Masjid tak berkunci, besi tak hilang
Oleh Subky Latif
INILAH rencana iftitah untuk tahun 2013. Hashim Omar, bekas
Adun di Kelantan tahun 1978 membawa saya menyeberang sempadan Malaysia-Thailand.
Saya tiada rancangan ke sana, tetapi Hashim mahu saya
melihat wilayah yang dikatakan bergolak yang padat dengan penduduk Islam.
Bersama kami Ustaz In, hakim mahkamah syariah yang cuti
tanpa gaji. Kami menuju ke Pengkalan Kubur sebaik tiba dari Kuala Lumpur.
Banjir sudah surut tetapi beberapa tempat di jalan raya masih berair.
Sungai Golok itu adalah antara tempat yang bergolak, tetapi
saya lihat orang-orangnya tidak cemas seperti dalam suasana tegang.
Ketika di sebuah masjid orang pun sudah keluar dari masjid.
Maka kami berjalan terus menyaksikan suasana sekitar. Akhirnya singgah di
sebuah masjid yang sudah tidak berorang. Masjidnya cantik dan bersih. Semua
pintunya terbuka walaupun di dalamnya tidak berorang. Tiada sejadah tetapi
lantainya tidak berhabuk.
Tidak nampak kunci. Satu-satu rantai berkunci yang saya
nampak ialah peti duit. Bukan pintu masjid.
Sesiapa yang singgah bersolat tidak perlu mencari anak kunci
dan tidak perlu solat di serambi. Masuk hingga ke tepi mimbar.
Adakah semua masjid begitu? Kata Hashim, “Semua masjid di
sini begini.”
Adakah orang tidur di masjid? Kata Hashim, “Ada, tapi
jarang-jarang sekali sekala pengembara keletihan dari jauh singgah tidur bagi
menyegarkan badan.”
Mungkin tidak ada mat rempit, maka boleh masjid itu terbiar
bukan sekadar tidak berkunci bahkan pintunya tidak ditutup.
Negara itu bukan negara Islam.
Tetapi tuan-tuan punya masjid tidak bimbang masjidnya
diceroboh atau perkakas masjid dicuri. Mungkin masjidnya yang dibina daripada
sedekah dan khairat orang ramai, bersih daripada perkara syubahat, ia terhindar
daripada tercemar. Kalau ia dibina dengan duit yang bersih, anjing pun tidak
singgah sekalipun pintu terbuka luas.
Mungkin itulah yang dikatakan suasana Islam. Negaranya bukan
Islam, masjidnya seperti dikawal malaikat.
Apa pun masjid-masjid di Malaysia yang negaranya bernama
negara Islam dan dipimpin oleh orang Islam, pintu masjid pantang lepa, kipas
anginnya hilang, pembesar suara lesap. Pintu pagar besi masjid yang besar dan
berat pun boleh hilang.
Bertuahlah besi-besi yang ada di Selatan Thailand, ia
terselamat daripada sasaran penyangak besi.
Terasa halal kalau kita berderma untuk masjid di Selatan
Thailand. Kita terasa derma dan sedekah kita itu akan kekal. Ini tidak bererti
kita tidak dapat pahala berderma untuk masjid di Malaysia. Kita tetap dapat
pahala tetapi tiada jaminan ia kekal sekalipun masjidnya kekal.
Mengapa masjid di negara bukan Islam dan tiada siapa peduli
dengan kemakmurannya selain daripada tuan-tuan punya masjid itu sendiri, boleh
terjamin keselamatannya?
Tiada polis tetap yang menjaga masjid-masjid itu dan mungkin
rukun tetangga pun tidak ada, tetapi tidak pencuri berkeliaran di masjid.
Mungkin tiada yang bimbang apabila keluar masjid, kasut atau seliparnya hilang.
Jika betul suasana di masjid yang saya singgah itu
melambangkan suasana bagi kebanyakan masjid, maka apa yang menyebabkan masjid
mereka aman makmur sedang ia berada dalam negara dan pemerintahan yang bukan
Islam? Sedang di Malaysia semua masjid dibina kerajaan, semua jawatankuasa
masjid dipilih oleh kerajaan. Tiada orang yang tidak dipercayai oleh pemimpin
kerajaan boleh berperanan dalam masjid. Semua pegawai masjid orang dipercayai
oleh kerajaan.
Semua khutbah disediakan oleh kerajaan, tetapi semuanya
berkunci selepas jemaah memberi salam. Khatib di Thailand tidak perlu menunggu
khutbah daripada kerajaan. Rakyat sendiri menentukan isi khutbah.
Saya sendiri tidak tahu masjid mana lebih makmur? Masjid
yang dijaga kerajaan serba serbi di Malaysia lebih makmur atau masjid di
Thailand yang dijaga oleh ahli kariahnya lebih makmur.
Yang penting kita boleh masuk masjid bila-bila masa di sana;
tetapi di Malaysia kadang-kadang kita terpaksa menunggu lama kerana siak dan
bilal lambat datang.