KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20140824

Boleh tak tabung masjid diguna untuk urus remaja hamil luar nikah?

Bulan ini saja 2 kes remaja hamil luar nikah diajukan kepada saya. 1 dari DUN Kota di Rembau, dan yang terkini ialah di DUN Chembong, juga di Rembau. Kita di Malaysia mempunyai masalah yang amat serius kes remaja hamil luar nikah ini. Kalau di Rembau semakin kerap kes sebegini dilaporkan apatah lagi di bandar-bandar.

Masyarakat dan media amat marah apabila janin atau bayi dibuang di merata-rata tempat, tetapi tidak memberi perhatian bagaimana untuk menguruskan remaja hamil luar nikah ini, dan apa tindakan drastik perlu diambil untuk menangani kes zina yang semakin berleluasa ini.

Bukan mudah untuk menguruskan kes remaja hamil luar nikah di kawasan kampung seperti Rembau ini. Lebih-lebih lagi jika remaja tadi datang dari keluarga miskin, ayah bekerja kampung atau buruh kasar, ibu pula tidak bekerja kerana menjadi suri rumah sepenuh masa menjaga anak-anak yang lain, tinggal pula di kawasan perumahan kos rendah.

Di Negeri Sembilan tiada lagi rumah perlindungan remaja hamil luar nikah ini. Yang terdekat ialah di Pusat Puteri di Cheras. Untuk dihantar ke sana perlu dijalankan pemeriksaan kesihatan, perbelanjaan pengangkutan dan banyak lagi urusan lain.

Yang menguruskan kes sebegini secara sukarela ialah seorang aktivis masyarakat di Rembau. Kepada mereka yang ingin membantu aktivis masyarakat ini sila Whatsapp kepada saya 0122267406 agar mereka yang prihatin boleh berurusan terus dengan aktivis masyarakat ini.

Persoalan saya, boleh tak tabung masjid digunakan untuk menguruskan kes sebegini, apatah lagi keluarga remaja tadi adalah ahli kariah masjid tersebut? Janganlah kita sibuk untuk menentukan siapa boleh jadi imam, siapa tak patut jadi imam, sedangkan ramai ahli kariah di masjid tersebut dahagakan kasih sayang, nasihat, kaunseling dan sebagainya.

Tiada ulasan: