Remaja hidap kencing manis akibat minuman bergas
15 Oktober 2017
JASIN - Kegilaan seorang remaja berusia 13 tahun terhadap
air minuman bergas sejak kecil akhirnya memberi kesan buruk apabila dia kini
mengidap penyakit kencing manis kronik.
Remaja berkenaan, Mahathir Mohammad berkata, penderitaan itu
dialaminya sejak lima tahun lalu sehinggakan dia terpaksa melupakan alam persekolahan apatah
lagi menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Saya suka minum minuman bergas sejak kecil. Lebih-
lebih lagi dulu ada sebuah kedai runcit berdekatan rumah, jadi memang setiap
hari saya akan beli air bergas. Tapi tak sangka akhirnya membuatkan saya jadi
begini.
"Memang pada mulanya ia hanya luka kecil di tapak kaki
tapi kaki semakin membengkak dan bernanah malah akan mengeluarkan bau yang
busuk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rimbunan Kasih, Serkam
di sini.
Sementara itu, ibunya Zaliha Mohd Zabidi, 44, berkata ketika
usia Mahathir 12 tahun kedua-dua kaki anak keempat daripada lima beradik itu
hampir dipotong oleh doktor bagi mengelakkan terkena jangkitan kuman.
"Memang ketika dapatkan rawatan doktor cadang untuk
potong, akan tetapi setelah berfikir panjang saya tak sampai hati mahu melihat
anak yang dilahirkan normal akhirnya kehilangan kaki.
"Kemudian saya ambil keputusan dan berikhtiar pelbagai
cara untuk sembuhkan dia. Alhamdulillah, akhirnya saya berjumpa seorang doktor
yang terbaik dan sehingga kini Mahathir masih melakukan rawatan susulan
dengannya," katanya.
Menurutnya yang bekerja sebagai pekebun, bagaimanapun kini
pergerakan anaknya itu terbatas berikutan kawasan luka yang sentiasa berair dan
hanya mampu mengengsot di dalam rumah.
"Jika ada urusan di luar ataupun mahu membawanya ke
klinik, dia terpaksa menggunakan kerusi roda ataupun menggunakan kasut khas
yang ditempah.
"Saya mahu melihat Mahathir sembuh dan dapat bersekolah
seperti kawan-kawannya yang lain. Kalau ditakdirkan saya pergi dahulu dengan
keadaan dia seperti itu?. Memang itu sahajalah yang saya sering fikirkan,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan