8 Januari 2015 - Paras air Empangan Gemencheh, Tampin berada
di tahap kritikal dan hanya mampu bertahan sehingga 120 hari sahaja. Menteri
Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun hujan lebat di beberapa
daerah negeri ini, selain kejadian banjir di pantai timur, namun tiada sebarang
taburan hujan berlaku di empangan tersebut.
“Taburan hujan sedia ada tidak memberikan julat bacaan yang
tinggi ke dalam kawasan tadahan Empangan Gemencheh. Malah, paras air di
empangan tersebut dianggap kritikal sebab tiada air mencukupi.
“Paras air yang ada sekarang ini tidak mampu menampung
permintaan sedia ada, di mana ia memerlukan lapan juta gelen sehari bagi daerah
Tampin dan Rembau," katanya.
Berikutan perkembangan itu, pihaknya menerusi Syarikat Air
Negeri Sembilan (Sains) terpaksa melakukan catuan air di Tampin dan Rembau
bermula 12 Januari ini.
"Kita terpaksa membuat catuan air berjadual bagi membolehkan
bekalan simpanan air di empangan tersebut bertahan sehingga lapan bulan
sementara menunggu kerja-kerja pengepaman air dilakukan,” katanya pada sidang
media mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, di sini,
semalam.
Difahamkan, catuan berjadual akan bermula pada 12 sehingga
30 Januari, kecuali 14 Januari kerana cuti umum.
Catuan bekalan secara berjadual ini akan dibuat secara
bergilir-gilir di kedua-dua daerah, bermula jam 10 pagi hingga 10 pagi hari
berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan