KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130210

Yang Palestin dibantu, yang di Malaysia bagaimana?


Umat Islam semua adalah bersaudara. Manusia sejagat tak kiralah apa bangsa dan agama mereka adalah dari bapa yang sama iaitu Nabi Adam as. Baitul Maqdis adalah kiblat kita sebelum Mekah. Masjid Aqsa adalah masjid ke 3 tarafnya selepas Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi. Menjadi tanggungjawab semua umat Islam membantu saudara kita di Palestin.

Cuma kekadang saudara kita di Palestin lebih baik dari kita di Malaysia dalam beberapa aspek. Saudara kita di Palestin mempunyai peluang yang terbuka luas untuk mati syahid. Kita di Malaysia mempunyai peluang yang terbuka luas berlumba “haram”, ketagih dadah, seks bebas, judi dan sebagainya.

Kita di Malaysia sentiasa mendoakan umat Islam kita di Palestin agar mereka akan mencapai kemenangan. Saudara kita di Palestin pula mendoakan agar umat Islam di Malaysia agar senantiasa menghidupkan masjid-masjid di Malaysia dengan solat jemaah dan majlis ilmu.

Dalam kita sibuk membantu saudara kita di Palestin, Rohingya, Kampuchea, Filipina, kekadang kita terlupa tanggungjawab kita saudara kita dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar yang datang mencari pekerjaan di Malaysia.

Tiada usaha dakwah khusus untuk mereka di sini.

Rakan setugas saya tinggal dalam sebuah ladang milik konglomerat di Malaysia. Isterinya bekerja di ladang tersebut di bahagian pengurusan. Lepas solat di surau tempat kerja, saya tanya rakan saya, dalam ladang ada surau tak. Katanya ada. Siapa yang selalu datang surau. Majoriti pekerja ladang warga Indonesia, kerana tidak ramai warga tempatan dalam ladang tersebut.

Saya tanya ada tak kuliah ke, pengajian agama ke, ustaz dari Majlis Agama Islam datang? Katanya tak ada.

Di surau saya juga sering warga Bangladesh datang solat jemaah, terutama waktu subuh dan maghrib. Slot yang boleh mereka masuk ialah bila ada Jemaah Tabligh datang.

Kekadang kita marah dengan pendatang asing yang datang bawa pelbagai masalah. Tapi pernahkah kita terfikirkan apa usaha kita untuk sesama kita menguatkan iman kita?

Pernah tak mereka di JAKIM dan Majlis Agama terfikir untuk mewujudkan unit dakwah dan kebajikan khusus untuk pekerja asing yang beragama Islam?

Sebarkanlah kasih sayang yang ditunjukkan oleh kekasih kita Muhammad SAW.

Tiada ulasan: