Wanita Digigit Anjing Peliharaan
Positif Rabies Di Kota Setar
19 September 2015
ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Kedah
hari ini mengesahkan seorang wanita berusia 53 tahun digigit anjing
peliharaannya yang positif penyakit anjing gila (Rabies).
Pengarah jabatan itu Datuk Dr Norhizan
Ismail berkata selepas kejadian itu berlaku pada 8.30 malam, 11
September lepas, wanita berkenaan mendapatkan rawatan di klinik
swasta.
"Anggota Pejabat Kesihatan Daerah
Kota Setar telah mengambil tindakan segera dengan memastikan wanita
itu mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah
Bahiyah dan diberikan suntikan vaksinasi," katanya dalam
kenyataan di sini.
Wanita itu, yang berasal dari Kota
Setar, dirawat sebagai pesakit luar namun perlu mendapatkan empat dos
vaksin mencegah Rabies pada tarikh-tarikh ditetapkan dalam tempoh dua
minggu.
Dr Norhizan berkata wanita itu juga
dinasihati supaya sentiasa mengawasi tahap kesihatannya dan segera
mendapatkan rawatan jika mengalami tanda dan gejala seperti demam
atau sakit kepala.
Sebelum ini, pihaknya menerima laporan
mengenai sembilan kejadian gigitan anjing.
Pada Khamis, Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengisytiharkan
Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sebagai kawasan jangkitan penyakit
anjing gila berikutan beberapa kes yang dikesan di negeri
berkenaan.-- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan