Homestay jadi sasaran penyamun
8 Januari 2015
BUKIT BERUANG - Berpura-pura mahu menyewa tempat penginapan
sebelum bertindak menyamun. Itu modus operandi digunakan sekumpulan penjenayah
untuk menyamun pemilik homestay di negeri ini.
Dalam kejadian terbaru di sini Isnin lalu, seorang pemilik
homestay bukan sahaja diikat dan dikurung dalam sebuah rumah, malah wang tunai
bernilai lebih RM1,500 dan tiga telefon bimbit miliknya dilarikan tiga lelaki
berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner
Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketiga-tiga lelaki itu terdahalu
menghubungi mangsa yang juga seorang suri rumah berusia 29 tahun kira-kira 11.30
pagi sebelum mereka bersetuju bertemu tiga jam kemudian di homestay berkenaan.
“Mangsa yang datang mahu menyerahkan kunci dan menunjukkan
rumah berkenaan kemudian diikat oleh ketiga-tiga suspek lalu dikurung di dalam
sebuah bilik di tingkat dua rumah penginapan itu.
“Suspek bertindak menggeledah rumah berkenaan turut merampas
wang tunai RM400, selain S$800 dan tiga telefon bimbit milik mangsa selain
memaksa mangsa memberitahu nombor pin dua kad bank,” katanya.
Menurutnya, suspek bagaimanapun melepaskan mangsa kira-kira
4.30 petang selepas berjaya mengeluarkan wang daripada ATM dan turut mengugut
akan mencederakan pengadu sekiranya melaporkan kepada polis.
“Bertindak atas maklumat orang awam, seorang lelaki berusia
19 tahun juga salah seorang suspek berjaya ditahan ketika sedang bermain futsal
kira-kira 6 jam di Taman Merdeka, Batu Berendam pada hari sama.
“Soal siasat suspek mengaku dua lagi lelaki yang terlibat
adalah abang kandungnya berusia 23 dan 25 tahun dipercayai kini bersembunyi dan
melarikan diri selepas menyedari adik mereka ditahan,” katanya pada sidang
media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.
Raja Shahrom berkata, hasil tangkapan salah seorang suspek
itu, polis kemudian membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Alor Gajah dan
menemui semua telefon bimbit milik mangsa dan beberapa kad pengenalan lain
dipercayai kepunyaan mangsa kegiatan jenayah mereka.
“Kita merampas tujuh telefon bimbit termasuk empat milik
suspek serta sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai digunakan ketika
melakukan samun terhadap mangsa.
“Siasatan terhadap kad pengenalan lain yang ditemui didapati
salah satunya bersangkut kes samun yang dilaporkan di Nusajaya, Johor pada
Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis kini melancarkan Ops Beradik bagi
mengesan dua suspek yang dipercayai masih berada dalam negeri ini atau di
Johor.
Beliau berkata, polis sedang mencari Dennil dan R James
Peter bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat
mengenali kedua-dua lelaki itu untuk tampil ke balai berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan