Asrama kian uzur
Melaka , 8 Okt 2015 - Pengurusan Madrasah An Nuriah Ad Diniah di Sungai Udang,
Tanjung Kling, di sini, yang juga antara sekolah agama persendirian di negeri
itu meminta kerjasama orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membiayai
pembinaan asrama pelajar perempuan yang semakin uzur.
Bangunan dua tingkat yang dibina menggunakan kayu sekitar
tahun 1950-an digunakan sebagai asrama bagi menampung 50 pelajar perempuan
berusia antara 13 hingga 17 tahun walaupun strukturnya dianggap sudah tidak
selamat untuk diduduki.
Ketua Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Madrasah An Nuriah
Ad Diniah Mohd Herwan Mohd Khalil berkata, atas faktor keselamatan, pelajar
perempuan terbabit dipindahkan ke blok pengajian madrasah itu yang dijadikan
sebagai asrama sementara, minggu lalu.
“Jika dana sudah cukup, kami jangka bangunan asrama baru
akan siap sepenuhnya dalam tempoh empat bulan saja. Kos keseluruhan pembinaan
asrama baru itu dijangka menelan belanja RM250,000.
“Asrama sedia ada akan dirobohkan bagi membolehkan bangunan
baru dibina di atas tapak sama. Kami berharap orang ramai sudi menghulurkan
wakaf, sumbangan, derma atau infaq bagi membiayai kos pembinaannya nanti,”
katanya.
Madrasah itu diasaskan oleh ulama terkenal di negeri itu,
Abdul Wahid Othman atau lebih dikenali dengan nama Tuan Guru Haji Wahid pada
1940.
Daripada keseluruhan 180 pelajar lelaki dan perempuan di
peringkat menengah mengikuti pengajian di situ, termasuk yang berulang-alik
dari rumah, 10 adalah anak yatim manakala 20 lagi daripada keluarga miskin.
Proses pembelajaran mengikut sukatan pelajaran Kementerian
Pendidikan manakala hal ehwal pentadbiran pula dikendalikan lima kakitangan
pengurusan.
Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi
Mohd Herwan di talian 013-6440709 atau pejabat madrasah 06-3519807.
(Kemaskini : Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank ,
no akaun 154101211713 , atas nama Lembaga Pengurusan Madrasah Annuriah
Addiniah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan