KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130531

Beri hutang lebih baik dari beri sedekah


Begitu banyak perkara baru yang dipelajari malam tadi semasa Majlis Ceramah sempena Israk Mikraj di Masjid Bandar Baru Senawang yang disampaikan oleh Sheikh Haji Baba Abdul Karim bin Haji Isa Al Fatoni, seorang ulama yang berasal dari Patani, Thailand akan tetapi telah berkhidmat di mahkamah Arab Saudi selama lebih 20 tahun. Pertama kali saya mendengar ceramah Sheikh Baba.

Sheikh Baba pun merupakan anak murid kepada beberapa ulama terkenal yang masih lagi mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Sheikh Baba amat sayang untuk meninggalkan Mekah kerana telah lama berkhidmat dan beribadah di sana. Akan tetapi atas arahan Tok Gurunya yang memerintahkan untuk beliau pulang ke Nusantara untuk mengajar kepada umat Islam di sini, maka beliau dengar dan taat akan arahan Tok Guru beliau.

Malam tadi beliau mengupas kitab Sheikh Daud Fatoni, beliau menceritakan dengan panjang lebar mengenai salasilah Sheikh Daud Fatoni hinggalah ke Saidina Husin ra., Saiditina Fatimah rah. dan Nabi Muhammad saw. Kaitannya juga dengan Raja Fatoni, Raja Champa dan Sunan Ampel.

Begitu banyak ilmu-ilmu kitab lama yang baru tahu orang jemaah yang hadir termasuk diri saya sendiri, terlalu banyak.

Antaranya ialah Sheikh Baba mengatakan memberi hutang kepada orang yang memerlukan adalah lebih baik dari memberi sedekah. Jika kita memberi sedekah kita akan diberi 10 ganjaran, akan tetapi jika kita memberi hutang kita akan diberi 18 ganjaran. Ini adalah kerana mereka yang memang dalam kesempitan memerlukan hutang untuk melepaskan kesempitan tersebut, akan tetapi jika kita memberi sedekah adakalanya keperluannya tidaklah dalam keadaan yang amat memerlukan.

Terlalu banyak ilmu yang saya pelajari semalam, yang tidak boleh saya sampaikan di sini kerana bimbang disalah tafsir.

Kepada mereka yang ingin menadah ilmu dengan Sheikh Baba bolehlah ke Masjid Negeri, Seremban pada hari Sabtu 1 Jun 2013 selepas Maghrib, beliau akan menyambung kitab kisah Israk Mikraj yang dah sampai di langit ke tujuh.

Cubalah pergi, barulah kita tahu betapa cetek, terlalu cetek, teramat cetek, ilmu dan amalan yang ada pada kita sekarang ini. Betapa banyaknya kita melakukan dosa dan betapa kurangnya kita beramal ibadat.

Tiada ulasan: