KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150614

Status Hospital Rembau


Atas permintaan penduduk, Pemuda PAS Rembau cuba menyiasat status pembinaan Hospital Rembau yang telah dimulakan dari 9 September 2013 dan dijangka siap pada 8 September 2016. Dari tinjauan kami di tapak projek, hanya kelihatan beberapa blok bangunan, tapak konkrit bercerucuk serta sebilangan kecil jentera yang tidak bergerak. Apakah punca sebenar Hospital Rembau lewat disiapkan?

Daripada papan tanda yang dipaparkan di hadapan tapak projek, SEIE Engineering Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor utama. Kami terus membuat semakan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM). Kami mendapat tahu syarikat tersebut dan pengarah-pengarahnya telah dibicarakan di Mahkamah Kemaman dan disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 165 (4) Akta Syarikat 1965 kerana tidak menyerahkan Penyata Tahunan bagi tahun 2012, 2013 & 2014 kepada SSM.

Syarikat yang berpengkalan di Kemaman, Terengganu itu bermula dari syarikat pemasangan sistem elektrik untuk projek infrastruktur awam dan kontraktor sistem elektrik dan instrumen projek minyak dan gas. Hasil dari carian maklumat tender JKR, kami mendapati pengalaman syarikat dalam membina bangunan hospital hanya terhad kepada pembinaan Klinik Kesihatan Bahau dan Klinik Kesihatan Tanjung Kling, Melaka yang kedua-duanya bernilai RM 21.5 juta.

Yang menjadi persoalan kepada kami bagaimana kerajaan boleh terlepas pandang dengan latar belakang syarikat yang kurang berpengalaman dalam industri kesihatan malah gagal dalam disiplin kewangan? Jawapannya mungkin ada pada Menteri Kesihatan, Menteri Besar atau mungkin pada Pengarah syarikat, Shahabudin bin Maideen. Beliau pernah dilantik sebagai AJK UMNO Bahagian Kemaman.

Kami mohon YAB Menteri Besar perjelaskan status terkini Hospital Rembau, dan apakah usaha kerajaan untuk mempercepatkan urusan pembinaannya. Diharap urusan pesakit-pesakit di daerah Rembau dari kalangan warga tua, wanita, lelaki dan kanak-kanak dipermudahkan. Tidak perlu lagi ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban yang padat atau berulang ke Hospital Tampin.

Kami masih menanti. Mereka juga menanti.

Tiada ulasan: