KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150525

Guna besi selamatkan isteri




Guna besi selamatkan isteri
25 Mei 2015

SEREMBAN –  Hanya bersenjatakan sebatang besi, seorang suami nekad menyerang tiga penjenayah warga asing bersenjatakan parang dan gergaji  bagi menyelamatkan isterinya daripada dicederakan dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Kanchong Rantau, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi Jumaat lalu itu menyebabkan Mohamad Zaki Dohat, 57, mengalami cedera pada lengan kiri, manakala isterinya, Noraziah Ismail, 55, mengalami luka pada bahagian kepala akibat ditetak dengan parang ketika bergelut dengan
penjenayah.

Menceritakan kejadian, Mohamad Zaki berkata, dia terjaga daripada tidur selepas mendengar isterinya menjerit dan bunyi bising daripada ruang tamu rumahnya.

“Saya terus bangun dan mencapai sebatang besi untuk dijadikan senjata kerana tahu isteri saya dalam bahaya.

“Di ruang tamu saya nampak ada tiga penjenayah mengacukan parang dan gergaji ke arah isteri dan tanpa fikir panjang, saya terus menghayun besi kepada salah seorang daripada mereka,” katanya.

Mohamad Zaki berkata, dua lagi suspek kemudian terus menyerangnya selepas melihat rakan mereka terjatuh menyebabkan berlaku pergelutan sehingga lengan kirinya terkena hirisan gergaji.

"Suspek cuba merentap rantai leher dipakai isteri saya tapi tak berjaya kerana terputus," katanya di sini, semalam.

Sementara itu Noraziah yang terpaksa dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini, masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku sejak 15 tahun tinggal di situ.

"Dua jam sebelum kejadian itu saya terjaga dari tidur dan kemudian saya pergi ke ruang tamu kerana susah nak lelapkan mata semula.

“Bila saya mula rasa mengantuk, saya tutup lampu kononnya nak sambung tidur semula. Tapi saya dengar ada bunyi di atas siling rumah yang saya ingatkan mungkin bunyi tupai,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bunyi tersebut semakin kuat sebelum dia dikejutkan dengan kehadiran tiga penjenayah dipercayai warga Indonesia yang dipercayai masuk ke dalam rumahnya menerusi tingkap bilik yang diumpil.

“Saya terkejut dia dan dia pun terkejut tengok saya kerana mungkin tidak sangka ada orang di ruang tamu.

“Suspek itu cakap ‘saya nak duit’ sambil mengacukan parang kepada saya. Saya beritahu yang saya tiada duit dan kemudian suami saya dari dalam bilik terus menyerang mereka,” katanya.

Menurutnya, melihat suaminya diserang dia cuba membantu menyebabkan kepalanya cedera ditetak dengan parang sebelum kesemua suspek melarikan diri.

Kata Noraziah, walaupun masih terkejut dengan kejadian itu dan mengalami kecederaan namun dia bersyukur kerana dia dan suami selamat.

“Saya harap polis dapat mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan kampung ini kerana kejadian jenayah seperti ini boleh mengancam nyawa,” katanya.

Tiada ulasan: