KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150531

Tuan Guru Haji Ibrahim, ulamak yang disegani oleh kaki lepak


Semalam seorang usahawan anak muda yang berjaya menceritakan kekaguman beliau dengan sikap almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim, ulamak yang terkenal di N.Sembilan. Kata anak muda tadi susah nak cari ustaz, pendakwah macam Tuan Guru Haji Ibrahim.

Katanya biasanya golongan ustaz ini tak pandang golongan yang kaki lepak, main gitar waktu senja di simpang jalan dan sebagainya. Tapi Tuan Guru Hj Ibrahim katanya apabila lalu dengan kereta yang dibawa oleh pembantu akan meminta pembantu memberhentikan kereta, dan perlahan-lahan Tuan Guru Haji Ibrahim akan menurunkan tingkap kereta. Tuan Guru Hj Ibrahim akan angkat tangan dan beri salam pada kumpulan pemuda yang sedang main gitar, itu saja.

Sapaan Tuan Guru Hj Ibrahim tersebut telah menyentak hati anak muda, dan mereka terasa ingin pergi sembahyang.

Memang susah hendak jumpa pendakwah seperti Tuan Guru Hj Ibrahim.

Peninggalan Tuan Guru Hj Ibrahim ialah madsrasah beliau iaitu Madrasah Hj Ibrahim. Antara tokoh yang pernah hadir program di madrasah ini ialah almarhum Dr Burhanuddin Helmy, almarhum Professor Zulkefli Ahmad.

Maklumat lanjut Madrasah Hj Ibrahim, Bongek di http://madrasahbongek.blogspot.com

20150530

Pembinaan Madrasah Tahfiz Al Gontory

Pembinaan Madrasah Tahfiz Al Gontory di Chengkau, Rembau kini diperingkat mengecat, kerja-kerja pendawaian dan sebagainya.

Kepada mereka yang ingin menyumbang untuk menyiapkan madrasah tahfiz ini sila hubungi :
Ustaz Septiyan 0132646001
FB : Tahfiz arabic al-gontory

atau salurkan ke akaun Maybank, TARB GONTORY RESOURCES
562843505815





Siasat lori berat mungkin lebih muatan lalu jalan Lubok China-Kota di Rembau

Pihak berkuasa perlu menyiasat lori-lori treler berat yang panjang yang berkemungkinan lebih muatan yang menggunakan jalan Lubok China – Astana Raja – pekan Kota di Rembau. Orang kampung mendakwa jalan di sini sering rosak dan membahayakan pengguna jalanraya terutamanya penunggang motosikal.

Ada yang mengatakan lori ini berkemungkinan membawa muatan arang batu dari Port Dickson ke Bahau. Ada yang mengatakan lori ini dipandu laju.

Saya tidak ada kuasa, orang kampung tak ada kuasa. Mohon mereka yang ada kuasa siasat dan ambil tindakan.




Boleh dapat ke Burger RM2?


Ya, memang boleh tapi jarang kita jumpa orang jual burger ayam atau daging RM2 tambahan lepas GST ni?

Walaupun banyak kos bahan mentah naik akibat GST, Burger Aboy sebelah hentian bas pekan Chengkau, Rembau masih mengekalkan harga burger cuma RM2 sahaja.

Saya tanya boleh untung ke? Anak muda ni kata boleh lagi bang.

Saya rasa dia boleh untung kerana walaupun untung sedikit, tapi disebabkan ramai yang beli maka dia boleh dapat untung cuma penatlah. Tapi rasanya tak penat mana pun, bila ramai pula yang beli, maka dia dapat cepat menghabiskan stok pada hari tersebut.

Yang penting, rasa Burger Aboy ini setanding dengan burger lain.

20150527

Susulan jalan rosak Kota ke Astana Raja dan lori berat



Aduan jalan rosak dan laluan kenderaan berat yang berkemungkinan lebih muatan yang melalui laluan N12, Kota-Astana Raja, Rembau telah saya ajukan. Harap pihak yang berkaitan dapat turun siasat dan melakukan penguatkuasaan serta pendakwaan jika ada kes.

Pada 26 Mei 2015 telah berlaku kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dan lori di laluan N12, jalan pekan Kota ke Astana Raja, Rembau. Jalan ini menurut penduduk setempat sering rosak walaupun telah dibaiki.

Pada 26 Mei 2015 beberapa tempat jalan ini telah dibaiki, seorang penduduk setempat yang prihatin dari kaum hawa telah mengirim gambar terdapat lori berat berkemungkinan lebih muatan melalui jalan ini pada 27 Mei 2015, dan didapati jalan yang diturap semalam, hari ini 27 Mei 2015 didapati rosak.

Diharapkan pihak berkuasa dapat turun padang menyiasat perkara ini. Adakah laluan ini sering digunakan oleh kenderaan berat yang lebih muatan.

Mohon tindakan segera, sebelum lebih ramai nyawa orang kampung melayang akibat kerakusan segelintir manusia yang tidak bertanggung jawab. 





20150526

Status jalan pekan Kota ke Astana Raja



Saya dimaklumkan jalan pekan Kota ke Astana Raja, Rembau banyak yang rosak. Ada sesiapa boleh sahkan berita ini, berapa banyak yang rosak, lokasi, sejak bila rosak agar mudah untuk dipanjangkan masalah ini kepada pihak yang berkenaan.



20150525

FORUM PERDANA IHYA RAMADHAN



 FORUM PERDANA IHYA RAMADHAN
"Ramadhan - Tetamu Yang Di Rindui"
Pada : 31-Mei-2015, Ahad
Waktu : 8 malam
Di Surau Al-Nadzim, Taman Orkid, Senawang.

Aktivi sampingan yang menarik bersama Persatuan Falak Syar'i Malaysia iaitu ;
Pameran Astronomi
Cerapan Angkasa
Sijil Lahir Hijri

Semua Dijemput Hadir


Azab sehari dipaksa mengemis




Azab sehari dipaksa mengemis
24 Mei 2015

KOTA BHARU – Seorang budak lelaki tidak akan melupai azab dilarikan seorang lelaki sebelum dipaksa menjadi pengemis ketika menemani bapanya menunaikan solat Isyak di Masjid Muhammadi di sini pada Jumaat lalu.

Sebelum kejadian pada pukul 9 malam, Aiman Kamarolzaman, 7, anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu berlegar-legar di kawasan masjid sementara menunggu ayahnya bersolat.

Malangnya, kanak-kanak itu secara tiba-tiba ditumbuk di kepala sehingga menyebabkan mangsa berpinar-pinar dan pening.

Lelaki berbadan kurus dan berpakaian serba hitam itu kemudian memaksanya berjalan sehingga ke sebuah rumah usang yang tidak diketahui lokasinya. Di sebuah rumah tersebut ketika itu turut mempunyai dua orang kanak-kanak lain.

Di rumah itu, Aiman dan dua kanak-kanak lain dipaksa menghisap rokok.

“Akibat tidak mahu mengikut kehendak lelaki itu, saya telah dirotan di belakang badan menggunakan buluh.

“Saya rasa sangat takut semasa di rumah itu dan hanya mampu menangis selain perut kelaparan kerana tidak diberi makanan,” ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Che Deris, Pantai Cahaya Bulan di sini semalam.

Guna besi selamatkan isteri




Guna besi selamatkan isteri
25 Mei 2015

SEREMBAN –  Hanya bersenjatakan sebatang besi, seorang suami nekad menyerang tiga penjenayah warga asing bersenjatakan parang dan gergaji  bagi menyelamatkan isterinya daripada dicederakan dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Kanchong Rantau, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi Jumaat lalu itu menyebabkan Mohamad Zaki Dohat, 57, mengalami cedera pada lengan kiri, manakala isterinya, Noraziah Ismail, 55, mengalami luka pada bahagian kepala akibat ditetak dengan parang ketika bergelut dengan
penjenayah.

Menceritakan kejadian, Mohamad Zaki berkata, dia terjaga daripada tidur selepas mendengar isterinya menjerit dan bunyi bising daripada ruang tamu rumahnya.

“Saya terus bangun dan mencapai sebatang besi untuk dijadikan senjata kerana tahu isteri saya dalam bahaya.

“Di ruang tamu saya nampak ada tiga penjenayah mengacukan parang dan gergaji ke arah isteri dan tanpa fikir panjang, saya terus menghayun besi kepada salah seorang daripada mereka,” katanya.

Mohamad Zaki berkata, dua lagi suspek kemudian terus menyerangnya selepas melihat rakan mereka terjatuh menyebabkan berlaku pergelutan sehingga lengan kirinya terkena hirisan gergaji.

"Suspek cuba merentap rantai leher dipakai isteri saya tapi tak berjaya kerana terputus," katanya di sini, semalam.

Sementara itu Noraziah yang terpaksa dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini, masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku sejak 15 tahun tinggal di situ.

"Dua jam sebelum kejadian itu saya terjaga dari tidur dan kemudian saya pergi ke ruang tamu kerana susah nak lelapkan mata semula.

“Bila saya mula rasa mengantuk, saya tutup lampu kononnya nak sambung tidur semula. Tapi saya dengar ada bunyi di atas siling rumah yang saya ingatkan mungkin bunyi tupai,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bunyi tersebut semakin kuat sebelum dia dikejutkan dengan kehadiran tiga penjenayah dipercayai warga Indonesia yang dipercayai masuk ke dalam rumahnya menerusi tingkap bilik yang diumpil.

“Saya terkejut dia dan dia pun terkejut tengok saya kerana mungkin tidak sangka ada orang di ruang tamu.

“Suspek itu cakap ‘saya nak duit’ sambil mengacukan parang kepada saya. Saya beritahu yang saya tiada duit dan kemudian suami saya dari dalam bilik terus menyerang mereka,” katanya.

Menurutnya, melihat suaminya diserang dia cuba membantu menyebabkan kepalanya cedera ditetak dengan parang sebelum kesemua suspek melarikan diri.

Kata Noraziah, walaupun masih terkejut dengan kejadian itu dan mengalami kecederaan namun dia bersyukur kerana dia dan suami selamat.

“Saya harap polis dapat mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan kampung ini kerana kejadian jenayah seperti ini boleh mengancam nyawa,” katanya.