Kualiti air di Rembau, PD sedikit terjejas
10 September 2015
Kualiti air di Rembau dan Port Dickson masih selamat untuk
diminum walaupun kualitinya sedikit terjejas berikutan pertukaran warna yang
tidak menjejaskan bau dan rasa air tersebut.
Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), Wan
Rasdi Wan Ismail berkata, sebanyak 13,000 akaun pengguna di dua daerah tersebut
terlibat dengan gangguan kualiti air ini.
"Gangguan kualiti air yang berlaku adalah disebabkan
perubahan pada warna air yang bertukar menjadi kuning sehingga berubah ke warna
coklat gelap.
"Pertukaran warna itu akibat daripada tindak balas
kimia yang diguna pakai dan Sains pada masa ini sedang menganalisa secara
terperinci bahan kimia yang sesuai untuk diguna pakai dalam proses rawatan air
di Loji Rawatan Air (LRA) Sawah Raja, yang membekalkan air terawat untuk Rembau
dan Port Dickson," katanya kepada pemberita dalam sidang media khas, di
sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal oleh Unit Kualiti Air Sains
yang dijalankan di kawasan aduan menunjukkan air terawat itu masih memenuhi
piawaian air minuman kebangsaan yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia.
Wan Rasdi berkata, perubahan kualiti air di kawasan terlibat
mula dikesan pada 3 September lepas dan selepas empat hari Sains melakukan
proses klorin, kualiti air tidak menunjukkan sebarang pemulihan.
Wan Rasdi berkata, melalui maklumat yang diterima daripada
pengguna terlibat, tempoh yang dikenal pasti berlakunya perubahan warna air ini
adalah pada waktu petang dalam beberapa jam dan akan kembali pulih seperti
sedia kala.
Sebarang aduan boleh terus menghubungi Sains ditalian
1-800-88-6982 atau hantarkan aduan ke aduan@sainswater.com. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan