Nampak kecil saja, penutup longkang,
apalah sangat. Tapi penutup longkang ini mempunyai ceritanya
tersendiri yang membongkar cerita yang lebih besar.
Sekembalinya saya dari Mekah, apabila
saya solat di Surau Alamanda, saya dapati satu penutup longkang
konkrit di pintu pagar utama masuk ke Surau Alamanda telah pecah
dengan meninggalkan lubang yang besar, yang orang dewasa pun kalau
terjatuh ke dalamnya boleh mendatangkan kecederaan yang serius. Oleh
kerana malam hari saya pun tak sempat nak cari papan untuk menutup
lubang tersebut.
Pada siangnya saya dengan bantuan anak
saya mencari beberapa keping kayu dan papan untuk menutup sementara
lubang tersebut.
Saya cuba bertanyakan siapa punya
angkara hinggakan penutup longkang konkrit tersebut pecah hinggakan
tidak pula si pelaku melaporkan kepada pihak surau atau cuba menutup
sementara lubang besar yang ditinggalkan. Maklumlah surau ini sering
digunakan oleh kanak-kanak untuk mengaji dan pelajar KAFA untuk
solat.
Kebiasaannya penutup longkang ini pecah
apabila ada lori masuk ke kawasan surau untuk menghantar barangan.
Tetapi sebelum ini apabila pecah, pihak yang melakukannya akan
melaporkan atau membaikinya.
Pihak yang tidak bertanggungjawab perlu
dicari terlebih dahulu sebelum penutup longkang ini dibaiki, jika
tidak pada masa akan datang, atau tahun hadapan, pada hari sambutan
yang sama, dia akan mengulangi pekara yang sama.
Dan pihak yang bertanggungjawab ini
perlu dicari segera, kerana kesian, setiap kali jemaah yang pergi ke
surau ini, atau anak-anak yang pergi ke surau ini pasti akan terdetik
di hati mereka atau mendoakan sesuatu apabila melihatkan penutup
longkang belum dapat dibaiki lagi.
Saya nak minta kontraktor yang selalu
membaik pulih surau ini pun saya dah segan. Kerana banyak sangat saya
minta tolong pada kontraktor ini sebelum ini, kerana siapalah saya,
saya bukannya rapat dengan MB ke, ADUN BN ke, Ahli Parlimen BN ke.
Jadi saya minta tolong kontraktor ini untuk baiki atap surau yang
bocor yang hanya boleh dibaiki menggunakan kren yang memakan masa
berminggu-minggu untuk dibaiki, hinggakan nak mengecat tempat mandi
jenazah pun saya minta tolong kontraktor tersebut, maklumkah jemaah
surau kami rata-rata masih bekerja, ada yang bekerja di KL, tidak
seperti di taman lain yang ramai juga sudah pencen, mana ada masa nak
selalu buat gotong royong.
Nak harapkan peruntukan kerajaan untuk
baiki surau kena ambil masa yang lama dan tunggu giliran, sedangkan
banyak surau dan masjid lain di Negeri Sembilan ini yang lebih uzur
dari surau ini yang menunggu peruntukan. Kalau nak peruntukan segara
kenalah para jemaah doakan agar ada pilihanraya kecil di kawasan
mereka.
Seperti saya kata cerita tadi, nampak
kecil penutup longkang, tapi ianya mempunyai rahsia dan cerita lebih
besar di sebalik cerita yang boleh menggemparkan Malaysia.
Demi ALLAH yang nyawa ku dikawalNya,
yang menghidup dan mematikan aku, semoga ALLAH melahirkan lebih ramai
kontraktor yang lebih prihatin untuk membaik pulih surau-surau dan
masjid-masjid yang uzur, rosak, bocor di seluruh Malaysia ini dan
menjadikan mereka kontraktor yang lebih berjaya, kaya dan bertaqwa.