14 Dis 2014 - RUMAH kontena dilihat boleh menjadi alternatif
kepada pemilikan rumah lebih murah, praktikal dan efisien. Pada usia 25 tahun,
Muhamad Azree Abdul Rahim boleh berbangga dengan diri sendiri kerana mempunyai
tanah dan rumah sendiri. Terletak di Kampung Sijangkang, Hulu Langat,
Selangor, rumah itu mempunyai ruang tamu yang bercantum dengan bilik tidur,
dapur serta tandas yang dilengkapi dengan pancuran mandian.
Uniknya, rumah Muhamad Azree bukanlah dibina daripada
batu-bata atau papan, sebaliknya jejaka yang berasal dari Kluang, Johor itu
berfikir di luar kotak dengan memilih kontena sebagai kediamannya.
“Sebelum ini, saya menyewa sebuah bilik di sebuah rumah
teres di Seksyen 35, Shah Alam dengan kadar sewa sebanyak RM300 sebulan.
Bagaimanapun, selepas enam bulan menduduki rumah tersebut, saya rasa tidak
berbaloi.
“Berdasarkan pengiraan yang dibuat, saya terpaksa
membelanjakan RM18,000 untuk sewa bilik itu selama lima tahun. Ia dilihat tidak
mendatangkan apa-apa keuntungan kepada saya.
“Dari situ, saya terfikir untuk mencari jalan alternatif
bagi menyelesaikan permasalahan tersebut dan menyedari ia mampu direalisasikan
menerusi rumah daripada kontena,” katanya yang berkhidmat sebagai jurutera
perisian di sebuah syarikat farmasi di Shah Alam.
Bagi menjayakan impiannya untuk memiliki rumah sendiri,
Azree membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 dengan tempoh bayaran balik
kepada bank dalam masa lima tahun.
Melalui peruntukan itu, dia memulakan projek berkenaan
sekitar November lalu dengan membeli sebidang tanah lot berkeluasan 2,400 meter
persegi di Kampung Sijangkang pada harga RM35,900.
Anak kelima daripada enam adik-beradik itu kemudiannya
membeli sebuah kontena kargo bersaiz 14.8 meter persegi.
Tambah pemegang Diploma Teknologi Maklumat Universiti
Infrastruktur Kuala Lumpur itu, dia turut membelanjakan kira-kira RM5,000 untuk
kerja-kerja pengubahsuaian antaranya mengecat, pemasangan panel pintu dan
tingkap, pemasangan paip serta pendawaian elektrik.
Biarpun belum 100 peratus siap, Azree berpendapat projek
rumah kontena itu bukan sekadar perniagaan, malah satu pergerakan untuk orang
ramai khususnya golongan muda memiliki rumah sendiri dan keluar daripada
belenggu hutang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan