KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130215

Masalah rumah dan tanah untuk Anak Rembau




Antara isu utama di Rembau ialah rumah dan tanah untuk anak tempatan di Rembau. Rumah teres setingkat 20 ka x 60 ka sekarang ini di Kundur sudah mencecah RM138,888 manakala rumah teres 2 tingkat di Rembau ialah RM250,000.

Rembau mempunyai tanah yang luas, tapi malang tanahnya terbiar, tidak dapat dimajukan untuk tapak perumahan anak tempatan Rembau.

Antara masalahnya ialah tanah terbiar ini adalah tanah adat.

Pengurusan tanah adat memerlukan pemerkasaan insitusi adat itu sendiri dengan menaikkan elaun Dato Lembaga Adat, meningkatkan ilmu pemegang adat, menambah kakitangan di mahkamah adat untuk menyelasaikan kes-kes pengagihan tanah adat dengan penggunaan sistem atas talian dan sebagainya.

Mungkin ramai yang tidak tahu tanah adat sebenarnya boleh diagihkan kepada mereka yang di luar suku dengan mengadakan acara berkedim. Berkedim ini mempunyai tiga taraf iaitu :
(i) Kedim adat dan pesaka (untuk membolehkan mewarisi harta pesaka atau membeli harta dalam suku yang disertainya)
(ii) Kedim adat pada lembaga (untuk tujuan persaudaraan)
(iii) Kedim Tarik (lazimnya untuk anak angkat yang dibawa menyertai suku ibu angkatnya).

Alternatif yang kedua untuk menyelesaikan masalah tapak perumahan untuk anak tempatan Rembau ialah kerajaan negeri membeli tanah-tanah adat ini dan dipecah lot seterusnya dijual kepada anak tempatan, dengan keutamaan diberikan kepada mereka dari suku asal tanah tersebut, kemudian kepada anak Rembau secara umumnya.

Sekiranya kerajaan boleh membeli daripada PKNNS tanah untuk tapak hospital Rembau pada harga RM958,320 seekar, takkan kerajaan tidak boleh membeli tanah untuk tujuan perumahan rakyat pada kadar R200,000 seekar untuk dijadikan kampung tersusun?

Ini adalah kerana mereka yang terlibat dengan pembinaan landasan keretapi berkembar di Rembau ini hanya diberi pampasan antara RM52,272 seekar ke RM121,968 seekar.

Seperkara lagi yang membebankan anak tempatan Rembau untuk mendirikan rumah di daerah ini ialah kos untuk meluluskan pelan oleh Majlis Daerah Rembau yang begitu tinggi, khabarnya hampir RM10,000.

Bayangkan jika seorang penoreh getah ingin mendirikan rumah pada harga RM50,000 , kos untuk kelulusan pelannya hampir RM10,000.

Justeru itu untuk merancakkan lagi ekonomi di daerah Rembau ini pengurusan tanah adat dengan pemerkasaan institusi adat serta kerjasama pihak berkuasa tempatan terutamanya Majlis Daerah Rembau dengan mengurangkan kos kelulusan pelan rumah adalah amat diperlukan.

Kalau calon Umno di DUN Kota dan DUN Chembong ingin mengambil pandangan ini untuk dilaksanakan, terpulanglah. Asalkan yang untung ialah anak tempatan Rembau, para pengundi di DUN Kota dan di DUN Chembong.

Atau kalau hendak, kita duduk semeja bincang bagaimana untuk menyelasaikan masalah ini pun boleh.

Tak perlulah kita bincang isu kalimah Allah, yang itu biar para ulama yang berbeda pandangan yang bincang.

Kita bincang isu ini, untuk manafaat kampung kita, waghih kito.

Tiada ulasan: