Kosmo 13 Feb 2015
KUALA LUMPUR – Pengguna beragama Islam dinasihatkan supaya
tidak membeli dan memakan bebola ikan yang kebanyakannya dijual di pasaran
kerana dikhuatiri mengandungi plasma darah haiwan termasuk babi.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jabatan kemajuan
Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Amri Abdullah mendakwa, plasma darah haiwan yang
digunakan adalah terdiri daripada ayam, lembu dan babi bertujuan untuk
mencantikkan serta menambah kualiti bebola ikan supaya menjadi lebih kenyal.
Menurutnya, laporan saintifik mendapati anggota dalaman dan
luaran babi mampu menghasilkan 185 produk misalnya, usus haiwan itu boleh
digunakan dalam proses pembuatan sarung sosej manakala darah atau serum haiwan
berkenaan ditemui dalam vaksin serta ubat.
“Berdasarkan hukum syarak, produk makanan yang mengandungi
mana-mana bahagian haiwan yang tidak halal dan anggota manusia adalah tidak
dibenarkan (untuk dimakan),” jelasnya ketika membentangkan kertas kerja
bertajuk Pensijilan Halal Jakim: Integriti Menangani Skandal dan Isu-Isu
Berkaitan Halal di Malaysia pada Seminar Industri Halal di Pusat Dagangan Dunia
Putra di sini semalam.
Plasma darah merupakan bahagian cecair haiwan tidak berwarna
dan diproses menjadi bentuk serbuk yang digunakan untuk menambah kepejalan dan
kekenyalan sesuatu produk.
Tambah beliau, bagi memudahkan umat Islam ketika membeli
barangan tanpa was-was, mereka perlu melihat sijil halal Jakim terlebih dahulu
kerana ia terjamin halal, bersih, selamat, berkualiti dan dijamin.
1 ulasan:
sebagai umat islam kita perlulah berhati hati untuk memilih makanan yang berada di pasaran kini kerana ia akan menjadi darah daging kita
Catat Ulasan