Mungkin kos pembinaan rumah ini RM20,000 yang pada pandangan
saya adalah murah maka bekalan elektrik dan air tidak dapat disediakan. Oleh
itu peranan masyarakat setempat untuk membantu. Harap sahabat di Kuala Pilah
dapat kumpul maklumat berapa kos diperlukan untuk pasang air dan elektrik.
InsyaAllah sama-sama kita bantu.
Rumah siap, kemudahan tiada
12 Januari 2015
KUALA PILAH - Seorang penerima bantuan sebuah rumah menerusi
sistem e-Kasih melahirkan rasa gembira apabila akhirnya mendapat tempat
berteduh sejak sekian lama tinggal di rumah usang di Kampung Ulu Pilah.
Bagaimanapun, kegembiraan itu terhenti apabila rumah yang
bakal didiami oleh Mohd Nor Sam Mohd Yatim, 59, tidak ada bekalan elektrik dan
air.
“Rumah yang memiliki sebuah bilik, sebuah dapur dan tandas
cukup selesa buat pakcik kerana pakcik pun tinggal seorang sahaja. Tetapi
pakcik agak terkilan kerana rumah ini tidak disediakan bekalan air dan
elektrik.
“Pakcik tiada niat untuk membuat aduan tentang hal ini, tetapi
bila tiada elektrik dan air, serupa juga pakcik tinggal di rumah yang lama itu.
Pakcik tiada pendapatan tetap, hanya bekerja kampung. Tidak mampu untuk
memasang bekalan elektrik dan air,” katanya rumah itu juga tidak memiliki
longkang.
Tambah Mohd Nor, kini, dia hanya memandang sahaja rumah yang
telah siap bulan Disember lalu dan kini masih tinggal lagi di rumah usangnya
itu.
“Kalau pakcik tinggal di rumah baharu ini pun sama juga,
tiada apa-apa kemudahan. Pakcik masih lagi menadah air hujan untuk dijadikan
bekalan air dan ditemani lilin setiap hari.
“Rumah baharu ini, agak panas berbanding rumah kayu pakcik
ini. Bagaimanapun, pakcik gembira ada
sudi membantu dan sangat berterima kasih di atas sumbangan ini," katanya.
Mohd Nor Sam turut menjelaskan peruntukan bantuan rumah itu
bernilai RM20,000 selepas ia mendapat maklumat daripada pihak kontraktor yang
dilantik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan