Rumah pusaka musnah terbakar
30 Jun 2015
REMBAU – Mangsa,
Rosli Mohamad, 40 berkata, rumah pusaka berusia lebih 50 tahun yang musnah 100
peratus itu mengakibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM20,000.
"Semua barangan, dokumen penting termasuk wang tunai
RM200 yang disimpan sedikit demi sedikit bagi persiapan membeli baju raya
anak-anak musnah terbakar. Malah, hadiah perkahwinan mereka suami isteri
berusia lebih 10 tahun lalu berupa set pinggan mangkuk yang masih belum
digunakan juga hangus.
“Saya tidak pernah guna hadiah berkenaan kerana kami suami
isteri menunggu hari istimewa untuk menggunakannya. Cadangnya raya tahun ini, kami mahu
menggunakan set pinggan mangkuk berkenaan bagi menghidangkan juadah hari raya
buat tetamu yang datang," katanya.
"Sebelum ini saya tinggal di Melaka bersama isteri dan
tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun tetapi awal tahun lalu, saya nekad
untuk pulang dan menetap di kampung halaman.
"Bagaimanapun, sepanjang bulan Ramadan ini, saya
tinggal di rumah bapa saudara saya bagi memudahkan urusan membantu kakak sepupu
yang berniaga di Pasar Ramadan Pekan Rembau," katanya.
Rosli yang berniaga air kelapa secara kecil-kecilan berkata,
petang kelmarin isterinya balik ke rumah itu untuk memberi makan kucing dan
keluar selepas memastikan setiap
peralatan elektrik kecuali peti ais ditutup suis.