KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20141216

Rumah Kontena, kediaman untuk mereka yang berpendapatan rendah




16 Disember 2014 JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal bersama enam anaknya terpaksa menumpang teduh di dalam kontena di Taman Perindustrian Berjaya Seelong, di sini kerana mengalami kesempitan hidup selepas kematian suami sejak setahun lalu.

Suryati Semaohoon, 44, berkata, meskipun pada mulanya anak-anak memberontak kerana terlalu sesak dalam kontena berkenaan, namun masing-masing mulai faham dengan keadaan sebenar keluarga mereka.

Menurutnya, kehilangan suami yang menghidap kanser paru-paru Disember tahun lalu benar-benar dirasai sehingga rumah yang disewa sebanyak RM400 sebulan di Kempas tidak mampu lagi ditanggung.

“Saya merayu kepada bekas majikan suami untuk menumpang teduh di kontena kerana tidak mampu lagi membayar rumah sewa dalam keadaan lima anak yang masih bersekolah.

“Pada mulanya memang kurang selesa kerana apabila cuaca panas terik memang bahangnya terlalu panas dalam keadaan dinding kontena dikelilingi zink.

“Tapi saya bersyukur kerana tak perlu bayar sewa dan menampung kos api dan air dalam keadaan kesukaran mendapatkan rumah sewa di bawah RM300 sebulan,” katanya ketika dibawa berbelanja kelengkapan sekolah di Pasaraya Econsave, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud dan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Menurutnya, kelengkapan sekolah anak-anak pada tahun ini tidak dapat disediakan memandangkan hanya mengharapkan bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM300 dan hasil menjahit baju serta jualan kerepek.

Tiada ulasan: