Kalau umur kita lebih panjang dari ibu
kita, dalam keadaan bagaimana kita ingin ibu kita meninggal dunia?
Arwah ayah saya tidak pernah menjangkakan bahawa ibu dia (nenek saya)
akan meninggal dalam keadaan yang begitu tenang, dalam keadaan nenek
saya sihat walafiat, masih boleh berjalan dan bercakap. Mengenang
kembali pemergian ayah saya dan nenek saya , ada kalanya saya merasa
sedih, ada kalanya saya merasa gembira. Sedih sebab mereka telah
tiada, gembira kerana mereka pergi dalam keadaan yang tidak pernah
sesiapa dapat bayangkan.
Ayah saya meninggal dunia akibat
serangan sakit jantung setelah lebih kurang seminggu dirawat di
Hospital Seremban. Ayah saya mengamanahkan kepada saya, apabila dia
meninggal dunia, kebumikan dia di Seremban. Saya pun membawa jenazah
ayah saya terus ke Surau Taman Alamanda, Senawang, surau yang sering
ayah saya berjemaah bersama saya.
Jenazah ayah saya diletakkan di saf
hadapan. Setelah beberapa seketika, emak saudara saya membawa nenek
(Wan) saya (emak ayah saya). Wan datang tidak berpapah, boleh
berjalan sendiri, cuma bertongkat. Pendengarannya memang dah lama tak
elok. Wan tidak diberitahu yang ayah sudah meninggal dunia.
Apabila sampai depan jenazah ayah saya,
kami suruh Wan duduk atas kerusi , menghadap jenazah ayah, menghadap
kiblat. Wan tanya siapa ni, ada yang menjawab , ini lah anak dia
Malakan. Wan kemudian menangis , kemudian Wan berkata, “Kau
tinggalkan mak Kan?” (Kan – gelaran manja ayah saya). Kemudian
Wan terdiam. Wan duduk tunduk, diam. Tidak lama kemudian, Wan macam
nak rebah.
Kami pun baringkan Wan, Wan tidak
menjawab, tapi masih bernyawa. Setelah dibaringkan , tidak berapa
lama kemudian Wan pun meninggal dunia di sisi anak dia.
Begitu mudah Wan pergi, tidak
menyusahkan sesiapa langsung, tidak menyusahkan anak-anak menjaga dia
sakit yang teruk, atau dirawat di hospital. Dan tidak ada anak-anak
yang mendoakan sebelum ini supaya Wan pergi dalam keadaan yang
sedemikian rupa.
Bagaimana pula keadaan ibu kita, atau
diri kita sendiri?
Semalam saya tanya Ustaz Zakaria Talib,
bagaimana jika ada anak-anak yang bukan sahaja tidak mahu menjaga ibu
bapa yang sihat, apatah lagi yang sakit, dan apatah lagi bukan
menjaga, menjenguk pun jarang sekali.
Ustaz Zakaria kata, kalau ada ibu-ibu
atau bapa-bapa yang terbiar, disisih anak dan sebagainya, Ustaz
Zakaria kata lakukan 3 perkara ;
Pertama, minta ibu atau bapa yang
mengalami nasib sebegini supaya kenang kembali, adakah mereka pernah
melakukan perkara yang serupa kepada ibu bapa mereka. Kalau ada,
suruh mereka bertaubat.
Kedua, anak-anak yang menjaga ibu bapa
yang pelbagai karenah, supaya bersabar.
Ketiga, beritahu kepada anak-anak yang
tidak balik, tidak mahu menjaga ibu bapa, tidak mahu menjenguk ibu
bapa, mereka dan pasangan mereka akan mengalami nasib yang serupa
kemudian hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan