KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20141205

Tempoh sebulan cari wang tampung kos bedah



Semoga ada pihak yang membantu, terutama ahli kariah Masjid Taman Marida dan sekitarnya


Tempoh sebulan cari wang tampung kos bedah
4 Disember 2014

SEREMBAN - Seorang pelajar sebuah sekolah di Senawang, di sini tidak menyangka keadaan jantungnya yang sering berdegup kencang sejak setahun lalu, merupakan petanda dia menghidap jantung berlubang.

Nur Suzana Zainal Abidin, 15, berkata, penyakitnya itu dikesan 3 November lalu selepas melakukan pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini.

“Ketika itu saya sakit perut dan perlu membuat pembedahan kerana apendiks. Ketika pemeriksaan, doktor mengesan saya menghidap sakit jantung dan meminta saya merujuk kepada Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Pelajar tingkatan tiga itu berkata, dia seperti putus harapan apabila mengetahui penyakit dihadapinya.

“Saya tak sangka jantung berdegup laju sebelum ini rupa-rupanya saya sakit jantung. Saya ingat selama ini saya ada asma saja. Rasa seperti tiada harapan bila dapat tahu.

"Tetapi bila doktor cakap penyakit saya ini boleh dirawat, saya kembali bersemangat dan sentiasa berdoa supaya saya sembuh,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Sementara itu, bapanya, Zainal Abidin Sidek, 51, berkata, dia dan isteri, Sabariah Ismail, 46, runsing memikirkan kos pembedahan anaknya yang mencecah RM25,000.

Lebih membimbangkan, katanya, dia mempunyai tempoh sebulan untuk mencari wang sebanyak itu memandangkan anaknya itu dijadualkan akan dibedah pada 7 Januari depan.

“Mana saya nak cari duit sebanyak itu. Saya tidak boleh bekerja dan bergantung gaji isteri sebagai operator kilang sebanyak RM1,000 sebulan.

“Gaji isteri pun cukup-cukup untuk tampung perbelanjaan kami sekeluarga, malah kami terpaksa berjimat cermat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Pangsa Senawang Jaya, di sini.

Zainal Abidin yang menghidap penyakit sawan itu bagaimanapun berkata, dia menerima bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM200.

“Saya tak mampu menanggung kos pembedahan ini. Kalau RM5,000 pun, saya masih tak mampu. Saya buntu fikirkan mana saya mahu cari duit sebanyak itu. Saya mahu anak saya sihat tetapi kos pembedahan buatkan saya tak tidur lena,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun 0511-2410-0004-2717 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Zainal Abidin Sidek.

Tiada ulasan: