KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20160805

Judi dalam talian makin serius, pelajar sekolah diperangkap




5 Ogos 2016 - Penularan kegiatan judi dalam talian semakin membimbangkan apabila golongan pelajar sekolah sudah mula terjebak dengan aktiviti haram itu. Tinjauan mendapati segelintir pelajar mengakui tahu malah turut bermain permainan judi dalam talian itu berikutan operator judi terbabit kini semakin berani menawarkan permainan berkenaan secara terbuka.

Lebih menyedihkan, mereka sanggup menggunakan wang saku yang diberikan ibu bapa untuk bermain judi dalam talian yang boleh diakses di mana sahaja, pada bila-bila masa selagi mempunyai akses internet. Menurut seorang pelajar tingkatan empat, dia terpengaruh selepas melihat iklan-iklan judi dalam talian yang kini tersebar luas di laman sosial seperti Facebook.

“Mereka (operator judi) letak gambar duit dan orang menang besar selepas main permainan ditawarkan, itu yang buat saya hendak cuba. “Pada mulanya saya tidak mahir, tetapi sekarang sudah tahu cara untuk bermain kebanyakan permainan disediakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi seorang lagi pelajar, dia yang turut mengakui pernah berkunjung ke premis mesin judi internet memaklumkan bermain melalui internet lebih selamat. “Saya memang pernah pergi kedai mesin itu, tetapi kadang-kadang tidak boleh masuk kerana memakai uniform.

Tambah seorang pelajar, dia mengetahui tentang permainan judi itu daripada rakannya selain turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menawarkan aktiviti judi itu daripada nombor tidak dikenali . “Caranya amat ringkas untuk dimainkan dan boleh dimainkan di mana sahaja. “Selalunya saya akan bermain di rumah menggunakan telefon bimbit dan akan ke bank untuk mendepositkan duit bagi menambah kredit taruhan,” katanya.


Tiada ulasan: