KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20160407

MERIAM DATO’ SHAHBANDAR HAJI MAT SETH



Terima kasih Lembaga Muzium Negeri Sembilan

MERIAM DATO’ SHAHBANDAR HAJI MAT SETH
Tarikh  :  17 Mac 2016 (Khamis)
Tempat : Kampung Nerambai, Lubuk Cina Rembau



Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah menjalankan kajian meriam Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth di Kampung Nerambai, Lubok Cina, Rembau. Kajian ini telah dijalankan oleh Encik Mohd Nazim bin Abd. Gaman, Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Encik Asrul Effendi bin Kamaruzzaman, Penolong Kurator Unit Adat Perpatih.

Tujuan utama kajian ini dijalankan oleh pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan adalah untuk mengiventorikan meriam ini sebagai warisan bersejarah yang terdapat di negeri ini. Menurut Puan Rosyatimah binti Shamsudin, 50 tahun Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth adalah seorang saudagar yang berasal dari Indonesia.

Beliau yang juga waris berkata bahawa Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth berkahwin dengan Nenek Raja. Meriam ini sudah ada di tapak sekarang semenjak arwah ibunya lahir lagi dan tidak boleh dipindahkan sebarangan. Kata arwah ibunya lagi jumlah kesemua meriam ini adalah 4 pucuk iaitu yang besar adalah meriam manakala yang kecil pula adalah lela lantaka.

Kawasan yang menempatkan meriam ini perlu dibaikpulih sebagai tempat bersejarah. Meriam ini sekarang diletakkan dalam kawasan yang berpagar sumbangan daripada UMNO. Selain daripada itu, meriam ini juga pernah disiarkan dalam rancangan Misteri Nusantara terbitan TV3 dan rencana mengenainya turut dimuatkan dalam majalah Variasari.

Pihak TV3 juga telah menyalurkan sumbangan untuk mengecat pagar tapak yang menempatkan meriam ini. Usia meriam ini dianggarkan lebih daripada 500 tahun. Menurut Haji Ishak bin Haji Omar pula, 50 tahun daripada sejarah yang pernah dibacanya Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth telah melarikan diri ke sini sewaktu Melaka diserang Portugis dan berkemungkinan besar meriam ini turut dibawa bersama-sama dengannya.

Lubok Cina pada asalnya adalah sebuah pelabuhan sehingga ke Kampung Penajis. Berkemungkinan gelaran Dato’ Shahbandar yang diberikan kepada Haji Mat Seth adalah anugerah daripada Sultan Melaka. Meriam ini terletak dalam tanah milik Allahyarhamah Puan Jaharah binti Sudin iaitu ibu kepada Puan Rosyatimah binti Shamsuddin.

Sementara itu menurut Encik Mohd Nazim bin Abd. Gaman, Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan sentiasa mengambil perhatian dan maklum apabila berita mengenai meriam ini disiarkan dalam akhbar Sinar Harian baru-baru ini. Pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan menjalankan kajian dengan merujuk kepada buku yang bertajuk “Konservasi Artifak Meriam Sejarah” terbitan Jabatan Muzium Malaysia.

Meriam terbahagi kepada dua jenis iaitu meriam itu sendiri dan lela lantaka. Meriam kolonial adalah peninggalan penjajah Portugis, Belanda dan British manakala meriam Melayu pula adalah lela lantaka. Bagi meriam kolonial kegunaannya adalah sebagai pertahanan, amaran dan komunikasi.

Manakala lela lantaka adalah buatan orang Melayu di mana lazimnya dimiliki oleh golongan bangsawan. Kegunaan lela lantaka adalah untuk senjata peperangan, pertahanan, komunikasi, amaran, lambang kekuasaan, kekayaan dan simbol status lambang kebesaran diraja. Tambahnya lagi hasil daripada penelitian yang telah dijalankan oleh pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan mendapati bahawa meriam ini adalah jenis meriam British.


Tiada ulasan: