Kepada mereka yang ingin membantu
keluarga ini yang amat memerlukan sokongan kita semua, sila hubungi
terus Puan Noor Hasni 017-227 0940.
Derita ketumbuhan dalam otak
Seremban: “Sepatutnya kakak (anak)
sudah boleh bersekolah dan bermain. Tetapi, akibat penyakit kanser,
dia hanya mampu terlantar di katil,” kata suri rumah, Noor Hasni
Hasan, 28, ibu kepada seorang kanak-kanak, Dania Alani Mohd Amry, 7,
yang mengidap penyakit kanser medulloblastoma dan hidrosefalus.
Noor Hasni ditemui di rumahnya di
Kampung Batu 3, Mambau, di sini, semalam, begitu sedih apabila
anaknya itu kini tidak mampu berjalan berikutan mengalami ketumbuhan
dalam otak dan kepala berair sejak Mei tahun lalu.
Menurut Noor Hasni, kedua-dua penyakit
itu dikesan Mac tahun lalu apabila Dania Alani yang ditempatkan di
rumah pengasuh dilihat lemah dan berjalan dalam keadaan
terhincut-hincut.
Noor Hasni berkata, pada mulanya dia
menyangka anak sulung daripada empat beradik itu cuba menarik
perhatian apabila menunjukkan perubahan sikap.
“Sehinggalah pengasuh memaklumkan
anak sukar untuk bangun dan sering menangis, saya membawanya ke
Klinik Kesihatan Seremban, di sini pada Mac tahun lalu sebelum
dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS),” katanya.
Menurutnya, anaknya itu kemudian
dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor memaklumkan
Dania Alani mengalami ketumbuhan dalam otak serta kepala berair.
“Selepas pemeriksaan dibuat pada Mei
tahun lalu, dia tidak lagi dapat berjalan. Saya begitu sedih melihat
keadaannya, apa lagi dia sepatutnya sudah memasuki tahun satu,”
katanya yang terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di
sebuah pasar raya di daerah ini.
Menurutnya, Dania Alani juga tidak
boleh makan seperti biasa dan hanya minum susu menggunakan tiub
melalui hidung selain memakai lampin pakai buang.
Masalah mereka bertambah parah
berikutan suaminya, Mohd Amry Abd Halim, 32 yang bekerja di bengkel
kimpalan besi berpendapatan RM1,700 sebulan.
Katanya, dengan pendapatan tidak
seberapa itu, suaminya terpaksa memperuntukkan RM1,200 sebulan untuk
membeli lampin dan susu khas buat anaknya itu, sedangkan mereka perlu
menanggung tiga lagi anak iaitu Muhammad Aqil Lotfi, 5, Muhammad
Dhiyauddin Rayyan, 3, dan Nur Delilah Aisyahyang, 10 bulan.
“Setiap hari Dania Alani minum susu
sebanyak lapan kali iaitu 400 gram dan menggunakan tiga lampin. Kami
runsing memikirkan mencari pendapatan lebihan,” katanya yang
tertekan kerana doktor memaklumkan tidak tahu punca sebenar penyakit
itu selain tiada rawatan.
Katanya, dia mengharapkan orang ramai
yang bersimpati untuk membantunya dengan menghubungi menerusi talian
017-227 0940.
18 Disember 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan