KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150116

Susulan kejadian ribut di Rembau tempoh hari




Nyaris ditimpa perabung rumah
16 Januari 2015

REMBAU – Seorang mangsa ribut di Taman Rembau Utama, di sini, nyaris ditimpa perabung atap selepas kawasan perumahan berkenaan dilanda ribut, kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Mangsa, Harun Yahya, 64, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja hendak menunaikan solat Subuh di biliknya sebelum perabung rumah terbabit jatuh betul-betul di belakang kepalanya.

"Sebelum menunaikan solat, saya terdengar bunyi berdentum tetapi tidak mempedulikannya. Namun, sebaik mengangkat takbir, saya terkejut apabila perabung rumah terjatuh ke lantai bilik. Nasib baik ia tidak mengenai kepala saya," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Rembau Utama, di sini, semalam.

Kata Harun, sudah dua kali rumahnya dilanda ribut sejak tinggal di taman berkenaan pada tahun 2000.

"Sebelum ini hanya beberapa atap sahaja diterbangkan angin, namun ribut kali ini telah merosakkan hampir 100 peratus ruang tamu dan bilik. Kerugian hampir RM5,000," katanya.

Sementara itu, Sulaiman Othman, 77, berkata, kejadian ribut berlaku dua kali iaitu sekitar jam 4.45 pagi kelmarin dan jam 6 pagi, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia tinggal bersama isterinya, Jaharah Abu Bakar, 70, dan tiga orang cucunya iaitu Aina Qasrina Hisham, 10, Mohd Adham Hisham, 8, dan Aisyah Qistina Hisham, 5.

“Dalam kejadian kelmarin, isteri saya dan tiga cucu tidur yang tidur di ruang tamu dikejutkan dengan bunyi bising. Sebaik terjaga, isteri saya lihat atap di atas ruang tamu tercacak dan segera memeluk cucu-cucunya.

“Hari ini (semalam) sekali lagi kami mengalami perkara sama dan atap serta siling bahagian bilik belakang rumah ini rosak dipukul ribut.

Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Rembau Utama, Nazmee Sidek, 45, berkata, sudah menjadi rutin tahunan sejak lebih 13 tahun lalu, penempatan berkenaan dilanda angin kencang serta ribut kerana ia merupakan kawasan laluan angin.

"Pada kejadian kelmarin, sebanyak enam buah rumah rosak membabitkan empat buah rumah di lorong 16 dan masing-masing satu di lorong 13 dan 15.

“Pada hari ini (semalam), sebanyak lapan buah rumah iaitu enam di lorong 13 dan dua di lorong 15 rosak dilanda angin kencang.

Tiada ulasan: