InsyaAllah, dengan izin Allah kami akan
cuba membantu baik pulih rumah makcik ini. Buat masa ini kami sedang
menyiapkan gerai keluarga memerlukan di Lubok China dan rumah usang
sebuah keluarga yang tidak berkemampuan di Rembau, hasil sumbangan
orang ramai. Mereka yang ingin membantu makcik di Pilah ini harap
hubungi saya Hj Rozmal 012-2267406. Tawaran dibuka kepada sesiapa
saja yang ingin membantu makcik ini termasuk anak-anak Negeri
Sembilan di perantauan.
Rumah usang menanti rebah
7 Mac 2015
KUALA PILAH - Sebuah rumah usang
didiami 12 penghuni di Kampung Talang Tengah, di sini, memerlukan
bantuan baik pulih berikutan kediaman itu mengalami pelbagai
kerosakan terutama pada atap dan dinding.
Pemilik rumah, Khalimah Sabtu, 82,
melahirkan rasa sedih kerana bantuan rumah percuma didakwa menerusi
skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu semakin uzur.
Menurutnya, pada awal 80-an, semasa
pembinaan, rumah tersebut tiada bilik.
“Makcik dan arwah suami buat bilik di
rumah ini sedikit demi sedikit kerana ketika itu kami sudah
dikurniakan tiga anak.
“Sekarang, makcik tinggal di rumah
ini bersama cucu dan cicit. Cucu perempuan makcik berniaga kedai
makan di hadapan rumah ini untuk menampung perbelanjaan harian dan
makcik ada juga terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, RM300
sebulan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Khalimah berkata, jika dilihat dari
luar, rumah ini nampak seperti biasa tetapi sebenarnya banyak
kerosakan di dalamya.
Menurutnya, dinding rumah dimakan
anai-anai, atap pula bocor dan keadaan tanah rumah agak rendah serta
sering dinaiki air setiap kali hujan lebat.
Dia juga mendakwa pernah menerima
bantuan baik pulih rumah pada 2011 namun kerja yang dilakukan tidak
sempurna.
“Makcik harap ada pihak yang sudi
bantu baiki kerosakan rumah ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan