Yang buat kotor mungkin lembu milik orang Melayu yang beragama
Islam, yang membersihkannya orang Cina yang bukan beragama Islam. Semoga Wong
Ah Pong mendapat petunjuk dan hidayah dari ALLAH.
Tanpa bayaran, tanpa paksaan
21 Januari 2015
KUALA PILAH - Jika anda melalui jalan di Kampung Juasseh
Tengah pada pagi hari, mungkin anda akan terpandang seorang wanita warga emas
sedang membersihkan jalan raya yang dipenuhi dengan najis lembu.
Itulah Wong Ah Pong, 82,
yang menetap di kampung berkenaan sejak 60 tahun lalu, selepas mengikuti
suaminya berhijrah dari Seri Menanti untuk bekerja sebagai penoreh getah di
sebuah estet.
Tanpa sebarang bayaran atau dipaksa sesiapa, Ah Pong
menjadikan rutin paginya seawal jam 7 mengutip najis-najis lembu yang
bertaburan sepanjang kira-kira 100 meter di kampung berkenaan.
Lebih mengharukan, kerja berkenaan sudah dilakukannya sejak
30 tahun lalu.
Ketika ditemui Sinar Harian, Ah Pong yang fasih dengan
dialek Negeri Sembilan dan menggelarkan dirinya
Wan berkata, tiada sesiapa yang mendorong dia melakukan kerja itu.
"Wan buat semua ini ikhlas. Wan lakukan seawal jam 7
pagi sebelum kawasan ini sesak dengan kenderaan," katanya.
Menurutnya, dia kasihan melihat pemilik kenderaan yang
melalui jalan dipenuh najis lembu itu.
“Walaupun Wan tiada kenderaan, tapi Wan faham perasaan
mereka. Habis kereta mereka penuh najis lembu. Daripada Wan tak ada kerja, baik
Wan bersihkanlah jalan ini," katanya.
Menurut Ah Pong, najis-najis sudah dikutip disimpan dalam
karung plastik dan diletakkan di tepi jalan.
“Bila najis ini sudah kering, ramai yang datang ambil untuk
dijadikan baja. Elok juga, dari terbiar begitu saja,” katanya.
Menyorot kehidupan Ah Pong, katanya, dia tinggal seorang
diri selepas kematian suaminya.
"Sejak atuk meninggal pada 2011, Wan tinggal seorang
diri walau anak-anak sibuk suruh tinggal bersama mereka.
“Wan tak mahu susahkan anak-anak. Selagi Wan masih terdaya,
Wan mahu lakukan semua sendiri,” katanya yang mempunyai empat anak, tiga
perempuan dan seorang lelaki.
Ah Pon juga tidak kekok untuk tinggal dikelilingi masyarakat
Melayu kerana baginya, orang Melayu di situ sangat prihatin dan baik.
“Mereka mesra dengan Wan. Jika nampak Wan mahu ke Pilah,
mereka akan tumpangkan Wan. Inilah dinamakan perpaduan. Tanpa kira bangsa, kita
boleh hidup aman damai.
“Biarlah Wan akhiri sisa-sisa hidup di sini. Lagipun, apa
yang Wan mahukan, semua ada, tidak mengapa kalau Wan tidak berada di bandar
sekalipun.
“Wan juga akan tetap teruskan membersihkan najis lembu
selagi masih terdaya,” katanya mengakhiri perbualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan