Rompakan di atas lebuhraya PLUS pada
siang hari
25 September 2015
Bangi: Seorang pelajar politeknik tidak
menyangka dirompak sekumpulan penjenayah termasuk dua wanita
bersenjatakan parang ketika menunggang motosikal melalui Lebuhraya
PLUS berhampiran Bukit Mahkota, di sini.
Dalam kejadian jam 6.15 petang
kelmarin, mangsa berusia 18 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya
di Serdang, di sini.
Mangsa yang juga penuntut Politeknik
Merlimau Melaka mendakwa menyedari sebuah kereta Proton Perdana
berwarna hitam dinaiki empat individu mengekorinya dari Hentian Rawat
dan Rehat (R&R) Seremban.
Sumber berkata, suspek mengarahkan
mangsa berhenti di tepi lebuh raya, namun mangsa nekad meneruskan
perjalanan.
“Mangsa cuba memecut ke arah
sekumpulan penunggang motosikal lain yang berada di hadapan.
“Bagaimanapun usaha mangsa melarikan
diri gagal apabila suspek terus mengekori motosikalnya sebelum dia
berhenti di lorong kecemasan di lebuh raya itu,” katanya.
Dia berkata, suspek keluar dari kereta
sambil membawa parang dan terus meluru ke arah mangsa.
Menurutnya, suspek menghentak parang
itu di atas kusyen motosikal mangsa sebelum rakannya merampas topi
keledar mangsa
“Suspek melarikan motosikal Kawasaki
Ninja 150 RR milik mangsa.
“Mangsa tidak berani melawan kerana
bimbang dicederakan suspek. Bagaimanapun mangsa bernasib baik kerana
barangan miliknya termasuk telefon pintar, beg duit dan komputer riba
tidak dilarikan,” katanya.
Menurutnya, mangsa menghubungi keluarga
bagi mendapatkan bantuan sebelum tampil membuat laporan di Balai
Polis Bandar Baru Bangi, di sini.
“Mangsa tidak dapat mengecam nombor
pendaftaran kereta Proton Perdana dinaiki suspek kerana diubah suai,
namun siasatan dilakukan menggunakan bantuan CCTV di susur keluar
lebuh raya terutamanya di Bangi, Kajang dan Sungai Besi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan