Masjid perlu berperanan bantu ahli masyarakat
6 Jun 2017
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu
masjid di negeri ini berperanan sebagai institusi yang pertama tampil membantu
ahli masyarakat yang mengalami kesusahan dan kemiskinan.
Menurut beliau, ini akan menjadikan masjid lebih dihormati
sekali gus memperkasakan institusi tersebut di mata masyarakat.
“Masjid mesti menjadi institusi yang mendahului di peringkat
kawasan, kalau ada pelajar miskin atau orang susah, masjid perlu bantu.
“Kalau tidak ada duit masjid, itu bukan masalah kerana boleh
minta pada Baitulmal dan kita bekerjasama. Ini kerana pihak masjid lebih tahu
siapa yang miskin atau susah di kariah mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut meminta pihak pengurusan masjid
supaya merancang aktiviti yang dapat membangunkan masyarakat dan memberi
manfaat kepada ahli kariah.
Ujarnya, ada sesetengah masjid di negeri ini yang mempunyai
kutipan yang besar sehingga mencecah RM1 juta namun tidak memanfaatkannya dan
masih meminta sumbangan daripada kerajaan negeri untuk kerja baik pulih.
“Kita tidak mahu masjid besar dan duit banyak dalam akaun
tetapi tidak buat apa-apa aktiviti. Saya pernah singgah di sebuah masjid tetapi
berkunci dan banyak habuk. Maknanya itulah wajah masjid yang tidak dikunjungi
dan sunyi sepi,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan