Utusan Malaysia 4 Jan 2001
Saudara Pengarang,
JIKA kita pergi di Negeri Sembilan di mana adat perpatih diamalkan di antaranya di kawasan Rembau, kita akan dapati banyak rumah-rumah lama yang asasnya masih kukuh ditinggalkan begitu sahaja.
Tidak kurang juga dusun-dusun yang masih ada pokok buahnya ditinggalkan tidak diurus. Bagi generasi muda yang tidak memahami adat perpatih mereka akan mengambil jalan mudah untuk menyalahkan adat perpatih itu yang menyebabkan berlakunya senario demikian.
Mereka yang mengasaskan adat perpatih ini mempunyai niat yang baik pada asasnya, iaitu untuk menjaga masyarakat di ketika itu dengan adat dan undang-undang yang dibentuk supaya masyarakat dapat hidup dengan harmoni dan tidak berpecah belah.
Secara ringkasnya adat itu diolah mengikut kesesuaian masyarakat ketika itu dan ia berkemungkinan telah dibuktikan kejayaannya dan praktikalitinya di zaman silam.
Persoalannya sekarang adakah adat perpatih yang ada pada ketika ini dapat membentuk masyarakat yang dapat hidup harmoni, saling berkasih sayang, sering bertanya khabar, tiada rumah dan tanah terbiar, tiada saudara hidup menumpang di tempat lain?
Jika tidak adakah ia berpunca daripada adat itu sendiri atau pengamal adat itu? Kami generasi muda merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana kami memang percaya nenek moyang kami yang mengasaskan adat perpatih mempunyai niat yang baik iaitu untuk melindungi keluarga dan masyarakat.
Mengapa sekarang ini sebaliknya pula yang berlaku. Contoh paling mudah ialah mengapa tanah pusaka tidak boleh dibahagikan kepada saudara kita yang hidup merempat akan tetapi jika tanah pusaka itu di dalam pelan pembangunan kerajaan untuk dibuat jalan, saluran paip dan sebagainya, adat tadi sudah boleh diubah?
Kesimpulannya di sini mungkin untuk mengubah adat itu tidak semudah yang dicakapkan, cuma fikirkanlah bersama adakah adat tadi masih lagi melindungi masyarakat secara umumnya. - ROZMAL MALAKAN, Senawang, Negeri Sembilan.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2001&dt=0104&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_04.htm&arc=hive
Tiada ulasan:
Catat Ulasan