KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150724

Mereka yang tidak meminta-minta




'Syurga' di sebalik semak
24 Julai 2015

REMBAU – Siapa sangka, siapa menduga di sebalik semak dan laluan titi kecil menghubungkan kawasan kampung dan belukar di Kampung Ampang Batu, Chembong, di sini, rupa-rupanya 'syurga' berlindung seorang lelaki sejak dua tahun lalu.

Namun 'syurga' itu hanya sebuah pondok bersaiz 8x24 kaki yang menjadi tempat tinggal Abdul Jamal Jan, 53, meskipun tiada bekalan elektrik serta air bersih.

Malah, Abdul Jamal yang merupakan bekas pengawal keselamatan selesa merahsiakan keadaan dan lokasi rumahnya itu daripada pengetahuan rakan-rakannya.

Bagaimanapun Abdul Jamal berkata, segalanya terbongkar apabila  rakan-rakan dari Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Rembau dan yang menetap di kampung bersebelahan mengunjungi pondok kecilnya sebelum Ramadan lalu.

“Saya hanya buat kerja-kerja kampung dan ada kalanya mengikut rakan-rakan GPMS melakukan khidmat sukarela.  Kalau mahu menyertai persatuan belia, usia saya sudah tidak layak dan saya hanya mampu menyumbang melalui tenaga saya sahaja.

Menurutnya, pondok berkenaan telah didirikan sejak tahun 1992 berhampiran sisa rumah peninggalan kedua-dua ibu bapanya dan menjadi lokasi bagi penagih yang ingin membuang ketagihan atau yang mengidap sakit yang tidak boleh diubati melalui perubatan moden.
“Pada masa itu, tiga tahun juga saya menetap di pondok ini bagi membantu mengubati kes-kes seperti ini.  Saya tidak pernah mengenakan bayaran kepada pesakit dan hanya menerima apa yang diberi sahaja.

“Tak sampai hati saya nak kenakan bayaran, sudahlah yang datang sakit, tergamak pula saya menetapkan bayaran buat mereka berubat dengan saya,” katanya yang baru menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) tahun ini.

Jamal berkata, dia bukan tidak mahu menyewa rumah, namun dia bimbang tidak mampu membayar sewa bulanan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menjual hasil hutan selain menoreh getah.

Bagi Yang Dipertua (YDP) GPMS Cawangan Rembau, Firdaus Razali, 32, berkata, sejak mengenali Jamal, dia tidak pernah mengetahui lelaki itu menetap di dalam pondok kerana tidak pernah diceritakan perihal tersebut walaupun mereka sering bertemu setiap kaki bertugas sebagai sukarela GPMS.

Firdaus berkata, lebih memeranjatkan lagi apabila mengetahui Jamal pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu dan permohonan berkenaan tidak diluluskan kerana Jamal mempunyai rumah selain masih sihat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Rembau, Zaidi Johari berkata, pejabat daerah, unit pembangunan daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meninjau pondok kecil berkenaan, kelmarin.

"Pejabat daerah akan membantu apa yang mampu dan setakat ini pihak kami telah menyalurkan bantuan wang tunai serta merta sebanyak RM200 dan Jamal bakal menerima bantuan bulanan JKM.

“Sekiranya Jamal ingin memohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Jamal perlu terlebih dahulu menyelesaikan urusan kebenaran waris tanah untuk mendirikan rumah PPRT," katanya.

Tiada ulasan: