Derita 'berjiran' bengkel kereta
SEREMBAN 14 Mac 2017 - Kewujudan deretan bengkel kereta yang
beroperasi berhampiran kawasan perumahan di Fasa 1, Taman Rasah Jaya di sini
kurang disenangi penduduk kerana didakwa menyumbang kepada pencemaran dan
masalah lain.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan bengkel tersebut
hanya terletak beberapa meter dari rumah penduduk dan terdapat beberapa buah
kereta yang rosak tersadai di bahu jalan.
Lebih memburukkan keadaan terdapat timbunan tayar terpakai
tidak diurus dengan baik dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Selain itu tumpahan sisa minyak yang bertakung di dalam
longkang lorong belakang premis turut mencemarkan persekitaran.
Berdasarkan pemerhatian, pengusaha bengkel terbabit langsung
tidak mempedulikan aspek kebersihan.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Chinaya, 52,
mendakwa kewujudan bengkel tersebut mengundang pelbagai masalah sehingga
memaksa mereka sekeluarga berpindah ke taman perumahan lain.
Katanya, bimbang dengan ancaman nyamuk aedes antara punca
mereka sekeluarga meninggalkan kawasan itu.
“Saya sekeluarga hanya tinggal di kawasan berkenaan selama
setahun dan dalam tempoh itu kerap mendengar orang dijangkiti demam denggi.
Saya risau jika ia berlaku terhadap keluarga saya,” katanya ketika ditemui di
sini hari ini.
Seorang penduduk, M. Chandran, 52, yang mengalami masalah
jantung hanya mampu bersabar dengan suasana yang sepatutnya menjadi tempat
pa-ling selesa untuk didiami.
Katanya, sikap tidak peduli pihak berkuasa tempatan terhadap
masalah itu amat dikesali sedangkan aduan telah dibuat sebelum ini.
“Bukan baru sebulan dua masalah ini berlaku tetapi ia sudah
berlarutan hampir enam tahun, namun tiada tindakan sewajarnya diambil oleh
Majlis Perbandaran Seremban (MPS),” katanya yang sudah tinggal di kawasan itu
hampir 25 tahun.
Tambah Chandran, segelintir pengusaha bengkel yang
meletakkan kereta rosak di bahu jalan turut menyusahkan penduduk untuk keluar
bekerja dan menghantar anak ke sekolah.
Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai
Mohamad Zoul, 35, melahirkan rasa hairan bagaimana deretan bengkel boleh diberi
kebenaran oleh MPS untuk beroperasi dalam jarak beberapa meter dengan kawasan
perumahan.
“Kami terpaksa membersihkan halaman rumah dan mendengar
bunyi bising dari bengkel setiap hari.
“Kadangkala mereka menjalankan operasi sehingga lewat malam
dan mengganggu kami untuk berehat,” dakwanya.