Tak sedar bumbung tercabut
15 Januari 2015
REMBAU – Bumbung loteng kediaman dua beranak yang mengalami
masalah penglihatan di Kampung Seberang Paya, Tanjung, dekat sini, diterbangkan
angin kencang dalam kejadian awal pagi, semalam.
Dua beranak berkenaan, Aminah Musa, 73, dan Mohd Salmi Mohd
Pasar, 33, bagaimanapun tidak mengetahui
bumbung kediaman mereka diterbangkan angin dan hanya mengetahui sebaik
anak ketujuh Aminah, Suhaini Mohd Pasar, 41, menjenguk rumah mereka pada jam
7.30 pagi.
Menurut Suhaini, dia seperti biasa akan menjenguk ibunya
setiap awal pagi yang tidur ditemani anaknya, Ana Sofea Hisham, 15, kerana
ibunya mengalami masalah penglihatan sejak menjalani pembedahan awal tahun
90-an.
“Ibu bergerak menggunakan kerusi roda, sementara adik bongsu
saya, Mohd Salmi buta selepas menjalani pembedahan dua tahun lalu. Mereka
berdua tinggal di rumah yang terletak beberapa meter dari rumah saya kerana ibu
tidak mahu meninggalkan rumah yang dibuat oleh arwah ayah saya yang meninggal
pada tahun 2008.
“Jadi, walaupun mendengar bunyi bising, mereka tidak dapat
melihat bumbung di bahagian loteng rumah diterbangkan angin. Malah, dahan pokok
di perkarangan rumah kami juga tumbang,” katanya ketika ditemui di Kampung
Seberang Paya, dekat sini, semalam.
Sementara itu, Aminah berkata, pada awal pagi semalam,
ketika berada di bilik di bahagian rumah bawah, dia ada mendengar bunyi angin
kuat dan bunyi benda terjatuh, namun tidak mengetahui apa yang berlaku kerana
tidak nampak.
“Pada masa itu, wan berasa takut, namun mujur wan ditemani
Sofea yang tidur di rumah ini pada setiap malam. Jika diikutkan tiga tahun lalu,
zink rumah ini pernah diterbangkan angin kencang.
“Wan sudah menetap di rumah ini sejak lebih 35 tahun lalu
dan ini merupakan kejadian paling buruk pernah berlaku membabitkan angin
kencang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan