin hidup zuhud walaupun mampu tidak berbuat begitu serta mempunyai rumah sendiri di Madinah, seperti Ka'b ibn Malik Al-Ansari, Hanzalah ibn Abu `Amir al-Ansari, dan Harithah ibn al-Nu`man al-Ansari[3]. Kedua-dua golongan ini kadangkala disertai juga oleh delegasi yang datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk mengisytiharkan keIslaman mereka dan taat kepada Baginda[4].
Oleh kerana ahlus-suffah ini bercampur antara pelbagai puak, Rasulullah s.a.w. memanggil mereka al-Awfad yang bererti orang bercampur[5]. Penghubung di kalangan mereka ialah Abu Hurairah r.a.. Apabila Rasulullah s.a.w. mahu memanggil mereka, Abu Hurairahlah yang diarah berbuat begitu kerana Abu Hurairah mengenali mereka dan taraf mereka dalam ibadah dan jihad[6]. Bilangan ahlus-suffah ini berbeza-beza mengikut masa, terutamanya apabila ada delegasi dari luar, ia menjadi bertambah. Bilangan yang tetap ialah 70 orang dan kadangkala ia bertambah kepada 80 hingga 100 orang[7].
Tempat tinggal ahlus-suffah ini ialah di As-Suffah yang bermaksud pelantar yang ditinggikan atau pangkin, terletak di serambi masjid Nabi. Ia juga dikenali sebagai Al-Zillah, yang bermaksud pelindung. Tempat ini telah dibina atas arahan Rasulullah s.a.w. sendiri, setelah kiblat bersembahyang diperintah Allah SWT bertukar dari Baitul Muqaddis ke Kaabah di Mekah. Dengan pertukaran geografi ini, dinding bagi qiblat pertama menjadi dinding belakang masjid Nabi. Nabi memerintahkan agar di atasnya dibina siling lalu kemudiannya dipanggil As-Suffah atau Al-Zillah itu.
Walaubagaimana pun, mengikut Ibn Jubayr, As-Suffah ini adalah merujuk kepada sebuah rumah di hujung Quba' di mana ahlus-suffah tinggal beramai-ramai. Mengikut al-Samhudi, rumah itu dikenali sebagai As-Suffah apabila ahlus-suffah berpindah ke situ. Besarnya tidak dapat dipastikan. Tetapi mengikut Muslim, Rasulullah s.a.w. pernah menggunakannya untuk jamuan perkahwinan yang dihadhiri oleh 300 orang. Sebahagian mereka duduk di satu daripada bilik yang berdekatan dengan masjid, yang menjadi kepunyaan para isteri Rasulullah s.a.w[8].
Dari kacamata kebendaan, kehidupan ahlus-suffah ini adalah sangat dha`if. Mereka sering kelaparan dan tidak mempunyai tempat tinggal kecuali tinggal beramai-ramai di As-Suffah. Mereka tidak mempunyai pakaian yang cukup untuk melindungi diri mereka dari kesejukan atau untuk menutup diri mereka. Malah tidak seorang pun dari mereka yang mempunyai set pakaian yang lengkap[9]. Mereka tidak mempunyai jubah[10] dan terpaksa mengikat pakaian atau jubah di leher[11], atau terpaksa membungkus diri mereka dalam pakaian yang lain[12]. Sebahagian mereka hanya mempunyai pakaian yang menutup hingga ke paras lutut, dan yang lain-lainnya pula mempunyai pakaian yang tidak mencecah paras tumit. Mereka biasanya memakai hawtikiyyah[13] yang menutupi kepala mereka. Pendeknya ahlus-suffah ini bolehlah dikategorikan sebagai golongan fakir[14], atau mengikut istilah pembangunan masakini, golongan miskin mutlak. Anehnya, Rasulullah s.a.w. tidak pula diriwayatkan pernah menyuruh ahlus-suffah ini bekerja apatah lagi menyuruh mereka menjadi kaya.
2- Tsa’labah bin Hatib
Selain dari golongan miskin seperti ahlus-suffah, terdapat juga orang-orang miskin perseorangan seperti Tsa’labah bin Hatib, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. berketurunan Ansar. Tsa’labah memohon Rasulullah s.a.w. berdoa agar beliau menjadi kaya. Rasulullah s.a.w. pada mulanya enggan memenuhi permintaan Tsa’labah. Ketika kali pertama Tsa’labah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. untuk ini, Baginda menasihatkan bahawa sedikit harta yang disyukuri adalah lebih baik dari banyak harta yang dikufuri. Pada kali kedua Tsa’labah datang untuk maksud yang sama, Rasulullah s.a.w. menasihatkan agar beliau mengambil contoh hidup Baginda sendiri yang sederhana walaupun Baginda mampu berdoa agar Allah SWT tukarkan bukit-bukit di sekitarnya menjadi emas dan perak. Kedua-dua nasihat ini tidak didengari Tsa’labah hingga beliau datang buat kali ketiga untuk terus mendesak Rasulullah s.a.w. berdoa supaya beliau menjadi kaya. Kali ini Tsa’labah bersumpah dengan nama Allah SWT akan memberikan hak kepada setiap orang yang berhak sekiranya Rasulullah s.a.w. berdoa dan Allah SWT menjadikan beliau kaya. Akhirnya Rasulullah s.a.w. mengikut kehendak Tsa’labah dan Allah SWT makhbulkan doa Baginda.
3- Seorang Ansar
Selain dari Tsa’labah, terdapat seorang lagi lelaki Ansar yang miskin yang datang berjumpa Rasulullah s.a.w. meminta sesuatu. Rasulullah s.a.w. memberikan reaksi yang berbeza dari reaksi yang diberikannya kepada Tsa’labah. Secara terperinci, peristiwa ini diceritakan dengan jelas di dalam Hadith riwayat Anas r.a. yang bermaksud:
“Telah meriwayatkan bahawa seorang lelaki Ansar telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta sesuatu darinya. Rasulullah s.a.w. telah bertanya kepadanya: “Betulkah tiada apa-apa di rumah kamu?” Lelaki itu menjawab: “Ya, terdapat sebuah beg dari kain tarpal, sebahagiannya aku pakai dan sebahagian lagi aku hamparkan sebagai tempat aku tidur dan sebiji cawan yang aku gunakan untuk minum”. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bawalah kedua-dua barang itu kepadaku”. Lelaki Ansar itu pun membawa kedua-dua barang itu kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. pun mengambilnya dan bersabda: “Siapakah yang akan membeli kedua-dua barang ini untukku?” Seorang lelaki menjawab: “Aku akan membeli kedua-duanya dengan satu dirham”. Rasulullah s.a.w. telah bertanya sebanyak dua kali atau tiga kali. Kemudian Baginda s.a.w. pun bersabda: “Siapakah yang membeli dengan harga yang lebih tinggi?” Akhirnya seorang lelaki telah berkata: “Aku akan membeli kedua-duanya dengan harga dua dirham”. Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. telah memberikan kedua-dua barang itu kepada lelaki tersebut dan memberikan wang dua dirham itu kepada lelaki Ansar tersebut seraya bersabda kepadanya: “Ambillah wang ini; satu dirham hendaklah kamu gunakan untuk membeli makanan untuk keluargamu dan satu dirham lagi gunakanlah ia untuk membeli sebilah kapak kemudian datanglah kepadaku”. Tidak lama selepas itu, lelaki Ansar itu pun datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan membawa sebilah kapak. Rasulullah s.a.w. pun mengambil kapak itu dan dengan tangan Baginda s.a.w. yang berkat itu, beliau memasang hulu bagi kapak itu dan bersabda kepada lelaki Ansar tersebut: “Pergilah, kamu gunakanlah kapak ini untuk memotong kayu dan juallah kayu yang telah kamu potong itu. Janganlah menemuiku untuk selama lima belas hari”. Lelaki Ansar itu telah melakukan sebagaimana yang telah disuruh oleh Rasulullah s.a.w. Selepas lima belas hari beliau pun datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan membawa sepuluh dirham. Sebahagian wang itu telah digunakannya untuk membeli pakaian dan sebahagian lagi telah digunakannya untuk membeli makanan. Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada lelaki Ansar itu: “Ini adalah lebih baik bagi kamu dari kamu datang pada hari kiamat dengan tanda di mukamu yang menandakan kamu adalah seorang peminta sedekah”.[15]
Dari tiga contoh orang miskin zaman Rasulullah s.a.w. di atas, dapat dilihat bagaimana Rasulullah s.a.w. memberikan reaksi yang berbeza-beza terhadap golongan yang berbeza-beza. Bagi ahlus-suffah, Rasulullah s.a.w. biarkan mereka hidup di dalam keadaan miskin. Bagi Tsa’labah, Rasulullah s.a.w. tidak merestui beliau menjadi kaya, walau pun akhirnya Baginda menuruti kehendak Tsa`labah kerana terlalu didesak Tsa`labah dan dijanjikan akan memberikan hak kepada mereka yang berhak,. Manakala bagi orang Ansar yang datang meminta-minta, Rasulullah s.a.w. menyuruh beliau bekerja. Apakah iktibar yang dapat dipelajari dari reaksi-reaksi Rasulullah s.a.w. itu?
IKTIBAR DARI ORANG-ORANG MISKIN ZAMAN RASULULLAH S.A.W.
1- Ahlus-Suffah
Walaupun hidup dalam keadaan miskin, ahlus-suffah sebenarnya mempunyai kehidupan yang unik sehingga penderitaan kemiskinan tidak dirasai. Antaranya, orang-orang miskin ini membantu sesama sendiri, bersikap adil sesama sendiri, dibantu oleh pemimpin, dibantu oleh orang-orang kaya, dibantu oleh orang-orang yang hidup hanya sekadar mampu, dan digembirakan dengan kurniaan keistimewaan dari Allah SWT dan Rasulullah s.a.w. Secara lebih terperinci, hal-hal ini bolehlah dihuraikan seperti berikut.
i- Membantu Sesama Miskin
Sikap membantu sesama miskin ini diamalkan terutamanya oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Walaupun Baginda hidup di dalam keadaan miskin, Baginda sentiasa peka dan memahami tentang keperluan ahlus-suffah dan memenuhinya sekadar yang terdaya, walaupun ahlus-suffah tidak meminta-minta. Paling tidak, Rasulullah s.a.w. memberikan sejumlah kurma untuk dua orang setiap hari kerana kurma merupakan makanan utama mereka. Kadang-kadang Rasulullah s.a.w. memberikan mereka susu, atau jashishah (tepung dimasak dengan daging atau kurma), hisah (diperbuat daripada kurma, tepung dan mentega), barli panggang, atau tharid (hidangan roti yang dicecahkan dengan kuah, daging dan bubur)[16]. Oleh kerana makanan-makanan ini adalah makanan-makanan sederhana, Rasulullah s.a.w. sentiasa memohon maaf kepada ahlus-suffah.
Sifat Rasulullah s.a.w. ini bukan sahaja mempamirkan tanggungjawab pemimpin memahami dan memenuhi keperluan pengikutnya, tetapi juga merupakan manifestasi bagaimana Rasulullah s.a.w., sebagai orang miskin, membantu sesama mereka yang miskin. Walau pun Baginda s.a.w. dan keluarganya sendiri sering keputusan makanan, namun tugasnya bersedekah kepada orang-orang miskin yang lain seperti ahlus-suffah ini tidak pernah diabaikannya.
Hal sedemikian juga sering dilakukan oleh Sayyidina Ali bin Abu Thalib dan Siti Fatimah suami isteri, walaupun mereka sendiri hidup dalam kemiskinan. Sayyidina Ali pernah melucutkan cincin perak dari jarinya dan mencampakkannya kepada seorang peminta sedekah yang datang kepadanya, walaupun beliau ketika itu sedang mendirikan sembahyang. Beliau berbuat demikian kerana takut peminta sedekah itu berlalu tanpa mendapat apa-apa sebelum beliau selesai bersembahyang, walaupun beliau boleh dimaafkan kerana sedang mendirikan sembahyang. Dalam satu peristiwa yang lain pula, setiap hari, selama tiga hari berturut-turut, Sayyidina Ali dan Siti Fatimah menyedekahkan kepada orang-orang miskin yang datang meminta di rumahnya makanan yang sepatutnya mereka makan untuk berbuka puasa nazar[17]. Hari pertama Sayyidina Ali dan Siti Fatimah menyedekahkan makanan yang disediakan untuk berbuka itu kepada seorang miskin yang sudah beberapa hari tidak makan. Hari kedua kepada seorang anak yatim yang sudah berpusing-pusing meminta makanan tetapi tidak mendapatkannya. Dan hari ketiga kepada seorang tawanan.
Oleh kerana makanan untuk mereka berbuka itu disedekahkannya, Sayyidina Ali dan Siti Fatimah sendiri tinggal kelaparan tiga hari berturut-turut itu. Allah SWT memuji sikap Sayyidina Ali dan Siti Fatimah ini dengan firman-Nya bermaksud:
"Mereka menunaikan nazar dan takut hari yang siksanya merata di mana-mana. Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan. Sesungguhnya Kami memberi makan kepada kamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, tidak mengharapkan balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami amat takut (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan wajah dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera" (Al-Insan 76:7-12).
Kerana tidak pentingkan diri dan pemurahnya Sayyidina Ali ini juga beliau disanjung oleh ramai sahabat. Hasan bin Tsabit r.a. pernah menyanjung Sayyidina Ali bin Abu Thalib dengan rangkai bait berikut:
Oh bapak si Hasan!
Ku tebus diriku untuk jiwa dan ragamu
Tanganmu sentiasa terbuka dan suka menghormati tamu
Engkau suka memberi sedekah meskipun dalam shalatmu
Tidak berhenti dari berbakti dan tidak pernah kenal jemu![18]
ii- Adil Sesama Miskin
Di samping membantu sesama sendiri, orang-orang miskin dan ahlus-suffah juga bersikap adil sesama sendiri. Misalnya, walau hidup dalam keadaan kekurangan makanan, mereka tidak gelojoh dan selalu memastikan bahawa mereka tidak makan lebih daripada sahabat miskin yang lain. Abu Hurairah r.a. umpamanya meriwayatkan, apabila mereka berkumpul untuk makan kurma, jika seorang telah makan dua biji kurma, orang itu akan berkata kepada sahabatnya: "Saya telah makan dua kurma, jadi makanlah dua biji juga". Hal ini dilakukan supaya orang itu sendiri tidak makan lebih daripada sahabat-sahabatnya yang lain[19].
iii- Dibantu Pemimpin
Selain dari bersifat mulia dengan membantu dan berlaku adil sesama sendiri, orang-orang miskin pada zaman Rasulullah s.a.w. juga dibantu oleh pemimpin dan negara mereka. Rasulullah s.a.w. sendiri, sebagai pemimpin, sangat menyayangi dan mengambil berat tentang mereka. Baginda sendiri menjaga kebajikan mereka lebih dari anak menantu Baginda. Misalnya, ketika Siti Fatimah memohon seorang tawanan perang untuk menjadi pembantunya kerana terlalu letih terpaksa melakukan banyak kerja seorang diri, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Patutkah aku memberikan kamu seorang pelayan dan meninggalkan ahlus-suffah kelaparan?". Baginda menjelaskan bahawa Baginda akan menjual tawanan-tawanan itu dan menggunakan wangnya untuk ahlus-suffah.
Dalam peristiwa lain, Rasulullah s.a.w. menziarahi Sayyidina Ali dan Siti Fatimah dan mendapati selimut mereka terlalu pendek untuk menutupi mereka. Rasulullah s.a.w. mengajarkan beberapa kalimah zikir kepada mereka dan memilih untuk memberikan selimut kepada ahlus-suffah daripada memberikannya kepada Sayyidina Ali dan Siti Fatimah[20].
Rasulullah s.a.w. juga selalu menziarahi ahlus-suffah, melihat bagaimana diri mereka, dan melawat jika ada di antara mereka yang sakit[21]. Baginda selalu duduk bersama-sama mereka, menasihatkan mereka, menenangkan mereka, mengingati tentang hak-hak agama, memberitahu mereka kisah-kisah teladan, menunjuk ajar mereka membaca dan belajar al-Qur`an, untuk berzikir kepada Allah SWT, untuk merenungkan hari akhirat dan menggalakkan mereka menjauhi dunia dan kesenangannya[22].
Jika ada orang memberi sedekah, Rasulullah s.a.w. akan menghantarkan kesemuanya kepada ahlus-suffah. Jika ada orang memberi hadiah, Rasulullah s.a.w. akan berkongsi dengan mereka[23]. Apabila Sayyidina Hassan lahir, Baginda menyuruh Siti Fatimah memberikan perak sama berat dengan rambut bayi itu kepada ahlus-suffah sebagai sedekah[24]. Baginda selalu menjemput mereka makan di rumah salah seorang isteri Baginda[25]. Pada permulaan Hijrah, selepas solat Isya` Rasulullah s.a.w. sering membahagikan ahlus-suffah ini di kalangan para sahabat supaya ahlus-suffah boleh makan malam bersama-sama[26]. Pendeknya Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengenepikan ahlus-suffah, malah mereka sentiasa berada di dalam fikiran Baginda (Akram Diya` Al-Umari 2000:110).
Pekanya Rasulullah s.a.w. terhadap penderitaan orang-orang miskin ini ialah antara lain kerana Baginda s.a.w. sendiri hidup di dalam keadaan miskin. Begitulah juga dengan kebanyakan pemimpin Islam selepas Rasulullah s.a.w. Kesemua Khalifah-ur-Rashidun, kecuali Sayyidina `Uthman bin Affan, apabila diamanahkan tampuk pemerintahan, bertukar hidup menjadi miskin. Sayyidina Abu Bakar yang dahulunya seorang peniaga kain, apabila dilantik menjadi Khalifah hanya hidup dengan sedikit sara hidup mengikut keperluan yang diberikan oleh Baitul Mal[27]. Malah apabila dirasakan lebih dari keperluan, beliau mengurangkan lagi jumlah biaya itu. Misalnya, pernah isterinya inginkan sesuatu masakan yang manis, tetapi Sayyidina Abu Bakar tidak mampu menyediakannya kerana tidak mempunyai wang. Dengan izin Sayyidina Abu Bakar, isterinya menjimatkan wang belanjanya sedikit demi sedikit setiap hari sehingga akhirnya cukup untuk membeli bahan-bahan makanan untuk masakan tersebut. Setelah cukup, wang itu diserahkan kepada Sayyidina Abu Bakar untuk membeli bahan-bahan masakan itu. Tetapi Sayyidina Abu Bakar berkata: "Nampaknya wang sara yang aku perolehi dari Baitul Mal melebihi keperluan kita". Wang yang dikumpulkan isterinya itu dimasukkan kembali ke Baitul Mal. Sejak hari itu, wang saranya dikurangkan sebanyak yang telah dijimatkan oleh isterinya.
Menurut Anas, ketika Sayyidina Abu Bakar meninggal dunia, beliau hanya meninggalkan seekor unta, sebuah mangkuk dan seorang pelayan. Kata sahabat-sahabat lain, dia juga meninggalkan sehelai hamparan. Apabila Sayyidina Umar Al-Khattab menggantikannya, semua barang-barang itu diserahkan kepada Sayyidina Umar, termasuk sebuah kebun. Ibnu Sirin menceritakan, semasa Sayyidina Abu Bakar r.a. hampir meninggal dunia, beliau telah berkata kepada anak perempuannya, Sayyiditina Aisyah r.a.:
"Aku tidak suka menerima sesuatu dari Baitul Mal tetapi Umar telah menggesa aku supaya menerima wang sara agar aku tidak perlu berniaga untuk membolehkan aku menumpukan sepenuh masaku bagi menjalankan tugas sebagai Khalifah. Aku tidak ada pilihan. Tetapi sekarang, serahkanlah kebunku itu kepada penggantiku sebagai membayar apa yang telah aku terima selama ini"[28].
Sayyidina Umar Al-Khattab berkata:
"Semoga Allah mencucuri rahmat atas Abu Bakar. Dia telah menunjukkan jalan yang sukar diikuti oleh para penggantinya" (Maulana Muhammad Zakariya Kandhahlawi 1998:69-70).
Sayyidina Umar ibn Khattab sendiri juga, setelah menjadi Khalifah, menolak cadangan Sayyidina Ali, `Uthman bin Affan, Zubair dan Talhah yang dibuat melalui anaknya Hafsah agar wang sara hidupnya dinaikkan[29]. Sebaliknya beliau memakai jubah yang mempunyai tidak kurang dua belas tampalan, termasuk satu yang ditampal dengan kulit. Roti yang dimakannya juga adalah jenis yang terlalu keras sehingga Utbah bin Abi Farqad yang kebetulan bertamu ke rumah Sayyidina Umar sukar menelannya. Apabila Utbah bertanya kenapa beliau tidak menggunakan tepung yang baik untuk membuat roti, Sayyidina Umar bertanya Utbah kembali: "Adakah tiap-tiap orang Islam mampu menggunakan tepung yang baik untuk dibuat roti"? (Maulana Muhammad Zakariya Kandhahlawi, ibid:70-74).
Sikap Sayyidina Umar Al-Khattab ini jelas mempamirkan prihatinnya beliau terhadap keadaan dan hak orang-orang Islam yang lain, khususnya rakyatnya yang miskin. Sikap begini tambah-tambah lagi ada pada Rasulullah s.a.w sendiri, misalnya sebagaimana yang telah disebutkan bersabit dengan ahlus-suffah sebelum ini. Selain itu, pernah Rasulullah s.a.w. tidak dapat tidur semalam-malaman kerana termakan sebiji kurma yang terletak di satu tempat. Baginda memakannya kerana takut ianya terbuang begitu sahaja. Tetapi kemudian Baginda menyesal hingga tidak dapat tidur kerana takut buah itu dihantar dengan tujuan disedekahkan kepada fakir miskin. Selalunya para dermawan menyerahkan barang-barang yang hendak dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin kepada Rasulullah s.a.w. agar Baginda sendiri yang membahagi-bahagikannya (Maulana Muhammad Zakariya Kandhahlawi, ibid:84).
Tradisi kemiskinan di kalangan pemimpin Islam dan kepekaan mereka terhadap golongan miskin juga diwarisi oleh Khalifah selepas Khulafa-ur-Rashidin, terutamanya Khalifah Umar bin Abdul Aziz[30]. Apabila diangkat menjadi Khalifah, Sayyidina Umar bin Abdul Aziz sangat berdukacita dan menangis takut-takut tidak dapat menjalani tugasnya ini[31]. Ketika ditanya oleh isterinya Fatimah puteri Khalifah Abdul Malik kenapa beliau berdukacita dan menangis, Khalifah Umar Abdul Aziz menjawab begini:
"Hai Fatimah, aku telah menanggung beban untuk mengurus umat Muhammad s.a.w baik yang berkulit hitam mahu pun merahnya. Maka lantas terfikir olehku tentang nasibnya orang fakir miskin yang kelaparan, orang yang sakit yang terlantar, orang yang bertelanjang yang tidak berkain, orang teraniaya, orang asing yang menjadi tawanan perang, orang tua, keluarga yang ramai anak serta harta bendanya sedikit dan lain-lain seperti mereka itu yang terdapat di seluruh penjuru bumi dan pelosok-pelosok negeri. Aku ingat, yang Tuhanku akan menanya dan meminta pertanggungjawabku tentang mereka itu semua pada hari kiamat kelak, maka aku takut kalau-kalau aku tidak boleh memberikan keterangan hujjahku, dari itulah aku menangis"[32].
Dengan kesedaran beginilah maka Khalifah Umar Abdul Aziz mengambil tindakan-tindakan berikut (K.H. Firdaus 1997:66-83):
1- Peringkat Kepimpinan: Menjual kenderaan-kenderaan, perhiasan dan peralatan-peralatan Khalifah seperti kuda-kuda, permaidani-permaidani dan tempat-tempat alas kaki. Hasil jualan itu diserahkan kepada Baitul Mal. Beliau juga melarang Gabenor-Gabenor dan ketua-ketuanya berniaga untuk kepentingan peribadi atau kepentingan keluarga mereka. Tetapi gaji mereka dinaikkan sehingga tiga ratus dinar agar mereka jujur dan tiada khianat dalam tugas mereka. Namun begitu, belanja hidup Khalifah Umar bin Abdul Aziz sendiri sehari-hari hanyalah tidak lebih dari dua dirham sahaja.
2- Peringkat diri sendiri: Mengembalikan semua tanah dan harta benda yang diwarisinya, meninggalkan pakaian yang mahal dan digantikan dengan yang murah (lebih kurang lapan dirham harganya), membasuh dirinya dari bekas-bekas minyak wangi, memotong rambutnya yang panjang, menjauhkan diri dari makanan yang lazat-lazat dan memakan hanya makanan kering, melayani dirinya sendiri, dan menjual pakaian mahal dan wangian-wangiannya dan hasilnya diserahkan kepada Baitul Mal. Beliau juga berkomunikasi dengan alim ulamak, misalnya dengan Salim bin Abdillah bin Umar bin Khattab dan Hasan Basri. Khalifah Umar Abdul Aziz juga menjadi da'i dengan membangun dan membina kerohanian umat, yakni menjadi umarak untuk memberikan kemakmuran jasmaniah umat dan pada masa yang sama menjadi ulamak untuk memberi kemakmuran rohaniah kepada masyarakat. Beliau juga menjalankan amar ma`aruf dan nahi mungkar.
3- Peringkat isteri: Diminta isterinya memilih antara dua, sama ada hidup bersamanya tetapi melepaskan semua harta benda seumpama permata, mutiara, perhiasan-perhiasan dan perabot-perabot yang amat mahal harganya; atau memilih harta benda itu tetapi Umar melepaskannya. Isterinya Fatimah puteri Khalifah Abdul Malik memilih pilihan pertama dan mereka hidup dalam keadaan sederhana.
4- Peringkat masyarakat: Mengembalikan milik negara yang selama ini disalahgunakan. Tanah-tanah dan harta benda yang dimiliki oleh Amir-Amir dan pemimpin-pemimpin negara secara haram dan tidak sah diambil balik, diserahkan kepada tuannya yang sebenar atau diserahkan kepada Baitul Mal. Khalifah Umar Abdul Aziz juga mengurangi beban pajak yang biasa dipungut dari orang-orang Nasrani. Bagi mereka yang masuk Islam, pungutan beban pajak itu dihentikan hingga berbondong-bondonglah mereka masuk Islam kerana tiga perkara: pertama, kerana menghargai ajaran Islam; kedua, kerana daya tarik peribadi Umar Abdul Aziz sendiri; dan ketiga, kerana ingin bebas dari membayar pajak.
Hasil dari usaha Khalifah Umar Abdul Aziz inilah maka negara di bawah pemerintahannya menjadi makmur dan aman damai. Di bawah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, orang-orang zalim di Kota Madinah dapat ditangkap, orang-orang yang teraniaya dapat ditolong, orang-orang kaya hidup makmur, dan orang-orang miskin cukup terjamin. Asnaf-asnaf zakat di seluruh pelusuk pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz seperti di Afrika Utara pula tidak merasakan perlu kepada zakat sehingga utusan Khalifah Umar, Yahya Ibnu Sa`id terpaksa membeli beberapa hamba sahaya untuk kemudiannya dimerdekakan.
Selain dari kepekaan dan bantuan dari pemimpin Islam sendiri, negara Islam juga menyediakan kaedah menangani masalah kemiskinan ini dengan beberapa mekanisme, terutamanya zakat. Dalam melaksanakan hal ini, Rasullullah s.a.w. menasihatkan agar dilakukan secara beransur-ansur dan bertoleransi supaya tidak menganiaya mana-mana pihak. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Dari Ibnu Abbas r.a., katanya Nabi s.a.w. mengirim Mu`adz ke negeri Yaman. Baginda bersabda kepadanya: "Ajaklah mereka supaya mengakui bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan sesungguhya aku Pesuruh Allah. Jika mereka telah mematuhi yang demikian, terangkanlah kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan kepada mereka shalat lima kali sehari semalam. Kalau mereka telah mentaatinya, ajarkanlah bahawa Allah SWT memerintahkan kepada mereka supaya membayar zakat harta mereka, diambil dari orang kaya di antara mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin. Jika itu telah dipatuhi mereka, jagalah supaya kamu jangan mengambil harta mereka yang paling berharga. Takutilah doa orang yang teraniaya, kerana sesungguhnya antara dia dengan Allah tidak ada dinding"[33].
iv- Dibantu Orang-Orang Kaya
Selain dari pemimpin dan negara, orang-orang miskin pada zaman Rasulullah s.a.w. juga mendapat bantuan dari para sahabat yang kaya. Antaranya ialah dari Abu Talhah yang paling banyak memiliki kebun kurma di kalangan semua orang-orang Ansar yang tinggal di Madinah, Sayyidina Uthman bin Affan yang lahir dari keluarga yang mewah dan kaya raya yang kemudiannya mewarisi dan menyambung kekayaan itu melalui perniagaan, dan Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf yang pakar dalam perniagaan dan mendapat kekayaan dengan daya usahanya sendiri.
Orang-orang kaya pada zaman Rasulullah s.a.w. ini mempunyai sifat pemurah, suka memberi dan gemar membantu. Abu Talhah misalnya telah mewakafkan taman Bayruha yang paling disayanginya, yang terletak berhadapan Masjid Nabi dan pernah pula didatangi Rasulullah s.a.w. dan meminum air sungainya. Pengorbanan ini dilakukan atas dasar aqidah yang kuat, yang ingin patuh kepada perintah Allah SWT secepat dan sepenuh mungkin. Hal ini dilakukan sebaik saja turunnya wahyu tentang maksud kebaktian yang sempurna sebagaimana tercatat dalam surah Ali Imran ayat 92. Apabila turunnya wahyu ini, Abu Talhah berkata kepada Rasulullah s.a.w:
"Wahai Rasulullah, Allah berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaktian (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai…" [34] dan harta yang paling aku sayangi ialah taman Bayruha, jadi aku sedekahkannya pada jalan Allah dan berharap akan mendapat kebaikan daripadanya dan diterima oleh Allah. Oleh itu, ya Rasulullah, buatlah mengikut apa yang Allah perintahkan kepadamu". Nabi bersabda: "Itu adalah harta yang mengeluarkan hasil! Saya telah mendengar apa yang kamu katakan dan saya fikir kamu patut membahagikannya di kalangan kaum kerabatmu". "Saya akan berbuat begitu, ya Rasulullah s.a.w", kata Abu Talhah"[35].
Selain dari Abu Talhah, Sayyidina `Uthman bin Affan juga banyak mengorbankan hartanya untuk masyarakat Islam amnya dan untuk orang-orang miskin khususnya. Antara lain, beliau telah memberi sedekah gandum, minyak dan kismis yang dibawa oleh 1,000 ekor unta kepada orang Islam yang miskin ketika krisis ekonomi melanda Madinah semasa pemerintahan Khalifah Sayyidina Abu Bakar As Siddiq. Walaupun pedagang-pedagang Madinah ingin membelinya dengan harga lima kali ganda daripada harga asal, namun Sayyidina `Uthman menolaknya. Sebaliknya beliau tetap berkongsi dengan orang-orang miskin kerana beliau yakin bahawa Allah akan memberi sepuluh kali ganda daripada nilainya (Syed Ahmad Semait 1995:162-165; Akram Diya` Al-Umari 2000:97-98). Beliau juga telah mewakafkan umat Islam sebuah perigi bernama Bir Ruumah yang sangat jernih dan bagus airnya yang dibelinya dari seorang Yahudi ketika umat Islam sukar mendapatkan air dan derita dengan musim kemarau yang amat sangat[36]. Selain itu, Sayyidina Uthman bin Affan juga pernah membiayai keseluruhan bala tentera Islam yang berangkat menentang tentera Rom dengan hartanya berjumlah 700 uqiyah emas (Syed Ahmad Semait 1995:152-153; 160-162).
Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf pula, mengikut Sa`ad bin Ibrahim dari cerita keluarganya, pernah membahagikan kesemua hasil penjualan bahagian hartanya dari ghanimah (harta rampasan) perang Bani An-Nadhir berjumlah 40,000 dinar kepada para isteri Rasulullah s.a.w. Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf juga, menurut Az-Zuhri, dalam masa hayat Rasulullah s.a.w bersedekah dari hasil perniagaannya dengan separuh hartanya, yakni berjumlah 40,000 dinar dan selepas itu menyedekahkan sebanyak 500 kenderaan untuk digunakan di dalam perang fisabilillah. Menurut Anas bin Malik, Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf juga menyedekahkan pada jalan Allah SWT sejumlah tujuh ratus unta dengan muatannya sekali yang baru sampai dari Syam apabila mendapat tahu daripada Sayyiditina Siti Aisyah tentang sabda Rasulullah s.a.w bahawa Baginda melihat Sayyidina Abdul Rahman masuk syurga dengan merangkak. Ibnu Abbas r.a. juga pernah menceritakan tentang Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf menyerahkan seluruh kafilahnya yang baru sampai dari Syam kepada Rasulullah s.a.w untuk disedekahkan[37]. Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf juga, menurut Sayyidina Umar bin Al-Khatab r.a. pula, memenuhi permintaan Rasulullah s.a.w memberikan sesuatu kepada cucu-cucu Baginda, Sayyidina Hasan dan Husain, dengan membawa piring berisi bubur dan roti, sehingga Rasulullah s.a.w bersabda: "Semoga Allah mencukupimu segala urusan duniamu. Adapun urusan akhiratmu, sayalah yang akan menanggungnya!" (Syed Ahmad Semait 1995:366-368).
Orang-orang kaya pada zaman Rasulullah s.a.w. berlumba-lumba membuat kebajikan kerana yakin bahawa semua itu akan dinilai Allah SWT. Antara lain, Rasulullah s.a.w. menerangkan:
"Sesiapa yang melepaskan dari seorang Mu'min suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, pasti Allah akan melepaskan darinya suatu kesusahan-kesusahan Hari Kiamat" (Riwayat Abu Hurairah).
"Dan barangsiapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, pasti Allah akan mengusahakan keperluannya" (Riwayat Imam Ahmad).
Bantu membantu ini pula adalah merupakan salah satu syarat berimannya seseorang itu. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Perumpamaan orang beriman sesamanya, cinta-mecintai, sayang-menyayangi dan bantu-membantu antara sesamanya, seumpama satu tubuh. Apabila salah satu anggota sakit, anggota yang lain akan turut merasainya sama" (Riwayat Muslim).
Bagi orang-orang kaya yang membantu dan pemurah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Yang menolong saudaranya, Tuhan akan menolongnya" (Riwayat Al-Tirmidhi dan Imam Ahmad).
"Allah akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya menolong saudara-saudaranya" (Riwayat Al-Tirmidhi dan Abu Dawud).
v- Dibantu Orang-Orang Yang Hanya Sekadar Mampu
Pengorbanan harta yang sebegini terhadap Islam, masyarakatnya dan orang-orang miskin bukan sahaja dilakukan orang-orang kaya, malah mereka yang hanya sekadar mampu juga turut melakukannya. Misalnya kesemua 70 orang Ansar yang digelar al-Qurra' (penghafal Qur'an, yang kemudiannya syahid di Bi`r Ma`unah) juga turut membantu ahlus-suffah dan orang-orang miskin. Golongan al-Qurra’ ini membelikan makanan untuk ahlus-suffah dengan hasil mereka mengangkat air ke masjid, memotong kayu dan menjualnya[38]. Selain dari al-Qurra' ini, anggota masyarakat zaman Rasulullah s.a.w yang mempunyai kebun kurma pula menggantung gugus-gugus kurma di tali yang diikat di antara dua tiang di masjid sebagai sedekah kepada ahlus-suffah dan orang-orang miskin[39].
vi- Digembira Dengan Keistimewaan
Selain dari bantuan-bantuan berbentuk material, orang-orang miskin juga digembirakan dengan keistimewaan-keistimewaan dari Allah SWT. Mengikut Hadith dan pandangan ulamak muktabar, sekurang-kurangnya ada empat keistimewaan yang dianugerahkan kepada orang-orang miskin. Pertama, mereka akan berada bersama Rasulullah s.a.w. di padang mashsyar dan di akhirat kelak. Kedua, kemiskinan merupakan syi'ar atau lambang orang-orang soleh dan solehah. Ketiga, kemiskinan merupakan sebab untuk mendapat kasih sayang Allah SWT. Dan keempat, kemiskinan merupakan sebab Allah anugerahkan ganjaran istimewa di akhirat.
Bagi keistimewaan pertama, doa-doa Rasulullah s.a.w. berikut menjadi sandaran yang kuat:
"Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin dan matikanlah aku dalam keadaan miskin”[40].
"Wahai Allah Tuhanku, hidupkanlah aku miskin, matikanlah aku miskin, dan kumpulkanlah aku (di padang mashsyar) dalam golongan orang-orang miskin”[41].
Abullaits Assamarqandi (1978:316) juga pernah berkata: Abu Ja'far meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhudri r.a. berkata: "Hai manusia, jangan sampai kesukaran itu mendorong kamu untuk mencari rizqi dari yang haram sebab saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah, matikan aku sebagai orang fakir miskin, dan jangan dimatikan aku kaya, dan kumpulkan aku dimashsyar dalam rombongan orang-orang miskin pada hari qiamat, maka sesungguhnya yang amat celaka ialah orang yang miskin di dunia dan tersiksa di akhirat".
Malah sebelum Rasulullah s.a.w. pun, ada Nabi-Nabi yang gemar kepada kemiskinan. Imam Ghazali (1980, Jil.7:152) menceritakan bahawa Nabi Isa a.s. bersabda: "Bahawa aku lebih mencintai kemiskinan dan memarahi kenikmatan". Nabi Isa a.s. paling suka apabila Baginda dipanggil "Hai orang miskin!".
Bagi keistimewaan kedua pula, yakni kemiskinan merupakan syi'ar orang-orang soleh dan solehah, Imam Ghazali (1980 Jilid 7:149) berkata:
"Ka'bul-ahbar berkata: "Allah SWT berfirman kepada Musa a.s.: "Hai Musa! Apabila engkau melihat kefakiran itu menghadap kepada engkau, maka katakanlah: "Selamat datang kepada syi`ar orang-orang yang soleh".
Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersabda: "Apabila engkau melihat kefakiran datang menghadap kepada engkau, maka katakanlah: "Selamat datang kepada lambang orang-orang soleh. Dan apabila engkau melihat kekayaan datang menghadap kepada engkau, maka katakanlah: "Dosa yang disegerakan siksaannya”[42].
Bagi keistimewaan ketiga pula, yakni kemiskinan merupakan sebab mendapat kasih sayang Allah SWT, Abdullah bin Umar r.a. misalnya berkata: "Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia yang amat dikasihi Allah ialah para Nabi, maka Allah menguji mereka dengan kefakiran kemiskinan".
Nabi Musa a.s. bertanya kepada Tuhan: "Hai Tuhanku, siapakah kekasihMu dari makhlukMu, sehingga aku cintai mereka keranaMu?". Maka Allah SWT berfirman: "Setiap orang fakir" (Imam Ghazali, 1980, Jil.7:152).
Dan akhir sekali, bagi keistimewaan keempat, yakni kemiskinan merupakan sebab mendapat anugerah istimewa Allah di akhirat, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Akan masuk syurga umatku yang fakir sebelum yang kaya dengan lima ratus tahun”[43].
Abul-Laits Assamarqandi (1978) meriwayatkan dengan sanadnya dari Anas bin Malik r.a. berkata: "Orang-orang faqir mengutus utusan mereka kepada Rasulullah s.a.w. maka berkata: "Ya Rasulullah, saya utusan orang-orang faqir kepadamu. Jawab Nabi s.a.w.: Selamat datang kepadamu dan kepada orang-orang yang mengutusmu, engkau datang dari orang-orang yang dicinta oleh Allah. Utusan itu berkata: Ya Rasulullah, orang-orang miskin berkata: Bahawa orang-orang kaya telah memborong semua kebaikan, mereka berhaji dan kami tidak dapat, dan mereka sedekah sedang kami tidak dapat, dan jika sakit mereka mengirim wang untuk tabungan mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sampaikan kepada orang faqir daripadaku: Bahawa siapa yang sabar dari kamu akan mengharap pahala dari Allah. Maka ia akan mendapat tiga macam yang tidak bisa didapat oleh orang-orang yang kaya-kaya. Pertama, di dalam syurga ada kamar dari yaqut yang merah, orang-orang syurga melihat tempat itu sama dengan orang dunia jika melihat bintang di langit, tidak dapat masuk ke situ kecuali Nabi yang fakir atau orang yang mati syahid yang fakir atau seorang mu'min yang faqir. Kedua, orang faqir akan masuk syurga sebelum orang kaya sekadar setengah hari iaitu sekeira lima ratus tahun, mereka bersuka-suka dengan bebas leluasa, dan Nabi Sulaiman bin Daud a.s. akan masuk sesudah Nabi-Nabi yang lainnya sekira empat puluh tahun disebabkan oleh kerajaan yang diberikan Allah kepadanya. Ketiga, jika seseorang faqir membaca: Subhanallah walhamdulillah walaa ilaha illallah wallahu akhbar dengan tulus ikhlas, dan orang kaya membaca itu, maka orang kaya itu tidak dapat mengejar orang faqir meskipun ditambah dengan sedekah sepuluh ribu dirham. Demikian amal-amal kebaikan yang lain-lainnya. Maka kembalilah utusan itu memberitahu kepada orang-orang faqir apa yang disabdakan Nabi s.a.w. itu kepada mereka. Maka mereka berkata: Kami redha ya Tuhan, kami puas ya Tuhan".
Allah SWT juga ada berfirman maksudnya: "Telah dihiaskan kepada manusia oleh kecintaan kepada yang menarik seperti wanita, anak, emas dan perak yang berkintal-kintal, kuda yang bagus, binatang ternak dan sawah ladang. Semua itu perhiasan hidup dunia, tetapi Allah mempunyai tempat kembali yang baik. Katakanlah, mahukah Aku tunjukkan kepadamu keadaan yang lebih baik daripada itu? Bagi orang-orang yang berbakti, di sisi Tuhannya akan mendapat syurga-syurga yang mengalir dari bawahnya sungei-sungei, mereka kekal padanya, dengan mendapat jodoh-jodoh yang suci dan keredhaan dari Allah" (Surah Ali-Imran 3:14-15).
2- Tsa’labah bin Hatib
Tsa’labah bin Hatib pula Rasulullah s.a.w. tidak restui menjadi kaya kerana rupanya kekayaan boleh membawa beliau kepada kekufuran. Tsa’labah telah menjadi seumpama Qarun. Kalau Qarun mewakili orang kaya yang sombong dan kedekut serta menjadi semakin jauh dengan Allah SWT dengan kekayaannya pada zaman Nabi Musa, maka Sha'labah bin Hatib boleh dikatakan mewakili orang kaya sedemikian pada zaman Rasulullah s.a.w. Qarun, walaupun dari keluarga Nabi Musa telah ternyata takabbur, kedekut dan tidak mahu membayar zakat serta derhaka kepada Nabi Musa dan Allah SWT apabila mendapat kekayaan. Akhirnya Allah SWT memerintahkan bumi menelan Qarun bersama dengan semua hartanya.
Tsa’labah pula, walaupun pada awalnya kuat beribadah dan sentiasa berjemaah bersama Rasulullah s.a.w, ternyata lalai menyempurnakan sembahyang dan enggan membayar zakat setelah dianugerahkan Allah SWT kekayaan. Tidak bolehnya Tsa’labah ini kaya telah dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w apabila Baginda enggan memenuhi permintaan Tsa’labah supaya berdoa kepada Allah SWT agar beliau menjadi kaya. Cerita terperinci berkenaan Tsa’labah ini diterangkan melalui Hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bawardi, Al-Baghawi, Ibnu Qani’, Ibnu Sakan, Ibnu Syahiin, Thabrani, Dailami dan Al-Wahidi dari jalan Mu`aan bin Rifa`ah As-Salami dari Ali bin Yazid dari Al-Qasim bin Abdur Rahman dari Abu Umamah Al-Baahili. Hadith itu berbunyi begini:
“Bahawasanya Tsa’labah bin Hatib Al-Ansari datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu ia berkata: “Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar aku dikurniakan harta”. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Celaka engkau wahai Tsa’labah! Sedikit (harta yang) engkau syukuri itu lebih baik dari harta banyak yang engkau tidak sanggup mensyukurinya. Apakah engkau tidak suka menjadi seperti Nabi Allah? Demi yang diriku di tangan-Nya, seandainya aku mahu gunung mengalirkan perak dan emas, nescaya akan mengalir untukku”. Kemudian ia (Tsa’labah) berkata: “Demi zat yang mengutusmu dengan benar, seandainya engkau memohon kepada Allah agar aku dikurniai harta (yang banyak) sungguh aku akan memberikan haknya (zakat/sedekah) kepada yang berhak menerimanya”. Lalu Rasulullah s.a.w. berdoa: “Ya Allah, kurniakanlah harta kepada Tsa’labah”. Kemudian ia mendapatkan seekor kambing, lalu kambing itu tumbuh beranak sebagaimana tumbuhnya ulat. Kota Madinah terasa sempit baginya. Sesudah itu, ia (Tsa’labah) menjauh dari Madinah dan tinggal di satu lembah (desa). Kerana kesibukannya, ia hanya berjemaah solat Zohor dan Asyar sahaja dan tidak pada solat-solat lain-lainnya. Kemudian kambing itu semakin banyak, maka mulailah ia meninggalkan solat berjemaah sampai solat Jumaat pun ia tinggalkan. Suatu ketika Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat: “Apa yang dilakukan Tsa’labah?” Mereka menjawab: “Ia mendapatkan seekor kambing, lalu kambingnya bertambah banyak sehingga kota Madinah merasa sempit baginya…” Maka Rasulullah s.a.w. mengutus dua orang untuk mengambil zakatnya seraya berkata: “Pergilah kalian ke tempat Tsa’labah dan tempat fulan dari Bani Sulaiman, ambillah zakat mereka berdua”. Lalu keduanya pergi mendatangi Tsa’labah untuk meminta zakatnya. Sesampainya di sana dibacakan surat dari Rasulullah s.a.w. Serta merta Tsa’labah berkata: “Apakah yang kalian minta dari saya ini pajak (upti) atau sebangsa pajak? Aku tidak tahu apa yang sebenarnya yang kalian minta ini!” Lalu keduanya pulang dan mengadap Nabi s.a.w. Tatkala Baginda melihat keduanya (pulang tidak membawa hasil), sebelum berbicara, Baginda s.a.w. bersabda: “Celaka engkau, wahai Tsa’labah!”. Lalu turun ayat: "Dan di antara mereka ada orang-orang yang membuat perjanjian kepada Tuhan: Jika Tuhan memberikan kurnia-Nya kepada kami, pastilah kami akan memberi sedekah, dan masuk golongan orang-orang yang soleh. Apabila Tuhan memberikan kurnia-Nya kepada mereka, lantas mereka menjadi kikir dengan (kurnia) itu. Mereka berpaling dan engkar (akan janjinya). Maka tercetuslah penyakit nifaq di dalam hati mereka sampai hari mereka bertemu dengan Allah, disebabkan mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan, dan kerana mereka berdusta" (At-Taubah 9:75-77). Setelah ayat ini turun, Tsa’labah datang kepada Nabi s.a.w., ia mohon agar diterima zakatnya. Baginda s.a.w. langsung menjawab: “Allah telah melarangku menerima zakatmu”. Sampai Rasulullah s..a.w. wafat, beliau tidak mahu menerima sedikit pun dari zakatnya. Dan Abu Bakar, Umar serta Uthman pun tidak mahu menerima zakatnya di masa khalifah mereka”.[44]
Dari Hadith di atas ternyata bahawa Tsa’labah terus mendesak Rasulullah s.a.w. berdoa untuknya walaupun Rasulullah s.a.w. menasihatinya supaya tidak menjadi kaya. Apabila doa Rasulullah s.a.w. dimakbulkan Allah SWT dan Tsa’labah menjadi kaya dan semakin sibuk dengan ternakan kambing yang cukup membiak, beliau yang biasanya sentiasa bersembahyang jemaah setiap waktu dengan Rasulullah s.a.w, kini hanya mampu berjemaah Zohor dan Ashar sahaja. Kemudian selepas itu Tsa’labah hanya mampu bersembahyang Jumaat sahaja dan akhirnya terus tidak bersembahyang jemaah langsung. Kemudian beliau enggan membayar zakat walaupun Rasulullah s.a.w utuskan amil kepadanya. Zakat dianggap oleh Tsa’labah sebagai sama atau hampir sama dengan jizyah. Akhirnya Allah SWT menurunkan wahyu menempelak keengkaran Sha'labah ini sebagaimana yang dicatatkan di dalam Hadith di atas.
Dengan wahyu ini Tsa’labah tersedar dari kesilapannya dan sangat menyesal sekali. Tetapi masanya telah terlambat. Allah SWT telah melarang Rasulullah s.a.w dari menerima sedekah Tsa’labah. Walaupun Tsa’labah merayu-rayu kepada Rasulullah s.a.w dan kemudiannya kepada Khalifah-khalifah Islam berikutnya, dari Khalifah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab hinggalah kepada Khalifah Sayyidina `Uthman bin Affan, semuanya tidak mahu menerimanya dengan alasan bahawa Allah SWT dan Rasulullah s.a.w serta Khalifah-khalifah terdahulu tidak mahu menerimanya, bagaimana mereka boleh menerima. Akhirnya Tsa’labah meninggal dunia ketika pemerintahan Sayyidina `Uthman dengan membawa dosa yang amat besar, yakni memungkiri janji dengan Allah SWT dan Rasulullah s.a.w. Rupanya keengganan Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk kekayaan Tsa’labah adalah kerana berhasrat menyelamatkannya dari kekufuran. Kekayaan juga boleh membawa kekufuran, bukan kemiskinan sahaja.
3- Orang Ansar
Berbeza dengan ahlus-suffah dan Tsa’labah, orang Ansar yang datang kepada Rasulullah s.a.w. meminta sesuatu diberikan Rasulullah s.a.w. alat (kapak) untuk mencari rezekinya sendiri. Kerana beliau merasa derita dengan kemiskinannya hingga terpaksa meminta sedekah dari Rasulullah s.a.w. maka Rasulullah s.a.w. meminta beliau bekerja. Menariknya, Rasulullah s.a.w. tidak membantu hanya untuk jangkamasa pendek, tetapi sebaliknya membantu mencari alat agar orang Ansar itu sendiri berkemampuan memenuhi keperluannya untuk jangkamasa yang lebih panjang secara berdikari. Itu pun alat tersebut dibeli menggunakan harta orang Ansar itu sendiri, bukan diambil dari Baitul-Mal agar dengan itu barangkali, orang Ansar itu akan benar-benar merasa bertanggungjawab terhadap alat tersebut. Usahanya juga akan lebih kuat dari sekiranya alat itu diberikan negara dengan mudah dan lebih dari keperluannya. Tambahlagi berusaha itu pula sesungguhnya merupakan tuntutan Islam sebagaimana dinyatakan di dalam nas-nas berikut:
“Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung” (Al-Jumaah: 10).
Dari hadis riwayat Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam untuk mencari punca pendapatan yang halal”.[45]
Ibnu Mas’ud r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Mencari pendapatan yang halal adalah wajib selepas menunaikan kewajipan fardhu”.[46]
Miqdam bin Ma`adi Karb r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada seorang pun di kalangan kamu yang telah makan makanan yang terlebih baik dari makanan yang diperolehinya dari usaha tangannya sendiri”.[47]
Di riwayatkan di dalam Sunnan Ibnu Majah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Tiada pendapatan yang lebih baik dari pendapatan yang terhasil dari daya usaha sendiri”.[48]
Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Adalah lebih baik seseorang itu untuk memunggah kayu di belakangnya (kemudian menjualnya) dari meminta-minta dari orang lain di mana permintaannya itu mungkin diperkenankan atau pun mungkin ditolak” (Bukhari dan Muslim).
Selain dari tuntutan berusaha, berusaha dengan tangan sendiri juga mempunyai kelebihan- kelebihan. Antaranya adalah seperti berikut[49]:
1- Dosa diampunkan
“Sesungguhnya di antara dosa-dosa yang ada yang tidak boleh dihapus (ditebus) dengan pahala solat, sedekah atau haji namun dapat ditebus dengan kesusah-payahan dalam mencari nafkah” (At-Tabrani).
Aisyah r.anha telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sesiapa sahaja keletihan pada waktu hari akibat bekerja terlalu kuat, semua dosanya akan diampunkan pada petang itu” (Ahmad).
2- Mendapat keredhaan Allah SWT
“Sesungguhnya Allah suka kepada hamba yang bekerja dan berusaha. Barangsiapa bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya maka dia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah Azza wa Jalla” (Ahmad).
“Sesungguhnya Allah Ta`ala suka melihat hamba-Nya bersusah payah dalam mencari rezeki yang halal” (Ad-Dailami).
Dari hujah-hujah di atas, ternyata bahawa perlunya orang seperti orang Ansar ini bekerja adalah kerana bagi mendapatkan kasih sayang Allah SWT dan mengelak dari mempunyai tanda peminta sedekah di akhirat kelak, sepertilah juga tidak restunya Rasulullah s.a.w. terhadap Tsa’labah menjadi kaya adalah kerana sayangkan Tsa’labah agar jangan beliau menjadi kufur. Kalau Tsa`labah tidak direstui menjadi kaya kerana beliau tidak tahan berhadapan dengan kekayaan, orang Ansar disuruh bekerja kerana beliau tidak tahan berhadapan dengan kemiskinan hingga terpaksa meminta-minta dari orang lain.
KEMISKINAN DAN PEMBANGUNAN INSAN
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, apakah sebenarnya kedudukan kemiskinan dan usaha membasminya di sisi Islam? Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya bergantung kepada sifat orang-orang miskin itu sendiri. Kalaulah mereka mempunyai sifat seperti ahlus-suffah, pembasmian kemiskinan boleh menjadi hanya sebagai usaha sekunder. Kalau mereka mempunyai sifat seperti Tsa’labah, pembasmian kemiskinan boleh dikatakan hampir tidak diperlukan. Tetapi kalau sifatnya seperti orang Ansar yang datang meminta sedekah dari Rasulullah s.a.w., pembasmian kemiskinan mesti menjadi agenda utama.
Tidak boleh kaya orang seperti Tsa’labah adalah kerana ingin menyelamatkannya dari kekufuran. Manakala pentingnya berusaha membasmi kemiskinan bagi orang seperti orang Ansar itu juga adalah kerana menyelamatkannya dari kekufuran. Kekufuran boleh berlaku kepada kedua-dua golongan, sama ada golongan kaya atau golongan miskin. Penentunya ialah iman dan taqwa. Bagi ahlus-suffah, kekufuran tidak mengancam mereka kerana mereka mempunyai iman dan taqwa yang tinggi, di samping berjuang di jalan Allah SWT, tidak menyusahkan masyarakat dan tidak bergantung kepada orang lain. Kesemua ini merupakan elemen-elemen pembangunan insan yang cukup jitu di dalam berhadapan dengan kemiskinan.
Tingginya Iman dan Taqwa
Iman dan taqwa para sahabat Rasulullah s.a.w, amnya dan ahlus-suffah khasnya diketahui umum luarbiasa, sehingga ada di antara mereka yang dijamin syurga[50]. Para ulamak membahagikan iman kepada lima peringkat bermula dari iman taqlid (iman turut-turut tanpa ilmu) yang paling rendah hinggalah kepada iman yang semakin tinggi yakni iman ilmu (iman orang yang mempunyai ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya), iman ayan (iman orang yang mempunyai ilmu dan beramal dengannya), iman haq (iman wali-wali Allah) dan iman haqiqat (iman para Nabi dan Rasul). Di antara lima peringkat iman ini, yang paling rendah dijamin selamat di sisi Allah SWT ialah iman ayan, manakala dua iman terendah (iman taqlid dan iman ilmu) dikira belum bernilai di sisi Allah SWT.
Paling tidak iman para sahabat dan ahlus-suffah berada di peringkat iman ayan, kalau pun tidak di peringkat iman haq dan iman haqiqat. Kerana tingginya iman dan taqwa, mereka tidak mengeluh dan tidak derita kerana kemiskinan, mereka tidak meminta-minta, dan mereka tidak menyusahkan masyarakat. Kemiskinan tidak membawa mereka kepada kekufuran malah sebaliknya memberi peluang dan masa kepada mereka untuk berjuang dan berjihad di jalan Allah SWT. Mereka sedar mereka akan mendapat keistimewaan-keistimewaan dari Allah SWT sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu dari ini. Dengan iman dan taqwa juga Allah SWT menjanjikan bantuan dalam menyelesaikan masalah dan mengurniakan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Allah SWT berfirman:
"…Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu " (Ath-Thalaaq 65:2-3).
Berjuang di Jalan Allah SWT
Golongan ahlus-suffah yang miskin harta pada zaman Rasulullah s.a.w tidak menggunakan masa untuk bekerja mencari harta, tetapi digunakannya masa untuk bekerja mendaulat, berjihad dan memperjuangkan agama Allah SWT. Mereka melebarkan maksud pekerjaan dari hanya bermaksud sesuatu usaha yang boleh mendatangkan gaji dalam bentuk matawang kepada sesuatu usaha yang boleh mendatangkan ganjaran pahala dari Allah SWT.
Sehubungan dengan ini, ketika berhijrah ke Madinah Rasulullah s.a.w. tidak bersetuju dengan cadangan orang-orang Ansar untuk membahagikan pokok-pokok kurma mereka dengan orang-orang Muhajirin, tetapi sebaliknya mencadangkan membahagikan hasilnya[51]. Dalam mengulas perisitiwa ini, Akram Diya' Al-Umari (2000:80) berkata bahawa Rasulullah s.a.w sebenarnya tidak mahu orang Muhajirin bekerja di bidang pertanian kerana Baginda memerlukan mereka untuk berdakwah dan berjihad. Tambah lagi mereka tidak biasa dengan kerja-kerja pertanian[52].
Para muhajirin ini tidak bekerja yang boleh mendatangkan wang ringgit, tetapi sebaliknya mereka bekerja sebagai da`i dan mujahid, berdakwah dan berjihad di jalan Allah SWT. Mereka banyak bersembahyang, membaca dan mengkaji ayat-ayat Al-Qur`an secara bersama, berzikir kepada Allah SWT, dan sebahagiannya belajar menulis Al-Qur'an[53]. Mereka sentiasa berada di samping Rasulullah s.a.w. sehingga menjadi perawi Hadith terkenal, umpamanya seperti Abu Hurairah dan Hudaifah. Selain itu, mereka juga turut berjihad sehingga sebahagian dari mereka syahid di medan perang. Misalnya Safwan ibn Bayda', Zayd ibn al-Khattab, Kharim ibn Fatik al-Asadi, Khubayb ibn Yasaf, Salim ibn `Umayr dan Harithah ibn al-Nu`man al-Ansari syahid di Badr[54]. Hanzalah al-Ghasil pula syahid di Uhud[55]. Jurhad ibn Khuwaylid dan Abu Surayhah al-Ghafiri menyaksikan al-Hudaybiyah[56]. Manakala Thaqif ibn `Amr syahid di Khaybar[57], `Abd Allah Dhu al-Bijadayn syahid di Tabuk[58], dan Salim, dan Mawla Abu Hudaifah syahid di Yamamah[59].
Oleh kerana orang-orang miskin seperti ahlus-suffah ini tidak bekerja mencari harta tetapi menumpukan kepada pekerjaan dakwah dan perjuangan mendaulatkan Islam, Allah SWT memerintahkan orang-orang kaya membantu mereka dengan firman-Nya:
"(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi, orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa sahaja harta yang baik, yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhyna Allah Maha Mengetahui" (Surah Al-Baqarah 2:273).
Berdasarkan kepada hakikat ini, perlu ada segolongan ahli masyarakat yang berjuang dan berjihad sepenuh masa di jalan Allah SWT setiap masa dan zaman, manakala kebajikan dan keperluan seharian mereka ditanggung oleh orang-orang kaya. Walau pun secara lahiriahnya mereka nampak miskin, namun sumbangan mereka kepada Islam adalah amat besar sekali.
Tidak Meminta-minta dan Tidak Menyusahkan Masyarakat
Sifat utama orang-orang miskin pada zaman Rasulullah s.a.w., selain dari mempunyai iman dan taqwa yang tinggi sebagai tunjang, ialah penyabar, tidak meminta-minta dan tidak menyusahkan masyarakat. Abu Hurairah r.a. misalnya, walaupun kelaparan hingga pengsan dan orang menyangka beliau mengidap penyakit sawan[60], tidak pernah meminta-minta secara langsung[61]. Habis-habis beliau hanya membuat kiasan. Umpamanya, pada satu malam, oleh kerana terlalu sangat lapar, beliau menanti para sahabat, bercakap-cakap dengan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq dan kemudiannya dengan Sayyidina Umar Al-Khattab. Abu Hurairah melakukan demikian dengan harapan para sahabat itu akan mengajak beliau ke rumah seperti biasa dan akan dijamu dengan makanan. Dalam peristiwa malam itu hal ini tidak berlaku, tetapi Abu Hurairah tetap tidak meminta-minta dan tidak menyusahkan para sahabat. Akhirnya Rasulullah s.a.w sendiri yang mengajak Abu Hurairah r.a. ke rumah dan menjamunya dengan semangkuk susu bersama dengan ahlus-suffah yang lain (Maulana Muhammad Zakariya Kandhahlawi 1998:68; 77-78; Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi 1997:447-451).
Berdikari dan Tidak Bergantung
Selain itu, kebanyakan orang-orang miskin pada zaman Rasulullah s.a.w juga hidup tanpa mahu bergantung dengan orang lain. Contoh paling terkemuka ialah kes Abdul Rahman bin `Auf. Ketika mula-mula berhijrah ke Madinah, beliau boleh dianggap sebagai seorang miskin kerana tidak mempunyai apa-apa harta. Atas dasar kasih sayang dan persaudaraan yang mendalam, beliau ditawarkan oleh saudara Ansarnya Sa`d ibn al-Rabi' (yang dibentuk melalui sistem mu`akhah[62]) dengan kekayaan dan dengan mana-mana isterinya yang dipilih Sayyidina Abdul Rahman. Tawaran Sa`d kepada Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf yang masyhur itu berbunyi begini:
"Saya mempunyai kekayaan yang saya akan bahagikan dua antara kamu dan saya. Saya mempunyai dua isteri. Pilihlah mana-mana yang kamu berkenan, dan saya akan menceraikannya supaya kamu boleh mengahwininya".
Tetapi Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf, dengan mempamirkan sifat ketidak-bergantungannya, menjawab begini: "Mudah-mudahan Allah memberkati isteri-isteri dan kekayaanmu untuk dirimu. Tunjukkanlah aku pasar". Apabila beliau kembali dari pasar, Sayyidina Abdul Rahman membawa mentega dan keju, yang merupakan keuntungannya untuk hari itu. Abdul Rahman bin `Auf juga kemudiannya berkahwin sendiri dengan seorang wanita Ansar (Akram Diya` Al-Umari 2000:82-83). Dengan kemahirannya dalam perniagaan dan sikap berdikarinya, Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf tenryata kemudiannya menjadi seorang Islam yang kaya, yang enggan menerima apa-apa kecuali menjadi orang yang tangannya sentiasa memberi.
Begitulah juga ceritanya dengan orang Ansar yang datang bertemu Rasulullah s.a.w. Beliau diberikan alat (kapak) mencari rezekinya sendiri agar boleh berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain. Malah untuk mendapatkan alat itu pun, Rasulullah s.a.w. menggunakan sumber dari jualan tikar dan cawan orang Ansar itu sendiri, walaupun hanya dua benda itu sahajalah yang dimilikinya.
IMAN DAN TAQWA SEBAGAI PENENTU
Dari perbincangan-perbincangan di atas, ternyata bahawa tunjang kepada perlu atau tidaknya membasmi kemiskinan ini adalah bergantung kepada setakat mana pembangunan insan seseorang itu. Pembangunan insan ini diukur dengan iman dan taqwa. Istimewanya orang-orang miskin dan kaya yang bertaqwa ini ialah mendapat rezeki dari Allah SWT dari sumber yang tidak diduga. Mereka mendapat keistimewaan dari Allah SWT. Bagi orang-orang kaya, rezeki itu diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan. Bagi orang miskin, apabila mendapat rezeki yang berlebihan dari keperluannya, mereka korbankan secepat mungkin. Orang-orang miskin ini pada hakikatnya ialah orang kaya. Mereka miskin hanya kerana tiada sumber pendapatan yang tetap, tetapi kaya kerana sentiasa berkecukupan bahkan kadangkala berlebihan rezekinya kerana keperluan kebendaan mereka hanyalah sedikit. Bila mereka mengalami kesempitan rezeki, mereka mengadu kepada Allah SWT. Kesengsaraan yang menimpa mereka mereka anggap sebagai penghapusan dosa dan peningkatan darjat di sisi Allah SWT. Di akhirat nanti mereka dikurangkan hisab dan cepat pula masuk syurga.
Mengiringi iman dan taqwa ini ialah sifat-sifat terpuji seperti tawakkal, qana’ah zuhud dan bersyukur. Berhubung dengan tawakkal, nas-nas menyebutkan seperti berikut:
“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mu’min bertawakkal” (Ali Imran 3:160).
“Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya” (Ath-Thalaq 65:3).
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Ali Imran 3:159).
“Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Anfaal 8:49).
“Umar r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah sebagaimana yang patut kamu lakukan, Dia (Allah SWT) akan mengurniakan kamu rezeki sebagaimana Dia mengurniakan rezeki kepada burung-burung yang keluar pada waktu pagi dengan tembolok yang kosong dan pulang di waktu petang dengan tembolok yang penuh”.
Qana'ah pula bererti menerima dengan rela apa yang ada, atau merasa cukup dengan apa yang dimiliki (Humaidi Tatapangarsa 1997:164). Ia berbeza dengan sifat fatalistik kerana kerelaan menerima apa yang ada dan rasa cukup dengan apa yang dimiliki itu hanya dicapai setelah bekerja dan berusaha. Qana'ah yang dimaksudkan di sini ialah qana'ah hati, bukan qana'ah ikhtiar. Dalam qana'ah ikhtiar seseorang merasa cukup dengan ikhtiar mereka dan oleh itu tidak berusaha lagi. Tetapi dalam qana'ah hati, mereka berusaha dan berikhtiar sedayanya dan selepas itu baru bertawakkal kepada Allah SWT dan redho dengan apa yang Allah SWT kurniakan. Secara ringkas, qana'ah mengikut Humaidi Tatapangarsa (1997:164). mengandungi lima perkara, yakni (a) menerima dengan rela apa yang ada; (b) memohon kepada Tuhan tambahan yang pantas disertai dengan usaha dan ikhtiar; (c) menerima dengan sabar ketentuan Tuhan; (d) bertawakkal kepada Tuhan; dan (e) tidak tertarik oleh tipu daya dunia.
Ringkasnya, qana'ah itu sebenarnya bersangkutan dengan sikap hati dalam menghadapi apa yang dimiliki atau apa yang menimpa. Seseorang yang berqana'ah tidak lupa daratan apabila beruntung dan tidak tamak dan rakus terhadap habuan duniawi. Apabila menghadapi kerugian, ia tidak kacau bilau, susah dan gelisah atau putus asa. Begitulah juga apabila ia menghadapi kemiskinan material. Pentingnya sifat qana`ah ini jelas terbukti dari Hadith-hadith berikut.
"Berbahagialah sesiapa yang mendapat petunjuk untuk masuk Islam, sedang keadaan hidupnya sederhana tetapi qana'ah" (Riwayat Tarmizi).
"Qana'ah itu umpama harta yang tidak habis dan perbendaharaaan yang tidak susut" (Riwayat Thabarani).
"Sesiapa yang mengutamakan akhiratnya, Allah akan memelihara urusannya dan memurahkan hatinya, sehingga dunia dan kemewahannya datang bergolek tanpa dikejar. Dan sesiapa yang mengutamakan dunianya, Allah akan memporak-perandakan urusannya serta ditampakkan kepapaan di hadapan matanya, sedangkan dunia dan kemewahannya tidak akan mendatanginya, melainkan sekadar apa yang ditentukan Tuhan saja" (Riwayat Tarmizi).
Mengikut Imam Ghazali (1990:551-553), sifat qana`ah ini mestilah dimiliki oleh orang-orang fakir agar mereka tidak tamak kepada harta benda orang lain, atau menginginkan sesuatu yang ada dalam tangan orang lain itu. Pokok kepada sifat qana'ah ialah sentiasa hidup berekonomi atau beriktisad dalam segala hal dan sentiasa bersikap sederhana dalam perbelanjaan. Dalam sifat qana'ah itu terlukis kemuliaan diri, sehingga ia tidak mengharapkan sesuatu selain dari Allah SWT. Tiang utama kepada sifat qana'ah ialah sabar.
Zuhud pula, mengikut istilah syara', bererti mengambil barang yang halal setelah meyakini kehalalannya dalam kadar yang perlu sahaja. Pengertian zuhud begini dipakai oleh Arifin Billah, yakni orang-orang yang telah dekat dengan Allah SWT. Zuhud yang lebih tinggi ialah zuhud para Muqarrabin, yakni mereka yang memandang segala-gala yang dicipta Allah SWT itu tidak penting, kecuali Zat Allah SWT sahaja. Segala dunia dan isinya bagi mereka adalah tidak penting, termasuk syurga dan segala kenikmatannya. Yang ditumpukan mereka ialah mencapai matlamat ulung, yakni untuk sampai kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya (Ibnu Hajar, t.t.:.231). Ada zuhud yang wajib, iaitu berzuhud dalam perkara-perkara yang haram, atau memaksa diri meninggalkannya. Dalam perkara-perkara yang syubhat pula, dihukumkan harus, atau pada setengah qaul, juga dihukumkan wajib (Syed Ahmad Semait 1996b:541-542).
Mengikut Imam Nawawi (t.t:84) pula, erti zuhud di dunia ialah membelakangi segala yang diperlukan diri dari mata benda dunia, meskipun mata benda itu telah jelas halalnya. Yang diambilnya hanyalah sekadar keperluan yang terhad untuk meneruskan hidup. Sewaras-waras pemikiran yang dipunyai manusia, kata Imam Nawawi, ialah pemikiran para zuhhad (orang-orang yang melengkapi diri dengan sifat zuhud), kerana mereka hanya memilih apa yang dicintai oleh Allah SWT, dan meninggalkan apa yang dibenci-Nya tanpa terpengaruh walau sedikit pun tentang habuan dunia dan kemewahannya.
Sebenarnya, zuhud bukanlah bererti meninggalkan dunia sama sekali, tetapi sebaliknya mengambil daripadanya sekadar keperluan, tidak kira berapa banyak sekalipun. Apabila sesuatu barang itu dipandang perlu, maka tetaplah hukumnya harus asalkan tidak berlebih-lebihan (Syed Ahmad Semait 1996b:558). Imam Ghazali (1990:768) menegaskan bahawa zuhud yang sebenar bukanlah membenci wang ringgit dan berpakaian cumpang camping, tetapi adalah berzuhud dari kemewahan hidup dan bebas dari kesenangan yang dituntut oleh jiwa. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Zuhud di dunia itu bukanlah dengan mengharamkan yang halal atau mensia-siakan harta. Tetapi zuhud di dunia yang sebenarnya, ialah jangan sampai anda merasakan apa yang ada di dalam tanganmu itu lebih utama dari apa yang ada di tangan Allah"[63].
Ringkasnya, zuhud itu bolehlah dikatakan sebagai satu keputusan untuk membenteras jiwa dari segala rupa kesenangan sambil melangkah kepada yang lebih baik, iaitu dengan meninggalkan yang tidak baik kepada yang lebih baik (Imam Ghazali (1990:767). Secara umum, sifat zuhud ini bolehllah dibahagi kepada tiga kategori (Syed Ahmad Semait 1996b:546-548):
1- Benar dan kukuhnya keyakinan diri kepada Allah SWT kerana Allahlah yang telah menjamin rezeki kepada sekelian hamba-Nya dengan bukti-bukti yang kuat tersebut di dalam Al-Qur'an dan Hadith. Rasulallah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang bercita-cita hendak menjadi orang yang paling kaya, hendaklah ia meyakini bahawa apa yang ada di tangan (sisi) Tuhan itu lebih utama dari apa yang ada dalam tangannya sendiri"[64].
2- Sempurna keyakinannya dalam serba serbi.
3- Rendahnya darjat dan pangkat manusia di dalam hatinya, kerana tempatnya telah terpenuhi oleh kecintaan Allah SWT. Mereka sentiasa mengutamakan keredhaan orang lain, dan tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi.
Setengah para salaf apabila ditanya apakah seorang yang memiliki harta itu boleh dinamakan zahid? Jawabnya: "Ya, seandainya ia tiada merasa gembira ketika hartanya bertambah, atau berduka ketika hartanya berkurang".
Dalam Hadith mursal, dikatakan ada orang bertanya kepada Rasulallah s.a.w. katanya: "Duhai Rasulullah, siapakah orang yang amat zahid itu? Jawab Baginda: "Siapa yang tidak pernah melupakan kubur dan kebinasaan. Dia bersedia meninggalkan perhiasan hidup dunia, kerana lebih mengutamakan hidup yang kekal dari hidup yang fana. Dia tidak pernah menganggap hari esok itu harinya, kerana ia telah mengira dirinya mati"[65].
Tanda-tanda orang zuhud, mengikut Imam Ghazali (1990:768) ialah:
1- Tidak terlalu gembira jika mendapat sesuatu, dan tidak terlalu bersedih jika kehilangan sesuatu. Padanya kedua-duanya itu sama belaka. Allah SWT berfirman:
"(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri" (Al-Hadiid 57:23).
2- Sentiasa memandang sama kepada orang yang memuji dan mencelanya.
3- Sentiasa merasa tenang ketika berhadapan dengan Allah Ta'ala, dan hati sangat cinta membuat amal taat.
Di samping itu, sekurang-kurangnya terdapat empat peranan zuhud, seperti berikut:
1- Zuhud sebagai kaedah atau jalan terbaik manusia berjaya melepasi ujian Allah SWT dalam bentuk kemewahan dunia. Allah SWT menjadikan dunia dan isinya untuk manusia. Manusia yang tidak tergoda dengan dunia ini kerana sifat zuhudnya dan tetap dekat dengan Allah SWT dianggap berjaya melepasi ujian ini. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya" (Al-Kahfi 18:7).
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)" (Ali Imran 3:14).
Tetapi pada masa yang sama, Alah SWT mengingatkan:
"Katakanlah: Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa dan kamu tidak akan dianiaya sedikit pun" (An-Nisaa' 4:77).
"Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapak tidak akan dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapaknya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah" (Luqman 31:33).
"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu" (Al-Hadid 57:20).
"Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasaannya, dan pemilik-pemiliknya mengira bahawa mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang yang berfikir" (Yunus 10:24).
Rasulullah s.a.w juga mengingatkan:
"Mencintai dunia adalah pokok segala kesalahan".
"Sesungguhnya dunia itu indah dan menawan hati, dan bahawasanya Allah Ta'ala menjadikan kamu sebagai orang-orang yang mewarisinya, maka Dia sentiasa memerhatikan apa yang kamu lakukan"[66].
2- Zuhud sebagai penyebab mendapat cinta Allah SWT dan orang ramai:
Rasulullah s.a.w bersabda: "Daripada Abul Abbas, Sahel bin Sa`ad As-Sa'idi radhiallahu-anhu berkata: "Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w seraya berkata: "Ya Rasulallah! Tunjukkanlah aku suatu amalan, jika aku kerjakannya, niscaya aku dicintai Allah, dan dicintai orang ramai. Bersabda Rasulallah s.a.w: "Berlaku zuhudlah di dunia, niscaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia[67], niscaya engkau dicintai orang ramai"[68].
3- Zuhud sebagai salah satu cara mengikhlaskan diri kepada Alah SWT:
"Berkata Ka'ab r.a. bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda: Allah SWT telah berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya tiada sesuatu hal yang dilakonkan oleh orang-orang yang beramal kepada-Ku di dunia seperti berlaku zuhud (pada matabenda dunia), dan tiadalah sesuatu perbuatan untuk mendekatkan diri kepada-Ku yang dilakukan oleh mereka yang bertaqarrub seperti berlaku wara' terhadap segala yang telah Ku haramkan ke atas mereka, dan tiadalah sesuatu perbuatan yang disembahkan oleh mereka yang beribadat kepada-Ku seperti meratapi diri dan menangis kerana takut kepada-Ku"[69].
Berdasarkan kepada Hadith Qudsi di atas, zuhud merupakan sifat orang yang beramal kepada Allah SWT. Syed Ahmad Semait (1996a:473-475), dalam mengulas Hadith Qudsi ini berkata, zuhud merupakan salah satu dari tiga perkara penting bagi mereka yang ingin mengikhlaskan amalnya kepada Allah SWT dan menyerahkan sepenuh jiwa raganya terhadap Tuhan yang telah mewujudkannya[70]. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Zuhud di dunia itu, hendaklah dengan menganggap segala yang ada di dalam tanganmu itu tiada berharga sama sekali, bila dibandingkan dengan apa yang ada di sisi Allah SWT dan hendaklah anda memandang sesuatu musibah yang menimpa anda itu lebih anda sukai sehingga kalau boleh biarlah ia kekal terus saja, kerana menginginkan pahala yang disediakan oleh Allah SWT ke atasnya"[71].
Mengikut Syed Ahmad Semait (1996a:474), apa yang dimaksudkan dengan benda yang ada di dalam tangan itu bukan sahaja harta dan kekayaan semata, malah apa saja termasuk makan-minum dan pakai atau rezeki dan kurnia Allah SWT sehari-hari kepada manusia. Itu semua harus diserahkan kepada orang lain, jika ada yang memerlukan. Apa yang harus direbut ialah pahalanya yang dijanjikan Allah SWT. Dengan lain perkataan, yang menjadi nilai dan penekanan ialah pahala, yakni keuntungan di akhirat, dunia kekal abadi, bukan benda-benda tangible yang sementara di dunia ini. Musibah juga merupakan peluang mendapat pahala dan peningkatan darjat di sisi Allah SWT.
4- Zuhud sebagai punca lahirnya sifat-sifat terpuji yang lain, umpamanya sifat murah hati. Imam Ghazali (1990:766) misalnya berkata:
"Bukankah kikir itu buahnya cinta kepada dunia, dan murah hati itu buahnya zuhud? Memuji buah adalah memuji kepada yang membuahkannya, iaitu Zat Allah SWT".
Kerana besarnya peranan zuhud, Rasulallah s.a.w bersabda:
"Berzuhudlah dalam urusan dunia, nescaya Allah akan mencintaimu. Dan berzuhudlah kepada apa yang ada dalam tangan manusia, nescaya mereka akan mengasihmu"[72].
Zuhud, mengikut Syed Ahmad Semait (1996b:551-554), tidak hanya terhad kepada golongan miskin sahaja atau hanya kepada golongan kaya semata-mata. Sebaliknya ia boleh diertikan dengan dua cara, yakni zuhud orang yang berada, dan zuhud orang yang berhajat (miskin). Orang berada patut berzuhud untuk mengelak dari sifat tamak yang boleh membawa kepada sifat-sifat terkeji yang lain, seperti tidak qana'ah (dan oleh itu merasa tidak cukup dengan apa yang ada dan mahu tambahan dalam serba serbi), hasad dengki (apabila orang lain melebihi mereka hingga mungkin cuba mengambil yang dihajatinya dari tangan orang berkenaan) dan sebagainya.
Hassan Al-Basri berkata: "Seseorang itu tetap dikira pemurah terhadap manusia lain selagi ia tidak tamakkan apa yang ada dalam tangan orang lain. Manakala ia mula tamakkan hak orang, maka kala itulah namanya akan dicemar, ia akan dibenci dan semua tutur bicaranya tidak akan dihargai lagi"[73].
Ibnu Salam bertanya kepada Ka'ab, ketika mereka bersama-sama dalam majlis Khalifah Umar Ibnul-Khattab, katanya: "Apakah yang menyebabkan terhapusnya ilmu pengetahuan dari hati para ulamak, padahal mereka telah berpenat lelah menghafalkannya dan mendalaminya?" Jawab Ka`ab: "Tamak dan jiwa yang rakus, yang suka meminta-minta hajat dan keperluan diri kepada manusia". Ujar Ibnu Salam lagi: "Memang benar katamu itu!"[74].
Seorang Badwi (A`rabi) bertanya kepada penduduk Basrah: "Siapakah penghulu kamu?" Jawab mereka: "Al Hassan Al-Basri". Tanya Badwi lagi: "Apa yang menyebabkan kamu memilihnya menjadi penghulu?" Jawab mereka: "Orang ramai berhajat kepada ilmunya, sedangkan ia tidak kepingin kepada dunia (harta) mereka!" Komen Badwi: "Ya, itu memang baik sekali"[75].
Abu Sulaiman berkata: "Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf laksana khazanah Tuhan di bumi, keduanya membelanjakan hartanya pada jalan Allah dan segala urusannya bertujuan semata-mata kerana Allah saja"[76].
Orang yang berhajat atau orang miskin pula patut berzuhud agar tidak dicaci atau dibenci orang, kiranya barang yang dipinta itu tidak mahu diberi orang. Jika orang itu memberi, jadilah ia sebagai menerima budi, sedangkan budi itu sering menjadi seseorang itu rendah dalam pandangan orang lain. Apatah lagi kalau tabiatnya suka meminta-minta, sama ada dalam masa hajat atau tidak. Ini sangat-sangat ditegah. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa meminta-minta, sedangkan ia tidak perlu, maka sebenarnya ia telah mengumpulkan bara api Jahannam. Barangsiapa yang meminta-minta, sedangkan yang ada padanya sudah mencukupi, ia akan datang pada Hari Kiamat nanti dengan wajahnya yang tinggal tulang semata, tidak ada daging lagi"[77].
"Adalah permintaannya tanpa hajat itu menyebabkan wajahnya bercalar-balar dan bergaris-garis"[78].
Ini menunjukkan bahawa meminta-minta tanpa hajat itu adalah haram dan dilarang keras. Rasulullah s.a.w menganjurkan agar berzuhud pada apa yang ada dalam tangan orang lain, sehingga apabila diberikan kepadanya tanpa permintaan, barulah boleh diterima. Itu pun jika memang diperlukan dan berhajat kepadanya. Jika apa yang ada di dalam tangannya sudah mencukupi dan dapat menutup keperluannyha, maka hendaklah ia tidak menerima pemberian itu (Syed Ahmad Semait 1996b:553). Inilah sifat ahlus-suffah (orang-orang miskin zaman Rasulullah s.a.w.). Allah memuji orang yang bersikap demikian melalui firman-Nya:
"(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak mengetahui menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui" (Al-Baqarah 2:273).
Rasulullah s.a.w. pula bersabda:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala mengasih-sayangi seorang miskin yang tidak suka meminta-minta, sedangkan ia mempunyai anak yang banyak"[79].
"Barangsiapa yang meminta-minta padahal ia tiada memerlukan, maka sebenarnya ia telah meminta bara api (neraka). Terserahlah sama ada dia mahu sedikit atau pun banyak"[80].
Yang mesti diminta bukan kepada manusia, tetapi sebaliknya ialah kepada Allah SWT yang menjamin rezeki setiap makhluknya yang berusaha. Firman Allah SWT:
"Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh)[81] " (Huud 11:6).
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sebaik-baik (halal) yang boleh dimakan oleh seseorang ialah hasil usahanya"[82].
Dari penghuraian di atas, adalah sangat jelas akan betapa pentingnya sifat-sifat terpuji seperti tawakkal, qana'ah dan zuhud ini dalam berhadapan dengan kemiskinan. Sifat-sifat ini tidak mungkin dapat dimiliki kecuali meningkatnya iman dan taqwa. Iman dan taqwa pula tidak mungkin dapat meningkat kecuali dimensi kerohanian menjadi penekanan utama di dalam usaha mengurus kemiskinan. Ertinya kemiskinan tidak mungkin dapat ditangani kecuali wujudnya pembangunan insan di kalangan ahli masyarakat.
KUMPULAN SASARAN DALAM MENANGANI KEMISKINAN
Dari sejarah masyarakat zaman Rasullullah s.a.w, ternyata bahawa kemiskinan dan kekayaan bukanlah petunjuk pembangunan yang mutlak. Sebaliknya, petunjuk pembangunan yang mutlak ialah kekayaan iman dan taqwa, atau kekayaan kerohanian. Ini bermakna bahawa tidak membangun sesebuah negara walaupun rakyatnya kaya raya harta benda sekiranya kerohanian mereka tidak kaya, pembangunan insan mereka tidak terbina. Begitu juga tidak mundur sesebuah negara walaupun rakyatnya fakir harta benda sekiranya kerohanian mereka kaya dan pembangunan insan mereka terbina[83]. Atas sebab inilah maka Imam Al-Ghazali (1980 Jilid 7:136) menerangkan tentang satu jenis lagi fakir yang dipanggil fakir mutlak. Fakir mutlak ini berhubungan dengan keperluan manusia yang paling pokok dan mutlak, yakni memerlukan kepada Allah SWT. Orang yang tidak memiliki rasa memerlukan kepada Allah SWT tergolong ke dalam golongan fakir mutlak kerana mereka tidak memiliki keperluan asas yang pokok dan mutlak itu, walaupun mereka adalah orang yang kaya raya harta-benda. Fakir harta hanya bermaksud ketiadaan keperluan-keperluan asas berbentuk material, tetapi fakir mutlak bermaksud tidak mempunyai kekuatan Tauhid dan rasa kehambaan kepada Allah SWT.
Dengan definisi fakir sebagai fakir mutlak inilah Rasulullah s.a.w. berdoa: "Aku berlindung dengan Engkau dari kefakiran" dan bersabda: "Mendekati kefakiran itu menjadi kekufuran". Hadith-hadith ini, kata Imam Al-Ghazali (1980 Jilid 7:143), tidak bertentangan dengan hadith yang berbunyi: "Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin dan matikanlah aku dalam keadaan miskin”[84].
Maksud miskin di sini ialah miskin harta, bukan miskin iman dan taqwa yang membawa manusia kepada fakir mutlak. Rasulullah s.a.w. sangat takut kepada fakir mutlak, yakni tidak memiliki rasa memerlukan Allah SWT, tetapi jelas sangat cenderung kepada miskin harta. Fakir mutlak membawa kepada kekufuran sedangkan miskin harta mempunyai nilai-nilai istimewa sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Selain dari itu, Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda:
"Bukanlah yang dinamakan `kaya' itu, kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan `kaya' itu ialah kaya jiwa”[85]
"Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak benda. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa”[86].
Berdasarkan kepada definisi-definisi miskin dan kaya yang dibincangkan di atas, ternyata betapa pentingnya kekayaan jiwa, atau pembangunan insan. Dalam sesebuah masyarakat, kumpulan sasaran yang perlu diberi tumpuan di dalam menangani kemiskinan tentulah pertamanya mereka yang miskin jiwa, atau yang tidak membangun keinsanannya. Untuk memudah mengenalpasti kumpulan sasaran ini, sesebuah masyarakat itu bolehlah dikategorikan kepada empat golongan. Pertama ialah golongan kaya jiwa dan kaya harta; kedua, golongan yang kaya jiwa dan miskin harta; ketiga, golongan yang miskin jiwa dan miskin harta; dan keempat, golongan yang miskin jiwa dan kaya harta. Jadual 1 mempamirkan keempat-empat golongan ini dan susunan keutamaan di dalam membantu mereka menangani masalah kemiskinan.
JADUAL 1: KATEGORI MISKIN DAN KAYA
KATEGORI JIWA HARTA CATATAN DASAR
1 Kaya Kaya Kategori paling bagus, seumpama para sahabat seperti Sayyidina `Uthman bin Affan dan Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf. Patut digalakkan seramai mungkin.
2 Kaya Miskin Boleh dibenarkan wujud dengan pilihan mereka sendiri, kerana boleh hidup tanpa membebankan negara dan masyarakat, seumpama Sayyidina Ali dan ahlus-suffah.
3 Miskin Miskin Kategori paling negatif yang sangat-sangat memerlukan pertolongan. Peruntukan negara yang besar perlu ditumpukan kepada kategori ini untuk mengurangkan, kalau pun tidak boleh dibasmi sepenuhnya, golongan ini.
4 Miskin Kaya Kategori kedua paling negatif, seumpama Qarun dan Sha'labah. Peruntukan besar juga perlu ditumpukan kepada kategori ini untuk meningkatkan kekayaan jiwa mereka, agar kekayaan harta mereka dapat dimanfaatkan negara dan masyarakat keseluruhannya.
Dari empat golongan di atas, jelas bahawa golongan yang miskin kedua-dua jiwa dan hartalah yang perlu ditolong secepatnya. Kedua-dua kemiskinan jiwa dan harta mereka perlu dibasmi habis-habisan dan hal ini tidak mungkin berjaya kecuali dengan mendahulukan pembasmian kemiskinan jiwa atau dengan membangunkan insan. Kalau sekiranya orang-orang miskin harta derita kerana miskinnya jiwa mereka, maka mereka perlu ditolong dengan bukan sahaja mengurangkan beban kemiskinan dengan pelbagai program yang Islam sediakan, seperti zakat dan sistem Qardul Hassan, tetapi juga dengan segala cara yang boleh meningkatkan kerohaniannya.
KESIMPULAN
Dalam menangani kemiskinan, pembangunan insan, atau peningkatan iman dan taqwa, adalah merupakan asas paling utama. Kalau orang-orang miskin tidak mempunyai iman dan taqwa serta mengeluh, derita, kesal dan menyusahkan masyarakat, kemiskinan di kalangan mereka perlu dikurangkan, kalau pun tidak dapat dibasmi sepenuhnya. Inilah yang dilakukan Rasulullah s.a.w. terhadap orang Ansar yang datang mengadu tentang kemiskinannya kepada Baginda s.a.w. Begitu juga dengan orang-orang kaya. Kalau semakin kaya mereka semakin sombong dan kedekut, tidak membantu orang-orang miskin, tidak memberi manfaat kepada masyarakat, dan tambah-tambah lagi kiranya derhaka kepada Allah SWT dan Rasul-Nya seperti berlaku kepada Tsa’labah bin Hatib, maka iman dan taqwa mereka perlu ditingkatkan. Kalau ini tidak berhasil, kekayaan mereka barangkali perlu dikurangkan, kalau pun tidak boleh ditarik sepenuhnya dari mereka.
Dengan lain perkataan, kumpulan sasaran kemiskinan perlu dikenalpasti sungguh-sungguh dari sudut pembangunan insan ini. Kalau pembangunan insan dapat ditingkatkan, maka bantuan Allah SWT akan cepat sampai kerana Allah SWT menjanjikan bantuan kepada orang-orang Islam kerana taqwa mereka, bukan kerana kekuatan material (quwwah) mereka. Dengan iman dan taqwa jugalah maka masalah kemiskinan dapat ditangani dengan sebaiknya.
NOTA
[1] Kertas yang disampaikan di Bengkel Pemantapan Kerja Sosial Kemiskinan Daerah Rembau, Negeri Sembilan, anjuran Pejabat Daerah Rembau Negeri Sembilan di Riviera Bay Resort, Melaka pada 2-5 Mei 2001.
[2] Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh ialah Profesor Pengajian Pembangunan dan Ketua, Projek Pengurusan Pembangunan Islam, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
[3] Untuk senarai lengkap nama-nama ahlus-suffah ini dan perbincangan agak terperinci tentangnya, lihat Akram Diya` Al-Umari 2000:99-115.
[4] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Salah, Bab Nawm al-Rijal fi al-Masajid; Ibn Majah, Al-Sunan, Kitab al-Sayd, Bab al-Dabb.
[5] Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa gelaran Al-Awfad ini timbul kerana setiap orang daripada mereka itu mempunyai satu beg kulit atau disebut wafdah, seperti kantung kecil, yang menjadi tempat mereka menyimpan makanan mereka. Tetapi mengikut sesetengah ulamak seperti Ahmad (Al-Musnad, Jil6, hal.391), Al-Nu`aym (Al-Hilyah, Jil.1,hal 339) dan Ibn Manzur (Lisan al-`Arab (wafada), sebab panggilan Rasulullah s.a.w. itu adalah lebih tepat.
[6] Lihat Abu Nu`aym, Al-Hilyah, Jil.1, hal 376.
[7] Ibid, hal.339, 341.
[8] Sahih Muslim, Kitab al-Nikah, Hadith nombor 94. Untuk perbincangan lanjut tentang hal ini, lihat Akram Diya` Al-Umari 2000:100-101.
[9] Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.341.
[10] Ibn Sa`d, al-Tabaqat, Jil.1, hal.255; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.377; Ibn Sayyid al-Nas, `Uyun al-Athar, Jil.2, hal.217.
[11] Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal. 341.
[12] Sahih al-Bukhari, Jil.1, hal.114; dan Ibn Sa`d, al-Tabaqat, Jil.1, hal.255.
[13] Ahmad, al-Musnad, Jil.4, hal.128.
[14] Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa fakir adalah lebih melarat dari miskin. Hanya mazhab Hanafi yang berpendapat fakir berkedudukan lebih baik dari miskin, atau miskin lebih melarat dari fakir (Surtahman Kastin Hassan 1996:70). Bagi mazhab Hanafi, seorang fakir itu ialah seorang yang tidak mampu memenuhi keperluan asasnya dan terpaksa bergantung kepada orang lain untuk maksud tersebut. Mereka yang lebih teruk keadaannya dari ini dikatakan orang miskin (lihat K.S.S. Uduman Mohideen 1996:8-9 untuk perbincangan ringkas tentang pandangan mazhab Hanafi ini). Dalam kertas ini, kita memakai pandangan mazhab Maliki, Syafie dan Hambali.
[15] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:35-36.
[16] Sahih al-Bukhari, Jil.8, hal.68, 119; Ahmad, al-Musnad, Jil.2, hal.515, Jil.3, hal.490; Ibn Sa`d, al-Tabaqat, Jil.1, hal.256; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.373-374; Al-Samhudi, Wafa', Jil.1, hal.323. Rasulullah s.a.w tidak dapat memberikan makanan yang lebih baik dari itu kerana baginda sendiri tidak memperuntukkan belanja yang banyak untuk makanan baginda sekeluarga. Ahlus-suffah ini hanya akan mendapat makanan yang baik apabila sahabat-sahabat yang kaya menjemput mereka untuk makan di rumah mereka.
[17] Sayyidina Ali dan Siti Fatimah berpuasa nazar selama tiga hari kerana anak-anak mereka Sayyidina Hasan dan Husin sembuh dari sakit.
[18] Syed Ahmad Semait 1995:245-247.
[19] Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.339-378.
[20] Ahmad, al-Musnad, Jil.1, hal.79-106.
[21] Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.375.
[22] Ahmad, al-Musnad, Jil.4, hal.8; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal. 340-341; Al-Samhudi, Wafa', Jil.1, hal. 322.
[23] Sahih Bukhari, Kitab Al-Riqaq, bab 14; Ahmad, al-Musnad, Jil.2, hal. 515; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.377, 339; Al-Samhudi, Wafa', Jil.1, hal.322.
[24] Al-Bayhaqi, Sunan, Jil.9, hal.304.
[25] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, bab 14; Kitab al-Isti`dham, Bab 14; Ahmad, al-Musnad, Jil.2, hal.515; Jil.3, hal.429, 490; Ibn Majah, Sunan, Kitab al-Masajid wa al-Jama`at, Bab al-Nawm fi al-Masjid; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.338-339; Al-Samhudi,Wafa', Jil.1, hal.322-323.
[26] Al-Bukhari, al-Sahih, Kitab al-Mawaqit, Bab al-Samar ma`a al-Dayf wa al-Ahl; Ibn Sa`d, al-Tabaqat, Jil.1, hal.255; Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.338, 341, 373.
[27] Sayyidina Abu Bakar berhenti berniaga kain atas nasihat Sayyidina Umar Al-Khattab agar dapat ditumpukan sepenuhnya kepada tugasnya sebagai Khalifah.
[28] Dipetik oleh Maulana Muhammad Zakariya Kandhahlawi 1998:87.
[29] Sayyidina Umar Al-Khattab juga berhenti berniaga apabila diangkat menjadi Khalifah.
[30] Nama penuh Khalifah Umar bin Abdul Aziz ialah Abu Hafash Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam Ibnul `Ash bin Umaiyah bin Abdi Syams. Ibunya bernama Laila Ummi Ashim binti Ashim bin Umar bin Khattab. Neneknya merupakan seorang perempuan yang kuat aqidah dan jujur. Pada zaman gadisnya, beliau tidak mahu mengikut cadangan emaknya, seorang penjual susu, untuk mencampurkan susu dengan air kerana bukan sahaja enggan melanggar perintah Khalifah Umar Ibn Khattab, tetapi lebih-lebih lagi takut kepada Allah SWT kerana yakin Allah SWT melihat perbuatannya, walaupun Khalifah Umar tidak melihat. Atas sebab kejujuran itu, Sayyidina Umar yang kebetulan mendengar perbualan dua beranak pada malam itu dari luar rumah, telah mengambil keputusan mengahwinkannya dengan anaknya yang bernama Ashim. Dari perkahwinan itu lahirlah Ummu Ashim yang kemudiannya dikahwini oleh Abdul Aziz bin Marwan dan membuahkan pula kelahiran Umar bin Abdul Aziz. Lihat K.H. Firdaus 1997:42-44.
[31] Malah ketika diistihar dilantik menjadi Khalifah menggantikan Khalifah Sulaiman (melalui wasiat Khalifah Sulaiman sendiri), Umar bin Abdul Aziz naik ke mimbar masjid membebaskan bai`at rakyat terhadapnya dan memberi kebebasan kepada mereka memilih pemimpin yang mereka mahu. Tetapi apabila seluruh rakyat sebulat suara tetap mahukan beliau menjadi Khalifah, Umar mengucapkan "Inna lillah wa inna ilaihi Raji'un" kerana beliau merasa mendapat musibah dan bukan rahmat dengan perlantikan itu. Lihat K.H. Firdaus 1997:61.
[32] K.H. Firdaus, ibid:65.
[33] Shahih Al-Bukhari, Jil. 2, Hadith 716, hal.102.
[34] Ali Imran 3:92.
[35] Sahih Al-Bukhari, Jil.6, hal.31. Penyerahan taman Bayruha ini kepada Allah SWT merupakan salah satu wakaf yang pertama yang dilakukan umat Islam. Wakaf ini berbentuk wakaf zurri, atau wakaf keluarga, atau wakaf khas.
[36] Perigi ini dibelinya dari seorang Yahudi, mulanya hanya separuh dengan harga 12,000 dirham dengan syarat kedua-duanya bergilir berkuasa terhadap perigi itu selang sehari. Pada hari giliran Sayyidina Uthman bin Affan berkuasa, beliau menyuruh orang-orang Islam mengambil air itu untuk keperluan mereka selama dua hari, dengan percuma, sedangkan pada hari Yahudi itu berkuasa, Yahudi itu mengenakan bayaran. Akhirnya si Yahudi menjualkan separuh lagi perigi itu dengan hara 8,000 dirham kerana pada hari beliau berkuasa, tidak ada lagi orang datang membeli air darinya. Semua orang datang mengambil air dengan percuma pada hari Sayyidina Uthman berkuasa (Syed Ahmad Semait 1995:152-153).
[37] Diriwayatkan atas sebab ini Rasulullah s.a.w mendoakan bagi Sayyidina Abdul Rahman bin `Auf supaya dibalas dengan syurga. Kemudian datang Jibril a.s. membawa berita dari langit: "Sampaikanlah salam kepada Abdul Rahman bin `Auf dan gembirakanlah dia dengan syurga" (Syed Ahmad Semait 1995:367).
[38] Kerja-kerja ini dilakukan pada waktu siang, manakala pada malamnya mereka belajar dan membaca Al-Qur`an. Lihat Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, Hadith No.147; Ahmad, al-Musnad, Jil.3, hal.270; Ibn Sa`d, al-Tabaqat, Jil.3, hal.514.
[39] Perbuatan menggantungkan gugusan kurma ini dicadangkan kepada Rasulullah s.a.w oleh Muhammad ibn Salamah dan orang Ansar yang lain. Mu`adh ibn Jabal ditugaskan menjaga gugus-gugus kurma ini. Menurut Al-Samhudi (Wafa', Jil.1, hal.324-325), amalan ini berterusan sekurang-kurangnya sehingga akhir abad ke-2 Hijrah. Al-Samhudi juga menyatakan bahawa sebenarnya Rasulullah s.a.w mencadangkan orang ramai memberikan buah-buahan daripada dusun mereka sebagai sedekah supaya Allah SWT menghilangkan penyakit yang menyerang buah-buahan mereka.
[40] Hadith riwayat At-Tarmizi dari Anas, Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Abi Sa'id, dipetik dari Ihya Ulumiddin karangan Imam Ghazali, Jilid 7, 1980:143.
[41] Hadith dirawikan oleh At-Tirmizi dari Anas dan dirawikan Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Abi Sa'id, isnadnya sahih.
[42] Hadith dirawikan oleh Abu Mansur Ad-Dailami dari Abid-Daarda'.
[43] Hadith dirawikan At-Tirmizi dari Abi Hurairah, hadith hasan shahih, dipetik dari Imam Ghazali (1980 Jilid 7:145). Hadith berbunyi sama riwayat Muslim dari Abdullah bin `Amr berkata bahawa jangkawaktu itu ialah "dengan empat puluh tahun". Kata Imam Ghazali (1980 Jil.7:145), kiraan lima ratus tahun itu ialah kiraan bagi orang fakir yang zuhud terhadap orang kaya yang gemar kepada harta. Dan orang fakir yang rakus itu pada dua darjat daripada dua puluh lima darjat bagi orang fakir yang zuhud (perbandingan empatpuluh pada lima ratus).
[44] Untuk huraian lebih lanjut, lihat K.H. Qamaruddin Shaleh, et.al. 1975:247-249. Untuk cerita terperinci tentang Tsa’labah bin Hatib ini, lihat Syed Ahmad Semait 1996: 441-446. Untuk hujjah yang tidak bersetuju dengan kesahihan Hadith ini, lihat pendapat Ustaz Yazid Jawas dari Indonesia di dalam http://us.f20.mail.yahoo.com/ym/. Menurut Ustaz Yazid Jawas, Hadith ini sangat lemah kerana perawinya Ali bin Yazid dan Mu’aan bin Rifaa`ah As-Salami adalah dua perawi yang lemah. Beliau bersandarkan pendirian lemahnya perawi Ali bin Yazid ini kepada pandangan Imam Bukhari, Imam Nasa`i, Imam Daruquthni, dan Imam Abu Zur`ah dari kitab rujukan Mizanul I`tidal, Taqribut Tahdzib, Al-Jarhu wat Ta`dil dan Lisanul Mizan. Manakala pendirian lemahnya perawi Mu`aan bin Rifaa`ah As-Salami pula disandarkan kepada hujjah Ibnu Hajar dalam kitab Taqribut Tahdzib dan Imam Adz-Dzahabi dalam kitab Mizanul I’tidal. Menurut Ustaz Yazid Jawas ini, antara ulamak yang melemahkan Hadith ini ialah Ibnu Hazam yang berkata “Riwayat ini bathil” dalam Al-Muhalla, Al-Iraqy yang berkata “Riwayat ini dha`if” dalam Takhrij Ahadist Ihya Ulumuddin, Ibnu Hajar Al-Asqalany yang berkata “Riwayat tersebut dha`if dan tidak boleh dijadikan hujah” dalam Fathul Bari, Ibnu Hamzah yang menukil perkataan Baihaqi sebagai “Dha`if” dalam Al-Bayan wat Ta`rif dan Al-Manawi yang juga berkata “Dha`if” dalam Faidhul Qadir. Ustaz Yazid Jawas memperkuatkan hujjahnya membela Tsa’labah dengan merujuk kepada kitab At-Tasfiyah wat Tarbiyah wa Atsarihima Fisti`nafil Hayat Al-Islamiyyah tulisan Ali Hasan Ali Abdul Hamid Al-Halabi Al-Atsari yang berkata bahawa Tsa’labah adalah seorang sahabat yang ikut serta di dalam peperangan Badar. Kata Ustaz Yazid Jawas, berdasarkan kepada Hadith riwayat Ahmad, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak akan masuk neraka seseorang yang ikut serta dalam perang Badar dan perjanjian Hudaibiyah”. Penulis sendiri belum boleh membuat pendirian qat’i tentang kedudukan Hadith ini kerana belum berkesempatan mengkaji secara teliti dan mendalam kedua-dua hujjah, sama ada yang melemahkannya atau yang mensahihkan Hadith ini.
[45] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:33.
[46] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:33.
[47] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:34.
[48] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:34.
[49] Dipetik dari Shekh Muhammad Zakariyya 1996:36-37.
[50] Antara orang-orang miskin pada zaman Rasulullah s.a.w yang dijamin syurga ialah Sayyidina Ali bin Abu Thalib dan Sa`ad bin Abu Waqqas (Syed Ahmad Semait 1995). Setengah ahli sejarah tidak menggolongkan Sa`ad bin Abu Waqqas ke dalam golongan ahlus-suffah, tetapi Abu Nu`aym dalam al-Hilyah (Jil.1, hal. 322, 356, 363, 364, 367 dan 371) menyenaraikannya sebagai salah seorang ahlus-suffah (lihat Akram Diya’ Al-Umari 2000:106).
[51] Sahih al-Bukhari, Jil.5, hal.39.
[52] Lihat Sahih al-Bukhari, Jil.2, hal.328.
[53] Lihat Abu Dawud, Al-Sunan, Jil.2, hal.237; dan Ibn Majah, Al-Sunan, Jil.2, hal.730.
[54] Lihat Abu Nu`aym, al-Hilyah, Jil.1, hal.323, 367, 363, 364, 371, 371, 356, mengikut susunan.
[55] Ibid, Jil.1, hal.375.
[56] Ibid, Jil.1, hal. 353, 355.
[57] Ibid, Jil.1, hal. 352.
[58] Ibid, Jil.1, hal.365.
[59] Ibid, Jil.1, hal.367, 370.
[60] Mengikut Akram Diya` Al-Umari (2000:109), oleh kerana seringnya ahlus-suffah ini pengsan, orang-orang Arab nomad berfikir mereka adalah orang gila. Menurut Abu Nu`aym (Al-Hilyah, Jil.1, hal.339-378) pula, Abu Hurairah r.a. sendiri selalu jatuh antara mimbar dan bilik Sayyiditina Aisyah r.a.
[61] Rasulullah s.a.w sendiri juga pernah kelaparan. Begitu juga dengan para sahabat lain seperti Sa'ad bin Abu Waqqash r.a., Al-Miqdad bin Al-Aswad r.a., Asma binti Abu Bakar r.a., dan lain-lain. Untuk riwayat terperinci tentang kelaparan Rasulullah s.a.w dan keluarganya serta para sahabat berkenaan, lihat Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi 1997:440-458; dan Akram Diya` Al-Umari 2000:109.
[62] Sistem mu'akhah, atau sistem persaudaraan, dilaksanakan di Madinah antara Muhajirin dan Ansar. Pengumuman penguatkuasaan sistem ini dibuat dalam tahun pertama selepas Hijrah di rumah Anas ibn Malik. Mereka yang terlibat ialah 90 orang, yakni 45 Muhajirin dan 45 Ansar. Dalam sistem ini, orang-orang Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan secara berpasangan dan dengan itu terbentuklah hak-hak khusus antara keduanya, seperti tolong menolong dalam menghadapi masalah hidup, sama ada pertolongan material atau perhatian, nasihat, ziarah-menziarahi dan kasih sayang. Mereka juga saling mewarisi, tanpa terpaksa merujuk kepada saudara mara mereka. Ini menjadikan perhubungan mereka mendalam dan lebih tinggi dari persaudaraan berdasarkan kekeluargaan. Apabila orang-orang Muhajirin telah menjadi biasa dengan kehidupan di Madinah, sudah belajar bagaimana untuk menyara kehidupan dan telah menerima harta rampasan daripada Perang Badr yang mencukupi bagi mereka, sistem pewarisan ini pun dibatalkan. Ada setengah ulamak seperti Al-Baladhuri menyatakan sistem mu`akhah ini telah pun dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w di Mekah antara orang-orang Islam Mekah sebelum Hijrah, tetapi Ibn al-Qayyim dan Ibn Kathir cenderung berfikir bahawa sistem ini tidak berlaku di Mekah. Lihat Akram Diya` Al-Umari 2000:77-88.
[63] Hadith marfu' riwayat Tarmizi, dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:548.
[64] Hadith marfu' di petik dari Syed Ahmad Semait 1996b:547.
[65] Dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:547-548.
[66] Kedua-dua Hadith ini dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:544.
[67] Mengikut Syed Ahmad Semait (1996a:474) ketika menghuraikan satu Hadith Qudsi berkenaan dengan zuhud, maksud apa yang ada di tangan itu ialah harta, kekayaan, apa saja termasuk makan-minum dan pakai atau rezeki dan kurnia Allah SWT.
[68] Hadith hasan, diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang hasan. Hadith ini merupakan Hadith ke-31 di dalam Hadith 40 yang dibicarakan Imam An-Nawawi. Untuk penghuraian tentang Hadith ini dan tentang zuhud secara agak terperinci, lihat, antara lain, Syed Ahmad Semait 1996b:539-558.
[69] Hadith Qudsi Riwayat Qudha`i, dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996:473.
[70] Dua perkara lag ialah pertama, wara', yakni memelihara diri dari segala yang dilarang Allah SWT dan merupakan sifat orang-orang yang bertaqarrub, atau yang ingin mendampingkan dirinya kepada Allah SWT; dan kedua, meratapi diri kerana berkelakuan terlanjur dan bersalah, banyak cuai dan lalai. Lihat Syed Ahmad Semait 1996a:475-476.
[71] Hadith riwayat Abu Zar r.a., dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996a:474.
[72] Hadith dipetik dari Imam Ghazali 1990:766.
[73] Dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:557.
[74] Ibid, 1996b:557.
[75] Ibid, 1996b:557.
[76] Ibid, 1996b:558.
[77] Hadith dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:552.
[78] Ibid, 1996b:552-553.
[79] Ibid, 1996b:553.
[80] Ibid, 1996b:554.
[81] Mengikut ahli tafsir, maksud "binatang melata" dalam ayat ini ialah segenap makhluk Allah SWT yang bernyawa. Manakala maksud "tempat berdiam" pula ialah dunia dan "tempat penyimpanan" ialah akhirat. Menurut sebahagian ahli tafsir yang lain, maksud "tempat berdiam" ialah tulang sulbi dan "tempat penyimpanan" ialah rahim.
[82] Hadith dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996b:554.
[83] Imam Ghazali (1980 Jilid 7:136) mendefinisikan konsep fakir harta benda ini seperti berikut: "Ketahuilah, bahawa kefakiran itu ibarat daripada ketiadaan apa yang diperlukan. Adapun ketiadaan apa yang tidak diperlukan, maka tidak dinamakan fakir. Jikalau yang diperlukan itu ada dan disanggupi, nescaya tidaklah orang yang memerlukan itu orang fakir". Definisi ini jelas merujuk konsep fakir harta benda itu kepada golongan miskin mutlak, yang tidak mempunyai walaupun keperluan asas.
[84] Dirawikan At-Tarmizi dari Anas dan Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Abi Sa'id.
[85] Hadith dipetik dari Syeikh Yusuf Qardhawi 1980:40.
[86] Hadith dirawikan Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah.
RUJUKAN
Abdul Aziz, Dr., 1996. "Poverty Among Muslims and Strategies For Its Alleviation", dlm. T. Abdur Rahman and K.G. Munshi, eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies, ms 1-6.
Abul-Laits Assamarqandi, terj. H. Salim Bahreisy, 1978. Tanbihul Ghafilin (Peringatan Bagi Yang Lupa), Jakarta dan Surabaya: Pt Bina Ilmu, cetakan kedua.
Akram Diya' Al-`Umari, terj. Zainab Abdul Kadir, 2000. Masyarakat Madani Di Zaman Nabi, Kuala Lumpur; The International Institute of Islamic Thought Malaysia dan Thinker's Library Sdn Bhd.
Al Imam Al Bukhary, 1997. (terj. H.Zainuddin Hamidy, H. Fachruddin Hs, H. Nasharuddin Thaha, Johar Arifin, A. Rahman Zainuddin M.A), Terjemahan Hadis Shahih Bukhari, Jilid I, II, III & IV, Klang, Selangor: Klang Book Centre, Cetakan Kelima.
Asghar Ali Engineer, 1991/1992. "An Islamic Approach to the Challenge of Poverty", Ilmu Masyarakat, No.21, Oktober 1991 - Jun 1992, ms.26-36.
Ashaari Muhammad, Abuya Syeikh Imam, 1993. Falsafah Kemiskinan dan Jalan Penyelesaiannya Menurut Islam, Kuala Lumpur: Minda Abuya Agency.
Faisal bin Othman, 1993. "Kepapaan Adalah Musuh Islam", dlm. Nik Mustapha Haji Nik Hassan dan Siti Fatimah Abdul Rahman, sunt., Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat - Satu Kefahaman, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), ms.137-141.
Fauzian Mohammad, 1997. Ke Arah Pembentukan Masyarakat Madani, Batu Caves: Pustaka Ilmi.
Humaidi Tatapangarsa, Drs., ditahkik dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait, 1997. Akhlak Yang Mulia, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Ibn Majah, 1984. Sunan Ibn Majah, Riyadh: Sharikah at-Tiba'ah al-'Arabiyah as-Sa'udiyah, Vol.2, p.344.
Ibnu Hajar, t.t. (tiada tarikh), Fathul Mubin Li Syarhil-Arba'in, tiada maklumat penerbit dan tempat diterbitkan.
Imam Al-Ghazali (Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali), disesuaikan oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, terj. Syed Ahmad Semait, 1978. Bimbingan Mu'minin: Pada Mencari Redha Rabil-`Alamin, Jilid 2, Singapura: Pustaka Nasional.
Imam Al-Ghazali (Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali), 1980. Ihya Ulumiddin, Jilid 5 dan 7, Indonesia: Penerbit Asli.
Imam Ghazali, terj. Syed Ahmad Semait, 1990. Bimbingan Mu'minin, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., Cetakan Ketujuh.
Imam Nawawi, t.t. (tiada tarikh), Matnul Arba'in An-Nawawiyah, tiada maklumat penerbit dan tempat diterbitkan.
K.H. Firdaus, 1997. Tokoh Kepimpinan dan Pejuang Keadilan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Selangor D.E.: Pustaka Ilmi.
K.H. Qamaruddin Shaleh, H.A.A. Dahlan dan Drs. M.D. Dahlan, 1975. Asbabun Nuzul – Latarbelakang Historis Turunnya Ayat-Ayat Al-Qur`an, Bandung, Indonesia: Penerbit c.v. Diponegoro, cetaka ke-2.
K.S.S. Uduman Mohideen, Dr., 1996. "Islamic Concept of Poverty", dlm. T. Abdur Rahman and K.G. Munshi, eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies, ms 7-19.
Maulana Muhammad Zakariya Kandhahlawi, 1998. Kisah-Kisah Para Sahabat, Jilid 1-2 (Edisi Baru), Johor Bharu: Perniagaan Jahabersa.
M. Basheer Ahmed Khan, Dr., 1996. "Management of Poverty Alleviation - A Strategy", dlm. T. Abdur Rahman and K.G. Munshi, eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies
Muhammad Akram Khan, 1985. "Economic Growth and Development in Islam", The Search, Brattleboro, USA, Vol.6, No.24, ms 142-166.
Muhammad Syukri Salleh, 1999. "Islam dan Kemiskinan", Pemikir, Bil.18, Oktober-Disember, hal. 153-174.
Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi, 1997 (Diolah dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait), Untaian Kisah Nabi dan Para Sahabat, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Seers, Dudley, 1969. "The Meaning of Development", International Development Review, Vol.11, No.4; diulang-terbit dalam IDS Communication Series, No.44; Revista Brasileira de Economia, Vol.24, No.3; International Spectator, Vol.XXIV, No.21; Ekistics, 1970; Sociological Abstracts, USA, 1970; The Political Economy of Development, ed. Ilchman and Uphoff, 1971; dan Insight, July 1971.
Sheikh Muhammad Zakariyya, 1996. Terj. Muhammad Abdul Lathif, Panduan Mencari Nafkah Hidup Yang Diberkati – Jawapan Terhadap Masalah Harian Anda, Kuala Lumpur: Darul Nu’man, cetakan kedua.
Siddiq Fadil, 1992. Minda Melayu Baru, Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.
Surtahman Kastin Hassan, 1996. "Kemiskinan dan Pembasmian Kemiskinan Mengikut Perspektif Islam", dlm. Chamhuri Siwar dan Nor Aini Hj Idris, sunt., Kemiskinan Dalam Pembangunan Ekonomi Malaysia, Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, ms.70-81.
Syed Ahmad Semait, 1995. Sepuluh Yang Dijamin Masuk Syurga, Singapura: Pustaka Islamiyyah Pte Ltd.
Syed Ahmad Semait, 1996. Kuliah Subuh - Pada Membicarakan Hadis 40, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., Cetakan Ketujuh.
Syed Ahmad Semait, 1996a. Analisa dan Komentar Hadis Qudsi - Edisi Baru, Singapura: Pustaka Islamiyah Pte Ltd, Cetakan Ketiga.
Syed Ahmad Semait, 1996b. Kuliah Subuh Pada Membicarakan Hadis 40, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd, Cetakan Ketujuh.
Syed Othman Alhabshi, 1993. "Tidakkah Islam Menggalakkan Kita Mengumpul Harta?", dlm. Nik Mustapha Haji Nik Hassan dan Siti Fatimah Abdul Rahman, sunt., Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat - Satu Kefahaman, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), ms.127-135.
Syeikh Yusuf Qardhawi, terj. Umar Fanany, 1980. Problema Kemiskinan: Apa Konsep Islam, Surabaya, Indonesia: P.T. Bina Ilmu, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd dan Johor Bahru, Malaysia: Penerbitan Pena Mas.
T. Abdur Rahman, Dr. and K.G. Munshi, Dr., eds., Poverty Alleviation Among Muslims in Tamilnadu, New Delhi: Institute of Objective Studies.
Ziauddin Ahmad, 1991. Islam, Poverty and Income Distribution, Leicester, UK: The Islamic Foundation.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan