Baru-baru ini Balai Polis Bandar Baru
Senawang telah mengadakan pertemuan dengan semua pengerusi surau dan
masjid sekitar Senawang untuk membincangkan masalah keselamatan di
surau dan masjid masing-masing.
Menurut pengerusi surau tempat saya,
katanya banyak perkara yang dibangkitkan ialah masalah taman, bukan
masalah surau.
Ada wakil satu surau membangkitkan
masalah penganut Hindu di kuil berhampiran perumahan sembahyang
sampai lewat malam dan tidak senang dengan bunyi bising apabila
penganut Hindu ini sedang bersembahyang.
Pengerusi taman saya kata dalam
pertemuan tersebut, kita pun ada salahnya. Kita orang Melayu kalau
buat kenduri kahwin , kalau yang ada buat karaoke tu, buat bising
juga sampai ke lewat malam.
Tadi saya kata pada pengerusi surau
saya, buat apa nak sibuk dengan kuil Hindu, surau kita, masjid kita
yang sepatutnya buat program setiap malam, kuliah ilmu, ceramah,
qiamulail, qasidah, berzanji dan sebagainya.
Tengok saja Masjid Tuanku Jaafar, di
Taman Tuanku Jaafar dekat Sg Gadut tu, kalau lepas isya lalu dalam
pukul 9.30 dah gelap masjid, bukan setakat pintu masjid tutup, dengan
pagar-pagarnya sekali di tutup, tak pastilah kunci ke tidak.
Pengerusi surau saya kata, surau tempat
kami tak pernah berkunci, sebab laluan orang ramai. Alhamdulillah
setakat ini tak ada perkara serius berlaku setakat budak-budak main
dalam surau, hisap rokok dalam tandas surau. Curi duit surau memang
tak pernah berlaku, sebab tak ada tabung surau. Yang peliknya bil
elektrik surau kami tiap-tiap bulan negatif, bulan lepas negatif
RM300 lebih, entah siapa bayar , tak tahulah.
Yang buat masalah di surau dan masjid
kita, orang Melayu sendiri, orang Islam sendiri, bukannya orang
Hindu.
Ada yang datang masjid semata untuk
kencing pun orang kita, ada yang datang masjid semata nak tukar
lampin anak pun orang kita, ada yang datang masjid buang puntung
rokok merata-rata pun orang kita, ada yang menconteng pintu tandas
masjid pun orang kita, yang mencuri tabung masjid pun orang kita.
Nampaknya terlalu banyak usaha yang
perlu dilakukan oleh kita semua bagaimana orang kita ini perlu
menghormati masjid, kerana ianya sebahagian daripada mengagungkan dan
memelihara kesucian kalimah ALLAH.
1 ulasan:
Memelihara sahaja tidak memadai. Perkara yang lebih penting ialah umat Islam itu faham tentang ajaran Islam, menghayati, mengamalkan serta membudayakan ajaran Islam itu dalam kehidupan seharian mereka. Mereka mesti faham juga peranan dan fungsi masjid/surau itu. Contoh; Ramai orang Islam yang marah orang bukan Islam menggunakan Kalimah ALLAH tetapi sejauh manakah orang Islam itu sendiri yang mematuhi perintah Allah.....? Benar, memang patut kita marah, tapi marah itu juga patut diterjemahkan dalam bentuk kepatuhan kita kepada perintah dan suruhanNYA jua. Marilah bersama-sama kita mengubahnya sedikit demi sedikit setakat yang kita mampu.
Catat Ulasan