Hampir jadi mangsa culik
26 Ogos 2015
KUALA PILAH - “Saya sering menasihatkan Nurhidayah jika ada
orang yang tidak dikenali mengajak naik kenderaan, jangan dilayan,” kata bapa
mangsa kes cubaan menculik di hentian
bas di Terachi, Mohamad Darus Isa, 54, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi kelmarin, mangsa Nurhidayah,
17, didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang mempelawa mangsa menaiki van
untuk menghantarnya ke sekolah.
Menurut bapa mangsa, dia hanya dimaklumkan kejadian itu
selepas waktu persekolahan kira-kira jam 6 petang.
“Saya dapat panggilan telefon daripada ibu rakan anak saya
yang memaklumkan tentang kejadian itu. Saya memang terkejut, lalu bergegas ke
rumah anak rakan di kampung Mampas Kecil.
“Sebaik tiba, Nurhidayah menceritakan apa yang berlaku. Bila
dengar ceritanya, saya terus bawa dia ke Balai Polis Terachi untuk buat
laporan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya kampung Air
Hitam Batu 16 ½ Terachi, semalam.
Mohamad Darus berkata, pada waktu kejadian, anaknya sendang
menunggu bas untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Samad,
Tanjung Ipoh.
Menurutnya, ketika bersendirian di hentian bas yang terletak
kira-kira 50 meter dari rumah, tiba-tiba sebuah van berhenti di hadapan
anaknya.
“Seorang daripada tiga lelaki itu keluar kenderaan, bertanya
hendak ke mana dan mempelawa anak saya untuk dihantar ke sekolah. Bagaimanapun,
anak saya enggan kerana ingat nasihat saya supaya jangan ikut orang yang tidak
dikenali.
“Akibat enggan ikut arahan, seorang lagi lelaki keluar dari
kenderaan dan menarik serta mengugut anak saya dengan pisau lipat,” katanya.
Jelasnya, anaknya turut dipukul di bahagian belakang dengan
menggunakan objek keras kerana cuba melepaskan diri.
Mohamad Darus berkata, anaknya cedera di tangan kanan akibat
terkena pisau lipat.
“Anak saya berjaya melepaskan diri setelah dia menendang
kemaluan salah seorang lelaki berkenaan.
“Saya sering cakap dengan anak, kalau berada dalam situasi
cemas dan cara untuk pertahankan diri adalah dengan menendang kemaluan mereka.
Alhamdulillah, anak saya praktik apa yang saya katakan,” katanya.
Katanya, selepas anaknya berjaya melepaskan diri, kesemua
suspek melarikan diri dengan menaiki van menghala ke Kuala Pilah.
“Bagaimanapun, anak saya tetap ke sekolah dengan menaiki bas
kerana perlu menduduki peperiksaan penting untuk peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM),” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan
Azmi Abdul Rahim berkata, pihaknya telah menerima laporan dari mangsa pada
petang kejadian.
Menurutnya, hasil pengecaman, ketiga-tiga suspek dipercayai
lelaki Melayu berdasarkan bahasa percakapan yang digunakan.
“Mangsa tidak dapat mengecam ‘foto fit’ kerana pada waktu
kejadian suasana masih gelap,” katanya.
Beliau berkata, mangsa telah dirujuk ke Hospital Tuanku
Ampuan Najihah dan disahkan hanya mengalami kecederaan ‘soft tissues injuries’.