Disamun ketika mengisi minyak
27 September 2015
SEREMBAN - Seorang wanita berdepan
detik cemas apabila disamun dua lelaki bermotosikal ketika sedang
mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Paroi di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu,
penjenayah dianggarkan berusia lingkungan 20-an bertindak mengambil
beg mangsa yang diletakkan di atas kerusi penumpang bahagian hadapan
keretanya sebelum melarikan diri.
Menceritakan kejadian, mangsa yang mahu
dikenali sebagai Jannah, 23, berkata, ketika dia sedang mengisi
minyak, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba berhenti
berhampiran keretanya.
“Masa itu saya tak fikir apa-apa
sebab ingatkan dia tunggu giliran isi minyak. Jadi saya tak ambil
kisah sangat, lagipun ramai orang.
“Tapi tiba-tiba seorang daripada
mereka turun dari motosikal dan berdiri betul-betul dekat pintu
kereta saya sebelum membuka pintu dan mengambil beg yang diletak atas
tempat duduk penumpang,” katanya.
Menurutnya, dia sempat menarik baju
dipakai penjenayah berkenaan dan menjerit meminta tolong, namun
kejadian berlaku pantas dan suspek berjaya melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya, dia bernasib
baik kerana tidak dicederakan dan beg yang dilarikan hanya berisi
barangan biasa.
“Telefon bimbit saya mereka tak
sempat ambil sebab terletak atas kerusi. Nasib baik kad ATM dan yang
lain saya letak dalam beg lain," katanya.
Jannah berkata, walaupun dia sudah
mengambil langkah keselamatan dengan mengunci pintu ketika turun dari
kereta untuk ke kaunter bayaran, namun dia terlupa menguncinya ketika
mengisi minyak.
"Bila tengah isi minyak, saya tak
kunci sebab ingatkan tak akan jadi apa-apa,” katanya yang membuat
laporan di Balai Polis Paroi, di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan