'Syurga' di sebalik semak
24 Julai 2015
REMBAU – Siapa sangka, siapa menduga di sebalik semak dan
laluan titi kecil menghubungkan kawasan kampung dan belukar di Kampung Ampang
Batu, Chembong, di sini, rupa-rupanya 'syurga' berlindung seorang lelaki sejak
dua tahun lalu.
Namun 'syurga' itu hanya sebuah pondok bersaiz 8x24 kaki
yang menjadi tempat tinggal Abdul Jamal Jan, 53, meskipun tiada bekalan
elektrik serta air bersih.
Malah, Abdul Jamal yang merupakan bekas pengawal keselamatan
selesa merahsiakan keadaan dan lokasi rumahnya itu daripada pengetahuan
rakan-rakannya.
Bagaimanapun Abdul Jamal berkata, segalanya terbongkar
apabila rakan-rakan dari Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Rembau dan yang menetap di kampung
bersebelahan mengunjungi pondok kecilnya sebelum Ramadan lalu.
“Saya hanya buat kerja-kerja kampung dan ada kalanya
mengikut rakan-rakan GPMS melakukan khidmat sukarela. Kalau mahu menyertai persatuan belia, usia
saya sudah tidak layak dan saya hanya mampu menyumbang melalui tenaga saya
sahaja.
Menurutnya, pondok berkenaan telah didirikan sejak tahun
1992 berhampiran sisa rumah peninggalan kedua-dua ibu bapanya dan menjadi
lokasi bagi penagih yang ingin membuang ketagihan atau yang mengidap sakit yang
tidak boleh diubati melalui perubatan moden.
“Pada masa itu, tiga tahun juga saya menetap di pondok ini
bagi membantu mengubati kes-kes seperti ini.
Saya tidak pernah mengenakan bayaran kepada pesakit dan hanya menerima
apa yang diberi sahaja.
“Tak sampai hati saya nak kenakan bayaran, sudahlah yang
datang sakit, tergamak pula saya menetapkan bayaran buat mereka berubat dengan
saya,” katanya yang baru menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) tahun ini.
Jamal berkata, dia bukan tidak mahu menyewa rumah, namun dia
bimbang tidak mampu membayar sewa bulanan kerana tidak mempunyai pendapatan
tetap dan hanya menjual hasil hutan selain menoreh getah.
Bagi Yang Dipertua (YDP) GPMS Cawangan Rembau, Firdaus
Razali, 32, berkata, sejak mengenali Jamal, dia tidak pernah mengetahui lelaki
itu menetap di dalam pondok kerana tidak pernah diceritakan perihal tersebut
walaupun mereka sering bertemu setiap kaki bertugas sebagai sukarela GPMS.
Firdaus berkata, lebih memeranjatkan lagi apabila mengetahui
Jamal pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu
dan permohonan berkenaan tidak diluluskan kerana Jamal mempunyai rumah selain
masih sihat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Rembau, Zaidi Johari berkata,
pejabat daerah, unit pembangunan daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
sudah meninjau pondok kecil berkenaan, kelmarin.
"Pejabat daerah akan membantu apa yang mampu dan
setakat ini pihak kami telah menyalurkan bantuan wang tunai serta merta
sebanyak RM200 dan Jamal bakal menerima bantuan bulanan JKM.
“Sekiranya Jamal ingin memohon rumah di bawah Projek
Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Jamal perlu terlebih dahulu menyelesaikan
urusan kebenaran waris tanah untuk mendirikan rumah PPRT," katanya.