Jam 11.59 malam ini tamatlah tempoh
berkempen untuk PRU-13. Esok seawal 8 pagi kita akan mula mengundi.
Mari kita renung kembali apa yang kita telah lakukan sepanjang tempoh
berkempen ini, berapa banyak amalan baik kita telah lakukan, berapa
banyak dosa kita telah lakukan. Pasti banyak, tidak kiralah kita
orang Islam yang menyokong PAS, PKR atau UMNO.
Saya dimaklumkan oleh petugas PAS di
DUN Kota dalam Parlimen Rembau, sepanjang mereka pergi solat
berjemaah bersama calon PAS, masjid-masjid di Rembau ini boleh
dikatakan amat suram semasa solat jemaah 5 waktu. Ada satu waktu,
ketika jentera Pakatan Rakyat berkempen di Lubok China, Rembau,
mereka singgah solat Zuhur atau Asar di Masjid Kariah Sg Timun.
Walaupun waktu sudah masuk namun tiada Imam setempat yang hadir.
Akhirnya salah seorang veteran PAS, Hj
Harun mengimamkan solat jemaah di masjid tersebut.
Paling menyedihkan ialah solat Subuh,
calon PAS, Hj Ghazali Mohd Shom yang sering solat subuh di beberapa
masjid mengatakan tidak ramai yang hadir solat subuh.
Tidak kiralah siapa yang menang di DUN
Kota, Parlimen Rembau nanti. Yang pasti , wakil rakyat yang menang
ialah beragama Islam. Satu usaha harus dilakukan mulai sekarang
sehinggalah menjawat wakil rakyat nanti, bagaimana untuk menarik
pengundi-pengundi Islam di DUN Kota ini untuk berjemaah di masjid,
terutama sekali orang Islam lelaki. Tidak kiralah pengundi tadi
penyokong PAS, PKR dan UMNO.
Saya harapkan juga teman-teman saya
dalam ISMA yang sibuk berkempen di Seremban, turunlah di
kampung-kampung selepas ini, bukan sahaja di Rembau malahan di Kuala
Pilah, Pasoh, Gemencheh dan di kawasan Felda.
Apa guna kita menang sorak, iman
tergadai, masjid-masjid mati.
Tulisan saya sebelum ini mengenai
masjid-masjid yang mati di Rembau di
http://waghih.blogspot.com/2011/03/masjid-masjid-yang-mati-di-nsembilan.html
Senarai masjid-masjid kariah dalam DUN
Kota di
http://pas-n28-kota.blogspot.com/2013/04/calon-pas-dun-kota-ajak-umat-islam.html
Kempen “Solat Didahulukan, Allah
Diutamakan” oleh PAS DUN Kota di
http://pas-n28-kota.blogspot.com/2013/05/solat-didahulukan-allah-diutamakan.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan