Balu jurutera diundang malang
23 Feb 2017
Port Dickson: Siapa sangka kehidupan serba mewah yang pernah
dinikmati keluarga ini suatu ketika dulu hilang sekelip mata, malah mereka
mengikat perut hampir setiap hari selepas ketua keluarga meninggal dunia akibat
serangan jantung dua tahun lalu.
Keperitan bermula selepas empat hari suami Zainurita Haron,
53, meninggal dunia, dia bersama lima anaknya berusia antara tiga sehingga 27
tahun dihalau dari rumah sewa di Kajang, Selangor.
Zainurita berkata, lima anaknya sudah tamat sekolah, tetapi
dua anak angkat yang dibela sejak kecil berusia lima dan 14 tahun masih
belajar.
“Suami pergi mengejut dan kami langsung tiada wang simpanan
menyebabkan beberapa anak saya menamatkan pengajian kerana tidak mampu
menanggung perbelanjaan mereka.
“Semua permohonan bantuan saya ditolak kerana kami dianggap
keluarga berada. Ramai tidak percaya keadaan kami, malah ada yang menuduh saya
menipu kerana pendapatan suami ketika dia meninggal melebihi RM15,000,” katanya
ketika menerima sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf dan Setia Kasih (PERKASIH
N9) di rumah sewanya di Fasa 1, Bandar Springhill, di sini, semalam.
Katanya, walaupun arwah suami bergaji besar sebagai jurutera
cari gali minyak di dua syarikat swasta, dia perlu membayar hutang bagi
membebaskan dirinya daripada muflis.
“Sebaik hutang selesai, dia menghadap Ilahi ketika bertugas
di pelantar minyak. Apa yang memeranjatkan, majikan suami hanya menyerahkan
RM2,000 sebagai kos pengurusan jenazah tanpa sebarang pampasan.
“Saya diberitahu, majikan tidak dapat bantu walaupun suami
meninggal ketika bertugas. Rumah kami duduk ini rumah keempat sejak setahun
lalu dan pemiliknya memberikan notis untuk kami mengosongkan dalam tempoh
seminggu.
“Mana lagi kami nak pindah sedangkan untuk makan pun
berjimat,” katanya yang menyewa rumah RM500 sebulan.
Zainurita berkata, sebelum ini dia menjual nasi lemak bagi
menampung perbelanjaan namun selepas keretanya rosak sejak tiga bulan lalu,
mata pencariannya terputus.
- Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan