Geng samun suri rumah guna motor di N.Sembilan dan Selangor
26 Mac 2015
Suri rumah dan individu berjalan berseorangan di laluan
sunyi kini menjadi sasaran geng samun bermotosikal menggunakan senjata di
sekitar daerah ini yang dikesan berlaku sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff
Awang berkata, berdasarkan maklumat diperoleh geng ini bergerak secara
berkumpulan menggunakan dua motosikal yang dinaiki empat suspek.
Katanya, mereka menjadikan taman perumahan serta laluan
sunyi sebagai lokasi sasaran, malah memakai topi keledar bermuka penuh berwarna
gelap bagi mengelakkan wajah dikesan.
“Selain Sepang, mereka juga dikatakan aktif menjalankan
kegiatan samun di daerah lain seperti di Nilai, Negeri Sembilan dan Kajang,
Selangor.
“Siasatan juga mendapati sekiranya mereka sudah menjalankan
kegiatan di sesuatu kawasan contohnya di Kajang hari ini, mereka hentikan
kegiatan berkenaan pada hari itu dan tidak menyamun di kawasan lain,” katanya.
Mohd Yusof berkata, kumpulan itu amat berbahaya kerana
membawa senjata seperti parang pendek ketika menyamun untuk mengugut
mencederakan mangsa.
Menurutnya, kegiatan samun menggunakan motosikal itu
memudahkan mereka melarikan diri dan bergerak ke tempat lain.
“Setakat ini, lima kes dilaporkan di beberapa kawasan
seperti Dengkil dan Putra Perdana, Puchong, jadi kita sedang mengenalpasti sama
ada kegiatan ini dilakukan kumpulan sama atau berlainan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan