Pekerja terpaksa solat bersembunyi
13 Mac 2015
KULIM - Hampir setahun seorang pekerja di sebuah syarikat
swasta di bandar ini yang hanya mahu dikenali Haiza, 28, terpaksa menunaikan
solat secara bersembunyi di tempat kerjanya.
Haiza yang juga terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai
seorang ibu dan bapa setelah kematian kedua orang tuanya berkata, sejak dari
mula dia memperoleh pekerjaan tersebut pihak syarikat telah memberi peringatan
mengenai perkara itu.
Menurutnya, akibat terdesak dan memerlukan wang untuk
menanggung perbelanjaan adik-beradiknya dia terpaksa menerima pekerjaan
tersebut dan akur akan syarat itu.
“Pada awal saya ditemu duga lagi pihak syarikat telah
memberitahu tidak boleh solat di tempat kerja, namun saya terpaksa terima
pekerjaan itu kerana keadaan mendesak.
“Saya terpaksa mencari sumber pendapatan untuk menampung
keluarga dan lokasi yang dekat dengan tempat tinggal supaya mudah untuk
memantau adik-beradik saya.
“Saya memang terkejut dengan syarat tersebut namun seorang
staf di bahagian sumber manusia syarikat tersebut sempat berpesan supaya
melakukan solat secara sembunyi,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, setiap kali tiba waktu solat dia terpaksa
memastikan keadaan selamat dan tidak diketahui majikannya.
“Saya tetap melakukan solat, namun kena cari masa sesuai dan
memastikan keadaan selamat kerana bimbang saya hilang pekerjaan,” katanya.
Katanya, bukan tidak cuba mencari pekerjaan lain namun
kesukaran untuk mendapatkannya dan pernah berpengalaman mengalami nasib yang
sama membuatkannya pasrah.
“Saya bukan tak mahu cari kerja lain, saya sudah berusaha
namun belum ada peluang,” katanya.
Haiza berkata, bukan untuk bersikap perkauman namun ia
adalah hakikat sebenarnya masih ada diskriminasi terhadap bangsa lain di negara
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan