KHUTBAH JUMAAT : “WAWASAN SIDRATUL
MUNTAHA”
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat
dan pada bulan Rejab yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya
dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita mengukuhkan
ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dan keluarga kita berjaya menjadi
insan soleh serta mendapat perlindungan Allah SWT di dunia dan di
akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk:
“WAWASAN SIDRATUL MUNTAHA”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Kini kita berada dipenghujung bulan
Rejab, mengingatkan kita satu mukjizat teragong iaitu peristiwa Isra’
Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum Nabi Muhammad SAW
berhijrah ke Madinah. Dalam peristiwa ini, atas kekuasaan dan
kehendak Allah SWT, Nabi Muhammad SAW diiringi malaikat Jibril
diperjalankan pada waktu malam hari, berangkat dari masjidil Haram di
Makkah menuju ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqadis di Palestin dan
kemudiannya diangkat mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha. Kalau
mengikut perkiraan moden hari ini, peristiwa ini berlaku dalam tempoh
satu malam iaitu kira-kira 12 jam.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’
ayat 1:
Bermaksud: “ Maha Suci Allah yang
telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke
Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan
kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui“.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Tugas utama Nabi Muhammad SAW dan Rasul
adalah untuk membina diri manusia supaya berakhlak mulia dan beramal
soleh. Pembangunan diri manusia, pembangunan insan adalah menjadi
tonggak segala pembangunan yang lain. Persoalan besar timbul ialah
bagaimanakah manusia itu boleh membangunkan akhlak yang mulia?.
Inilah yang perlu difahami dan dipelajari dalam peristiwa
Isra’-Mikraj . Dalam peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW
telah dibawa untuk melihat projek dan program Allah samada yang nyata
atau ghaib yang terdapat di bumi dan di tujuh lapis langit serta di
Sidratul Muntaha. Bagaimana pun projek terbesar dalam mukjizat ini
ialah program Nabi Muhammad SAW mengadap Allah SWT di Sidratul
Muntaha.
Sekali lagi timbul persoalan apakah
hakikat Sidratul Muntaha ini?. Tidak banyak dalil yang menjelaskan
tentang hakikat Sidratul Muntaha. Bagaimanapun menurut sebahagian
ulama’, Sidratul Muntaha ini ialah satu planet lain iaitu berada
di atas langit ketujuh yang berdekatan dengan syurga. Malaikat dan
manusia pun tidak boleh memasuki ke Sidratul Muntaha kecuali Nabi
Muhammad SAW.
Dalam peristiwa Isra’ Mikraj ini
malaikat Jibril mengiringi Nabi Muhammad SAW hingga ke langit ketujuh
sahaja dan baginda bersendirian naik ke Sidratul Muntaha mengadap
Allah SWT. Tujuh lapis langit yang sering disebut dalam al-Quran
bukanlah lapisan awan biru yang menutupi di atas bumi kita ini.
Menurut ulama’ lapisan tujuh langit itu adalah merujuk kepada
lapisan yang merangkumi cakerawala, bintang-bintang, planet-planet
dan kumpulan-kumpulan gas yang berada di angkasa lepas.
Di Sidratul Muntaha ini Rasulullah
dapat melihat wajah asli malaikat Jibril yang mempunyai 600 sayap dan
melihat Allah SWT. Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir,
menyatakan Nabi Muhammad melihat Allah secara mata hati dan menerima
perintah melaksanakan program solat fardhu 5 waktu sehari semalam
secara terus dari Allah SWT. Sebelum ini solat fardhu hanya 2 kali
sehari semalam iaitu Subuh dan Maghrib atau Isya’. Inilah rahsia
terbesar Allah SWT memanggil mengadap Rasulullah SAW di Sidratul
Muntaha. Manakala perintah melakukan ibadah-ibadah wajib yang lain
disampaikan Allah melalui malaikat Jibril.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Berdasarkan projek Allah di Sidratul
Muntaha ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah program mega
atau program raksaksa yang Allah fardhukan kepada umat Islam. Solat
fardhu menjadi program mega kerana ia menjadi ibu segala amal ibadah,
wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi tonggak
kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan azab
kubur. Selain itu kualiti solat ini juga akan menentukan kualiti
pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.
Terdapat perkaitan yang kuat bahawa
jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain
pun mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka
amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran
kepada seseorang itu. Firman Allah dalam surah al-Ankabut Ayat 45 :
Maksudnya :“ Sesungguhnya solat itu
mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya
mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan
(ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” .
Jika solat itu dibuat secara lalai maka
ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap
kelakuan seseorang. Firman Allah dalam surah al-Maa’un, ayat 5:
Maksudnya: ” Maka kecelakaan besar
bagi orang yang solat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada
menyempurnakan solatnya.”
Apa yang dimaksudkan lalai di sini
ialah, mereka yang melakukan solat tidak menyedari bilangan
rakaatnya, malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana
mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak
merasai nikmat melakukan solat di awal waktu. Memandangkan solat ini
adalah projek mega, maka pelaksanaan solat hendaklah dilaksanakan
secara khusuk mengikut peraturan tertentu. Solat yang hakiki akan
melindungi seseorang daripada melakukan perbuatan berdosa. Solat yang
hakiki adalah solat yang dilakukan secara khusyuk.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Walaupun kita tidak dapat bertemu
dengan Allah SWT seperti yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW tetapi
berdasarkan wawasan Sidratul Muntaha ini kita dapat bertemu dan
berhadapan dengan Allah SWT di dalam solat dengan syarat, pertama:
hati kita sepenuhnya mengingati Allah dengan menghindari dari
penyakit syahwat atau bisikan duniawi kedua: hati kita sentiasa
mengagungkan Allah SWT dan merasa Allah sentiasa melihat diri kita
dan ketiga: hati kita sentiasa meresapi makna-makna ayat al-Quran
yang di baca dalam solat.
Menurut Imam Ghazali, antara amalan
untuk membentuk solat yang khusyuk ialah, memastikan sumber rezeki
itu adalah halal, mendirikan solat seolah-olah akan menghadapi
kematian besok, mendirikan solat pada awal waktu, memahami pengertian
bacaan dalam solat, mengambil wudhu’ dengan sempurna dan pakaian
bersih, serta memiliki sifat malu kepada Allah SWT jika perlaksanaan
solat itu tidak sempurna.
Berdasarkan pemerhatian mimbar, akhlak
yang kurang baik yang dideritai oleh segolongan umat Islam kini
berpunca daripada solatnya tidak khusyuk menyebabkan mereka masih
melakukan perbuatan keji. Mereka ini melakukan solat tetapi masih
juga melakukan perbuatan berdosa.
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,
Serangan gejala sosial dalam pelbagai
bentuk di negara ini menyebabkan kita kadangkala hilang pedoman untuk
mengatasinya. Mimbar amat yakin pelaksanaan solat yang khusyuk
berupaya menjadi benteng, mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak
anak-anak kita dalam menghadapi serangan gejala sosial ini. Oleh itu
sempena memperingati peristiwa Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang
besar ini, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian,
marilah kita melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk dan sempurna
agar ia mampu membangunkan anak-anak dan keluarga kita menjadi insan
yang soleh selari dengan wawasan Sidratul Muntaha.
Sebagai renungan bagi menilai kualiti
solat kita, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam
surah an-Nisaa’, ayat 142:
Maksudnya : ” Sesungguhnya orang
munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah, dan Allah pula tetap
membalas tipu daya mereka. Mereka pula apabila berdiri hendak solat,
mereka berdiri dengan malas. Mereka riak kepada manusia, dan mereka
pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali.”.
Sumber :
2 ulasan:
sangat baik
saya mohon adaptasi khutbah dari ybhg ust.
hasan hamad ump
sanagt baik
Catat Ulasan