KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150618

Adakah ADUN ini sekadar inginkan publisiti, atau ada maksud lain?




Tiga kali projek sekolah agama tertangguh
Wartawan Sinar Harian
18 Jun 2015

BATU PAHAT - Penduduk sekitar Yong Peng mengharapkan Sekolah Agama (SA) Taman Kota dapat disiapkan segera setelah didakwa beberapa kali tertangguh.

Penduduk, Saait Yassin, 67, berkata, walaupun ada khabar menyatakan pembinaan sekolah berkenaan akan disambung, sebagai penduduk setempat mereka tidak mengetahui status sebenar sekolah berkenaan.

“Penduduk di sini mahu mengetahui keadaan dan status sekolah berkenaan, sama ada ia dapat disiapkan dalam masa terdekat atau sebaliknya. Dalam pemerhatian kami tiada tanda menunjukkan sekolah terbabit akan disiapkan dalam masa terdekat.

“Ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah kira-kira tujuh kilometer dari Yong Peng ini, di Jalan Ayer Hitam dan sebuah lagi di Jalan Muar,” katanya.

Katanya lagi, lebih malang, dua sekolah berkenaan terpaksa menampung pelajar agak ramai hingga menyukarkan sesi pembelajaran.

Dalam pada itu, Adun Yong Peng, Chew Peck Choo berkata, dia maklum dengan masalah berkenaan dan telah membawanya ke pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

Katanya, dia turut mengharapkan sekolah yang tertangguh sebanyak tiga kali itu siap secepat mungkin kerana keadaan mendesak.

“Kali pertama sekolah ini perlu disiapkan pada Oktober 2012, namun tertangguh dan dikatakan siap Disember 2012, tetapi tertangguh sekali lagi.

“Sekali lagi, setelah tertangguh tiga tahun sekolah ini dijangka siap Mac 2015, namun sehingga kini tiada tanda ia siap.

“Saya harap isu ini dapat digerakkan dan sekolah yang sepatutnya siap tiga tahun lalu disiapkan dan digunakan dalam masa sepatutnya,” katanya.

Tiada ulasan: